Artikel
Jemputan Mahasiswa UITM Rapatkan Hubungan PTS dan Universiti
oleh Roziyah pada 24 Sep 2010
Mahasiswa yang hadir berbincang bersama editor PTS Fortuna berkenaan program yang bakal dianjurkan.
PTS sering membuka ruang dan peluang kepada mahasiswa yang ingin mengadakan ceramah profesional bagi merapatkan hubungan antara PTS dengan universiti.
Terbaru, mahasiswa UITM datang sendiri ke PTS bagi menjemput PTS bagi mengadakan ceramah profesional di universiti mereka.
Mahasiswa daripada Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka (FSSR) berbesar hati menjemput editor-editor dari PTS Fortuna Sdn. Bhd bagi memberikan Ceramah Profesional berkaitan 'Nilai Komersil Dalam Karya dan Potensi Menerbitkan Buku'.
Menurut pengerusi program, Cikpuan Shalida Mohd Rosnan, ceramah yang bakal dianjurkan oleh Mahasiswa Jabatan Teknologi Percetakan UITM ini memberi peluang kepada mahasiswa agar mendapat pendedahan awal dan serius cenderung dalam bidang penerbitan dan penulisan.
"Selain itu, program ini juga dapat memperkenalkan buku-buku PTS kepada pensyarah dan mahasiswa di universiti melalui buku-buku pendidikan yang diterbitkan oleh PTS," jelas cikpuan Shalida.
Bali beliau, program seperti ini membuka jalan yang luas kepada mahasiswa terutamanya pelajar tahun akhir yang berminat dengan dunia penulisan agar menceburkan diri sebagai penulis dan sekaligus menghasilkan karya secara serius.
Mahasiswa sempat melihat proses kerja di PTS
Program ceramah profesional ini akan diadakan di Auditorium Seni Halus (Fine Art Auditorium), FSSR pada 7 oktober 2010 ini.
Program yang dianjurkan sendiri oleh pelajar ini dapat mendekatkan pelajar kepada dunia penerbitan dengan lebih dekat lagi selain memaklumkan kepada mahasiswa peluang-peluang yang terbuka dalam dunia penerbitan di Malaysia.
Selain itu, Mahasiswa yang hadir ke PTS juga dapat melihat sendiri proses kerja di PTS. Mereka yang hadir juga berpeluang membawa pulang buku-buku keluaran PTS dengan harga yang menarik.