Artikel

Mungkinkah Alif Firdaus Menjadi Fenomena?

oleh Helmi pada 05 Dec 2005

Sdr. Alif Firdaus adalah penulis PTS yang luar biasa. Karya beliau yang pertama Untuk Syampoo baru sahaja masuk pasaran, dan maklumat dari Jabatan Pemasaran PTS menunjukkan sudah ada tanda-tanda buku itu akan menerima sambutan hangat di kalangan remaja awal.  Sdr. Alif luar biasa disebabkan beliau memulakan kerjayanya dalam bidang buku sebagai seorang ilustrator dan pelukis komik. Selepas menghadiri kursus penulisan PTS barulah beliau menulis buku.  Buku Untuk Syampoo ditulis, dilukis dan kulit bukunya pun dilukis oleh beliau sendiri.  Tetapi di manakah kelebihan Sdr. Alif? Buku beliau mendapat sambutan baik di kalangan remaja lelaki dan perempuan. Lazimnya, penulis perempuan hanya diminati oleh pembaca perempuan, manakala penulis lelaki diminati oleh pembaca lelaki. Di sinilah kelebihan Sdr. Alif, beliau dapat mencipta karya yang menembusi kedua-dua sektor pembaca itu.  PTS meramalkan buku Untuk Syampoo akan bertahan lama dalam pasaran disebabkan ceritanya mempunyai ciri-ciri yang membolehkan buku itu tidak trendy. Kini beliau perlu menghasilkan lebih banyak buku yang dapat mengulangi kejayaan Untuk Syampu bagi memenuhi permintaan peminat-peminatnya.  Buku “Untuk Shampoo” adalah terbitan PTS One Sdn Bhd.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025