Artikel

Pembongkaran Rahsia di Sebalik Diari Merah Jambu

oleh `Ismah Maisarah AMY pada 31 May 2016

Untuk pengetahuan buat semua Blinkers, Blink Book Sdn. Bhd. menerbitkan sebuah lagi karya terbaru, iaitu Aku Mahu Diari Pink. Diari umpama teman yang paling rapat. Segala peristiwa suka dan duka yang dilalui dicatat dalam diari.

Diari juga sebagai tempat meluahkan segala perasaan yang terpendam di hati. Jikalau berkongsi cerita dengan rakan, berkemungkinan akan terbongkar. Betul? Jadi, lebih selamat sekiranya mempunyai sebuah diari peribadi.

Seperti Ezra Fazrirah! Seorang gadis yang gemar menulis diari yang diberi nama Pinky Pink. Tidak kira tempat dan waktu, Pinky Pink pasti dibawa bersama. Namun begitu, cuba bayangkan bagaimana sekiranya diari peribadi milik anda yang terkandung segala maklumat peribadi dan rahsia anda berada di tangan orang yang tidak dikenali? Ini yang berlaku kepada Ezra Fazrirah.

Malang tidak berbau, hujan datang tanpa diduga. Ezra Fazrirah tertukar diari merah jambu miliknya yang eksklusif dihiasi berlian dengan diari merah jambu yang amat lusuh, kotor, dan berbau. Kehilangan diari kesayangannya itu umpama kehilangan jiwanya sendiri. Disebabkan kejadian tertukar diari, Ezra diburu pemilik diari merah jambu lusuh itu yang disyaki seorang pembunuh bersiri yang sangat kejam di Sri Bangsar!

Demi menyelamatkan artis pujaan, iaitu Zulu Arifin, lelaki idaman, iaitu Tengku Affin, dan yang paling penting selamatkan nyawa sendiri, pelbagai rancangan yang dilakukan oleh Ezra serta kawan baiknya, Kisha. Pada mulanya, rancangan mereka berjalan lancar. Tetapi, akhirnya wanita misteri yang menakutkan itu berjaya menjumpai Ezra!

Adakah Ezra mangsa pembunuhan kejam yang seterusnya? Apa pula nasib Pinky Pink? Ingin ketahui kesudahannya, dapatkan buku Aku Mahu Diari Pink sekarang!

Secara keseluruhannya, buku ini penuh dengan elemen suspen dan mendebarkan! Selain itu, kisah ‘penghijrahan’ Ezra pasti menyentuh perasaan anda. Setiap manusia pasti akan berubah. Namun, seharusnya pilihlah untuk berubah menjadi yang lebih baik.

Begitu juga dengan Ezra yang memilih untuk berubah ke arah yang lebih baik. Percaya ataupun tidak Ezra berhijab? Jeng, Jeng, Jeng.. Ketahui kisah selanjutnya dengan dapatkan buku Aku Mahu Diari Pink!

Keep Calm and Think Pink!


Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024