Artikel

Jurnal ilmiah patut terbitkan rencana asli

oleh Helmi pada 04 Dec 2005

Oleh HASROM HARON


Perhatian ini lebih serius, apabila Dr. Sivachandralingam Sundra Raj, seorang pensyarah sejarah dari Universiti Malaya mempertahankan bahawa Jurnal Biografi Malaysia itu ``... tidak bertujuan untuk menerbitkan karya asli…’‘

Kita memang mengalu-alukan perbahasan yang boleh membantu memperbaiki kedudukan penerbitan jurnal ilmiah tanah air. Penerbitan jurnal tanah air belum begitu maju.

Penerbitan jurnal di negara kita kebanyakannya masih muda dan perlu sokongan yang kuat daripada semua pihak agar jurnal ilmiah Malaysia mendapat kedudukan yang tinggi pada satu masa nanti. Oleh itu pandangan yang bernas mengenai status jurnal ilmiah negara kita amat dialu-alukan.

Dalam hal Jurnal Biografi Malaysia, Dr. Sundra Raj antara lain mentafsirkan bahawa ``audiens (sasaran) jurnal ini adalah orang ramai dan pelajar sekolah?’’ Saya berharap pelajar sekolah tidaklah termasuk pelajar sekolah rendah? Beliau juga membangkitkan bahawa teguran Roosfa Hashim kepada Jurnal Biografi Malaysia adalah berdasarkan tafsiran jurnal yang `rigid’ - sempit!

Cuba kita mengambil dua tafsiran jurnal. Pertama jurnal sebagai diari, rekod peristiwa, rekod perjalanan, rekod perniagaan dan sebagainya. Kedua, sebagai terbitan ilmiah berkala yang diamalkan oleh universiti, badan penyelidikan, institusi arkib seluruh negara termasuk Arkib Negara Malaysia.

Jadi, jika diteliti, terbitan yang diberi judul Jurnal Biografi Malaysia itu tidak termasuk dalam tafsiran di atas.

Dr. Sundra Raj memberi pandangan tentang beberapa perkara. Pertama ketegasan beliau bahawa Jurnal Biografi Malaysia ``tidak bertujuan untuk menerbitkan karya asli.’‘

Dalam dunia penerbitan jurnal ilmiah, prinsip utama yang dipegang dalam penerbitan adalah menerbitkan rencana asli, ilmiah, hasil penyelidikan dan belum pernah diterbitkan sebelumnya.

Penulis belum menemui bahan bacaan tentang penerbitan jurnal yang meletakkan prinsip jurnal ilmiah bertujuan menerbitkan karya tidak asli. Ada banyak implikasi tentang perbahasan ini. Malah jika dilihat satu lagi tafsiran - jurnal sebagai rekod peristiwa atau diari - mestilah menerbitkan karya atau catatan baru yang belum pernah diterbitkan.

Jurnal adalah sebuah terbitan khusus bagi sesuatu bidang ilmu untuk penyelidik, sarjana dan peminat bidang tertentu. Itu sifat jurnal, maka itulah dikatakan ada lebih 300,000 jurnal ilmiah di dunia.

Sesebuah jurnal tidak didirikan untuk mencakupi bidang ilmu untuk `orang ramai’ seperti kenyataan Dr. Sundra Raj. Adalah aneh untuk mempertahankan Jurnal Biografi Malaysia maka ``Arkib Negara harus dipuji kerana telah menerbitkan sebuah jurnal khusus untuk orang ramai.’‘

Begitu juga andaian jurnal untuk `pelajar sekolah’, tidak dapat diterima. Pelajar sekolah tidak menjadi sasaran utama penerbitan jurnal ilmiah. Terbitan bersiri untuk peringkat pelajar selalunya dalam bentuk majalah.

Satu lagi aspek tulisan Dr. Sundra Raj ialah membaurkan tentang pembacaan, penerbitan jurnal dan promosi (publisiti) tentang Arkib Negara. Di satu tempat beliau mahu Jurnal Biografi Malaysia tidak rigid agar tidak menyukarkan orang ramai dan peminat sejarah menyumbang artikel dalam jurnal itu.

Komuniti jurnal bukan `orang ramai’ sebaliknya adalah satu kelompok khusus menurut bidang tertentu. Dalam hal Jurnal Biografi Malaysia sepatutnya pengkaji, penyelidik, sarjana, ahli akademik dan peminat dalam bidang pengajian biografi.

Peranan

Konsep biografi yang dibahaskan juga tidak patut disempitkan sekadar menerbitkan tentang riwayat tokoh - tetapi mengenai semua aspek pengajian biografi.

Dr. Sundra Raj juga ada menyebutkan ``... adalah tidak salah untuk menerbitkan makalah yang berbagai… Walaupun ada yang dalam bentuk soal jawab, rencana umum…’’ Benar jurnal menerbitkan pelbagai bentuk rencana, tetapi tidak termasuk `rencana umum’.

Rencana umum adalah bentuk rencana untuk surat khabar atau majalah, tidak untuk jurnal, sebuah terbitan khusus sesuatu bidang ilmu.

Jurnal ini juga tidak boleh dicampurbaurkan dengan publisiti fungsi arkib. Untuk memperkenalkan dan mempopularkan koleksi arkib di kalangan orang ramai, ia tidak memerlukan jurnal - bahan promosi arkib yang lain lebih penting. Bukan fungsi jurnal untuk melakukannya. Jurnal adalah satu genre penerbitan tersendiri seperti yang Roosfa jelaskan.

Peranan mempromosi arkib ini memang isu yang menarik. Jurnal Biografi Malaysia telah menerbitkan kertas kerja Ketua Pengarah Arkib Negara bertarikh 1986 dalam keluaran JBM tahun 2005 - kira-kira 20 tahun lalu.

Kertas kerja ini tidak layak diterbitkan dalam keadaannya dan 20 tahun kemudian. Adalah lebih sesuai jika sebuah laporan yang menyambut kertas itu diterbitkan sebagai sebuah rencana yang baru dan menjelaskan perkembangan ``Peranan Arkib Negara dalam Projek Biografi Malaysia.’‘

Ini sekurang-kurangnya menunjukkan integriti Arkib Negara dalam menjalankan programnya. Tajuk baru rencana itu boleh berbunyi, ``Dua puluh tahun Projek Biografi Malaysia, Arkib Negara Malaysia.’‘

Satu lagi aspek ialah tentang penerbitan rencana, khasnya rencana ``Abdullah Munsyi - Who was he?’’ Ini berkaitan bentuk, cara dan gaya, tajuk dan rencana itu diterbitkan sebagai salah satu rencana Jurnal Biografi Malaysia.

Tajuk rencana itu menunjukkan sesuatu yang terlalu mentah. Sudah banyak kajian mendalam mengenai Munsyi Abdullah yang telah diterbitkan. Jadi tajuk rencana yang terbaru tidaklah semacam satu pertanyaan yang meremehkan tokoh: `Siapakah Munsyi Abdullah.’

Memberi tajuk yang sesuai dengan melihat kajian yang lepas adalah satu aspek yang penting diperhatikan dalam menerbitkan rencana. Prinsip ini bukan terpakai untuk penerbitan jurnal sahaja tetapi untuk terbitan lain juga.

Salah satu rencana yang terdapat dalam Jurnal Biografi Malaysia ialah ``Adrian Koek - Malacca’s Unsung Dutch Bergher,’’ - boleh diterjemahkan secara bebas sebagai, ``Adrian Koek - Tokoh Warga Belanda.’‘

Setelah hampir 50 tahun Malaysia merdeka, kita masih lagi melihat sejarah tanah air kita daripada geladak kapal penjajah. Jangan pula penulis disalah faham fobia bangsa asing! Tetapi sebagai pelajar sejarah, kita harus sedar akan aliran pemikiran penulisan sejarah tanah air.

Kita tidak lagi bercakap tentang pahlawan penjajah; kita patut berbahas, menulis dan menerbitkan rencana tentang pahlawan negara kita. Mengutamakan pahlawan tanah air.

Sedikit aneh Arkib Negara Malaysia menerbitkan rencana tentang seorang penjajah. Tokoh itu patut dilihat dari perspektif pribumi, bukan melihat penjajah! Dengan menyunting tajuk rencana yang lebih berkesan, rencana ini tidaklah berbau penjajahan.

Penulis berharap sedikit pandangan ini akan mencerahkan lagi perkembangan penerbitan jurnal ilmiah tanah air. Semua kemajuan yang akan dicapai tentunya akan memberi sumbangan positif kepada semua pihak; Arkib Negara, penyelidik, ahli akademik dan pembaca lain.


- HASROM HARON ialah Pegawai Penerbitan, Penerbit UKM.

Sumber : utusan online

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024