Artikel
Kad Kredit Berlandaskan Syariah
oleh Helmi pada 24 Apr 2006
Apabila kita membincangkan isu kad kredit di negara ini, secara tidak langsung kita memperkatakan berkaitan pemegang-pemegang kad kredit yang majoritinya berbangsa Melayu. Bangsa Melayu secara relatifnya adalah beragama Islam dan tidak terkecuali ada antara bangsa-bangsa lain yang juga turut menganut agama rasmi negara ini. Bagi orang Islam, isu merancang kewangan mempunyai aspek yang agak berbeza, di mana mereka diharamkan terlibat dengan riba dalam apa jua urus niaga. Menyedari hakikat ini, bank-bank di Malaysia ataupun institusi-institusi yang mengeluarkan kad kredit mengambil langkah yang bijak dengan memperkenalkan kad kredit bercirikan Islam, khususnya bagi me-narik minat masyarakat Islam supaya memiliki kad kredit.
Tidak terkecuali bagi penganut-penganut agama lain, mereka juga turut mengambil kesempatan memiliki kad kredit bercirikan Islam. Ini kerana, kad kredit ini jauh daripada unsur riba dan gharar yang memberikan keuntungan kepada kedua-dua pihak dan kedudukan hutang mereka juga lebih selamat berbanding kad kredit biasa. Dengan itu, umat Islam juga tidak terkecuali daripada turut serta dalam kemajuan teknologi dan dalam masa yang sama tidak melanggar syariah Islam. Bagi yang menginginkan kad ini, mereka perlu berupaya meneliti ciri-ciri kad yang dikeluarkan oleh pengeluar-pengeluar kad kredit dan memastikan kad yang digunakan itu berlandaskan hukum Islam.
Ciri utama yang perlu ada pada sekeping kad kredit yang mendakwa sebagai kad kredit berlandaskan syariah adalah ia jauh daripada sebarang unsur-unsur riba dan gharar. Riba dalam bahasa Arab ialah lebihan, lambakan ataupun tidak sama timbangan, sukatan ataupun masa berlaku pertukaran bahan-bahan ribawi yang terdiri daripada emas dan perak, bahan-bahan berbentuk wang seperti dirham ataupun barang-barang kemas dan seumpamanya. Dalam konteks kewangan, riba ialah lebihan caj ataupun faedah yang dikenakan ke atas pelanggan di atas pinjaman yang dibuat. Sementara itu, gharar pula ialah ketidaktentuan ataupun kesamaran. Dalam proses urus niaga kad kredit berlandaskan syariah, keuntungan perlu dinyatakan terlebih dahulu semasa akad jual beli.
Salah satu contoh kad yang menepati kehendak syariah adalah kad kredit yang dikeluarkan oleh Bank Islam. Dalam operasi kad Bank Islam, terdapat tiga jenis kontrak utama mengikut syariah yang diguna pakai iaitu:
Bai Inah
Kontrak jual beli antara pihak Bank Islam dan pelanggan. Kontrak ini berlaku apabila pihak bank menjual aset bank dengan harga tertunggak dan pelanggan membeli balik aset itu dengan harga tunai.
Wadiah
Bank mengagihkan wang tunai hasil daripada jual beli aset ke dalam akaun Wadiah Kad Bank Islam pelanggan yang dibuka dan diuruskan oleh bank. Pemegang kad (pelanggan) seterusnya dibenarkan menggunakan kad ini bagi urus niaga runcit dan pengeluaran wang tunai seperti kad kredit konvensional yang lain. Bagaimanapun, transaksi yang dibuat tertakluk kepada wang tunai yang ada dalam akaun Wadiah Kad Bank Islam pelanggan.
Qardhul Hassan
Kemudahan Qardhul Hassan pula diberikan kepada pemegang kad apabila mereka membuat transaksi yang melebihi had pembiayaan yang dibenarkan. Penentuan dan pembiayaan tanpa sebarang margin keuntungan kepada pemegang kad ini tertakluk kepada budi bicara pihak bank.