Artikel

JIN-TINA Membongkar Kes Pembunuhan di Kuala Lumpur

oleh Nurul Amirah pada 30 May 2016

Ada pembaca yang membuat justifikasi keatas tajuk buku, mereka mengagak JIN-TINA akan mempersembahkan cerita seram berkaitan jin.

Bagi mereka yang memerhati pada tatabahasa, mereka akan mempersoalkan tajuk novel ini. Kata mereka ejaan yang betul adalah ‘Jantina’ bukan JIN-TINA.

Ada juga yang mengagak JIN-TINA adalah gabungan dari nama watak utama Juanita, Katrina dan Mona, selepas mereka membaca blurb.

Selepas sembilan tahun menyepi dalam industri penulisan novel di Malaysia, Abdul Rahim Awang membuat kemunculan semula dengan kelahiran JIN-TINA.

Novel dalam kategori Crime Thriller. Penulis membawa kita untuk menyelami kes pembunuhan yang tragis.

Ketika novel ini dibicarakan dalam forum pelancaran di Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) baru-baru ini, penulis mendedahkan,

JIN-TINA adalah sebuah kisah  pembunuhan yang benar-benar berlaku di Malaysia, kemudiannya diolah dalam bentuk fiksyen yang sedang kita baca sekarang.

JIN-TINA memaparkan misteri kes pembunuhan Katrina yang melayang jatuh dari tingkat 20 dan penyiasatan ke atas pembunuhan ini dari sisi seorang wartawan investigatif, Juanita.

Sebagai seorang wartawan, Juanita nekad merungkai misteri kematian sahabat baiknya, dibantu oleh Masri, seorang anggota polis merangkap teman lelakinya.

Juanita, Katrina dan Mona adalah guru muda yang mengajar tarian Salsa secara sambilan di tingkat 20, Menara Kuntum.

Khairil, pengawal keselamatan di Menara Kuntum menjadi saksi pertama ketika Katrina melayang jatuh. Beliau mengagumi Juanita, Katrina dan Mona sebagai primadona tarian salsa,

Beliau cuba untuk memberitahu bahawa dialah saksi pertama, bukan Subra. Baginya, kematian Katrina bukanlah satu kemalangan  

Kerana dia melihat sendiri lembaga hitam di tingkap studio tarian itu ketika Katrina melayang jatuh.

Plot cerita ini sangat mudah untuk kita faham bagaimana kesudahannya, namun ia sekadar dipanjangkan dengan prasangka terhadap watak-watak yang boleh diklasifikasikan sebagai suspek.

Penulis boleh menambah baik dengan mengembangkan lagi plot sehingga pembaca merasai unsur suspen dan tertanya-tanya dengan pelbagai persoalan sehingga ke akhir cerita.

Pun begitu, dalam setiap novel, kita sebagai pembaca akan mencari-cari apa perkara yang cuba diangkat dan diperjuangkan oleh penulis.

Dalam JIN-TINA, isu pemerdagangan juga disebut. Walaupun ia kelihatan sekali imbas, namun ia tetap mempunyai makna. Kita tahu, penulis cuba menyedarkan pembaca tentang persoalan kemanusiaan.

“Kita tidak takut pada musuh yang boleh kita lihat, bagaimana pula dengan musuh yang tidak boleh dilihat, yang kita tidak nampak?” - Mona

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024