Artikel
Tidakku Duga Kau Pergi Jua
oleh Helmi pada 10 Oct 2005
Kenapa masih banyak lagi? detik hatiku apabila menyedari haidku semakin banyak walaupun masuk hari kelima. Biasanya ia akan berkurangan selepas hari ketiga ataupun keempat. Aku juga perasan kali ini, darah agak banyak daripada biasa. Ah, mungkin sebab aku bertukar pil perancang, ujarku lagi untuk memenangkan fikiranku. Sememangnya selepas Hannah, puteriku menjangkau dua tahun lebih dan sudah bercerai susu, aku bertemu pakar sakit puan untuk menukar pil perancangku. Oleh kerana kedua-dua kelahiran anak-anakku adalah melalui pembedahan, aku perlu membuat perancangan keluarga bagi memastikan kesihatanku pulih sebelum mengandung lagi. Aku menjalani rutin harianku seperti biasa walaupun seminggu yang lepas aku agak sibuk kerana majlis perkahwinan dua sepupu suamiku di kampung. Selepas seminggu haidku, aku pergi ke pejabat pos untuk menghantar satu bungkusan ke Australia. Semasa menunggu di sana, aku perasan yang semakin banyak darahku keluar. Hatiku berdebar-debar Mengapa ini? fikirku, tetapi dalam kerisauan, aku cuba menenangkan perasaanku. Aku perlu ke pasar raya berdekatan selepas selesai tugasku di pejabat pos untuk membeli kad prabayar telefon bimbitku. Selepas itu, aku perlu menjemput suami di pejabat pula. Aku berjalan masuk ke pasar raya itu dan tiba-tiba aku rasakan gumpalan darah keluar dari tubuhku. Terasa seperti senggugut yang agak sakit menyerangku. Aku berjalan dengan pantas menuju ke tandas. Aku memandang ke bawah dan ternampak darah mengalir pada kakiku. Jantungku berdebar pantas. Mengapa ini? hatiku menjerit? Alangkah terkejutnya apabila berada di tandas, aku mendapati pakaian dalamku berlumuran darah. Gumpalan darah turut kelihatan. Aku segera keluar dan menuju ke farmasi untuk membeli tuala wanita yang tebal dan ke sebuah kedai pakaian membeli salinan pakaian yang lengkap. Aku menuju balik ke tandas dan membersihkan diriku. Dalam keadaan penuh berdebar, aku segera membeli kad prabayar dan menelefon suamiku menceritakan apa yang berlaku. Dia turut risau tetapi selepas aku meyakinkannya yang aku boleh memandu ke pejabatnya, dia akur dan berjanji akan menungguku. Perjalanan ke pejabat suamiku dirasakan begitu jauh. Berbekalkan satu tin Milo dan buah apricot jeruk, aku tidak henti berdoa kepada Tuhan supaya perjalananku selamat. Dalam hatiku bertanya, mengapa haidku begitu banyak? Mungkinkah disebabkan pil yang baru ataupun mungkinkah aku mengandung dan sedang keguguran? Ya Tuhan! Hanya kepadamu aku berserah. Setibanya di pejabat suamiku, dia terus mengambil alih tugas memandu. Aku menceritakan kepadanya kemungkinan aku mengalami keguguran. Kami bersetuju untuk berjumpa pakar malam nanti. Setibanya di pejabat pakar, dia membuat imbasan ultra ke rahimku. Ternyata benar sangkaanku. Aku rupa-rupanya sedang mengalami keguguran. Doktor menasihatiku supaya pergi ke hospital untuk prosedur D&C pagi keesokannya. Tetapi, sekiranya aku mengalami pendarahan yang banyak pada malam itu, aku perlu segera ke hospital. Pagi esoknya, aku bersiap dan terus ke hospital bersama suamiku. Walaupun kali kedua aku mengalami keguguran, aku amat bersedih kali ini. Mungkinkah aku boleh menyelamatkan bayi ini sekiranya aku tahu aku mengandung? Mengapa tidak aku endahkan tanda-tanda kehamilanku seperti kelewatan haid, rasa loya dan penat walaupun aku mengalaminya? Apa-apa pun, ini semua adalah ujian dari Tuhan dalam menguji kesabaranku. Selepas selesai prosedur itu, aku kembali ke rumah. Sambil berehat di kamarku, aku mengenang kembali pengalaman ngeriku semalam. Syukur tiada kejadian yang tidak diingini berlaku kepadaku. Memang bukan rezeki kami kali ini.