Artikel

Jualan Gudang Mega 2025 -“Buku Impian, Harga Idaman.”

oleh Nor Fadhilah Fauzan pada 04 Feb 2025

KUALA LUMPUR, 4 Februari – Jualan Gudang Mega 2025 yang dinanti-nantikan bermula hari ini di Kompleks Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Hulu Kelang. Acara ini menawarkan ribuan judul buku daripada penerbit-penerbit utama Malaysia dengan promosi potongan harga yang menarik, selaras dengan slogannya, “Buku Impian, Harga Idaman.”

Berlangsung selama lapan hari, bermula 4 hingga 11 Februari 2025, jualan ini melibatkan anjuran utama 10 penerbit utama Malaysia, termasuk Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP), Institut Terjemahan dan Buku Malaysia (ITBM), PTS Media Group, Ana Muslim, Rimbunan Ilmu, Manes Wordworks, Galeri Ilmu, Patriots Publishing, Inisiatif Buku Darul Ehsan (IBDE), dan Iman Publication dengan kerjasama Pertubuhan Penulis Kuala Lumpur.

Jualan ini bukan sekadar satu acara jualan buku, tetapi juga satu peluang bagi pencinta buku untuk mendapatkan bahan bacaan berkualiti pada harga yang jauh lebih rendah daripada biasa. Pelbagai kategori buku ditawarkan, merangkumi novel fiksyen, buku akademik, karya motivasi, dan bahan bacaan kanak-kanak.

Bagi mereka yang tidak berpeluang menghadiri Kuala Lumpur Alternative Bookfest (KLAB) 2025 minggu lalu, Jualan Gudang Mega 2025 menjadi alternatif terbaik untuk mendapatkan buku pilihan dengan harga lebih rendah. Malah, PTS Media Group turut membawa koleksi buku baru terbit dan buku-buku fiksyen terbaharu daripada imprin Bookiut, Penerbit-X, Komik-M dan PutehPress khusus untuk acara ini bagi memberi peluang kepada pembaca dan peminat karya fiksyen terutamanya untuk memiliki koleksi buku terkini.

Jualan ini diadakan bertepatan dengan musim cuti sekolah, menjadikannya waktu yang sesuai untuk ibu bapa membawa anak-anak memilih bahan bacaan yang bermutu, selain mendapatkan buku dengan harga istimewa, pengunjung juga berpeluang menanam minat membaca dalam kalangan anak-anak sejak usia muda. Selain itu, suasana yang santai dan mesra keluarga di Kompleks DBP dijangka menarik lebih ramai pengunjung sepanjang tempoh jualan berlangsung.

Jualan dibuka setiap hari dari jam 9.00 pagi hingga 7.00 malam bagi hari Isnin hingga Khamis, manakala pada hari Jumaat hingga Ahad serta cuti umum, ia dilanjutkan sehingga jam 9.00 malam. Orang ramai digalakkan untuk mengambil peluang ini bagi mendapatkan koleksi buku idaman pada harga istimewa. Jangan lepaskan peluang ini. Kunjungi Jualan Gudang Mega 2025 untuk pengalaman membeli buku yang menarik dan berbaloi. Jumpa di sana!


Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025