Artikel
Tok Kenali ketua pengarang pertama penulisan Melayu
oleh Helmi pada 18 Apr 2006
KEPALA BATAS 16 April - Ulama tersohor, Muhammad Yusof Ahmad yang lebih dikenali sebagai Tok Kenali merupakan penulis prolifik dan menjadi ketua pengarang pertama bagi orang Melayu dalam usaha mendidik masyarakat Islam di rantau ini.
Pensyarah Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Wan Kamal Mujani berkata, ulama itu terlibat dalam penulisan bercorak keagamaan apabila menerbitkan majalah Pengasuh bertujuan memajukan umat Islam.
``Disebabkan ketokohan dan keilmuan Tok Kenali maka majalah itu cukup masyhur sehingga dibaca oleh masyarakat Islam di rantau ini,’’ katanya.
Beliau berkata demikian ketika membentangkan kertas kerja bertajuk Peranan dan Sumbangan Tok Kenali Dalam Perkembangan Pendidikan Islam di Kelantan pada Seminar Nadwah Ulama Nusantara III, di sini hari ini.
Wan Kamal berkata, majalah tersebut mempunyai 32 buah bilangan sejak pertama kali dikeluarkan pada 1919.
Katanya, ia membincangkan persoalan-persoalan agama semasa yang berkaitan dengan masyarakat.
Beliau berkata, majalah Pengasuh yang merupakan lidah rasmi Majlis Agama Islam Kelantan (MAIK) berjaya menyedar dan mendedahkan masyarakat Melayu terhadap kepentingan ilmu serta kepincangan dalam masyarakat.
``Beliau menulis rencana yang mendesak masyarakat Melayu bangun mengubah nasib mereka agar setanding dengan bangsa lain,’’ katanya.
Wan Kamal berkata, Tok Kenali merupakan penulis prolifik dalam menyampaikan dakwah serta menyebarkan ilmu.
Menurutnya, ulama itu mengelolakan ruangan soal jawab serta memberi jawapan kepada kemusykilan agama termasuk mengenai laporan bersangkutan ijma’ ulama.
Katanya, Tok Kenali juga bergiat dalam penyusunan nahu Arab, penterjemah dan akhirnya menubuhkan angkatan ulama dalam bidang penulisan bersama al-Syeikh Muhammad Idris al-Marbawi, Syeikh Muhammad Salih dan Syeikh Uthman Jalaluddin.
Wan Kamal berkata, ketajaman pemikiran serta penguasaan ilmu agama Tok Kenali termasuk dalam bidang fiqh, tasawuf, bahasa Arab dan hadis ini amat dikagumi oleh ulama-ulama lain dari Mekah dan Madinah.