Artikel

Kanak-kanak berkembang mengikut masa

oleh Helmi pada 27 Aug 2004

Setiap yang hidup mengalami perubahan mengikut proses pertumbuhan dan perkembangan. Pertumbuhan adalah perubahan yang bersifat kuantitatif iaitu sifat perubahan yang dapat diukur sama ada mengikut peringkat dan ketentuan masa. Apabila ia bersifat kuantitatif, setiap perubahan seseorang dapat dilihat dengan nyata berdasarkan pengukuran yang dibuat ke atas seseorang ataupun sesuatu organisma. Pertumbuhan yang biasa, kecuali yang disebabkan oleh penyakit kanser, selalunya berhenti manakala sesuatu organisma itu sampai ke peringkat matang atau dewasa dan selepas itu pertumbuhan tidak lagi berlaku.

Perkembangan pula adalah perubahan yang bersifat kualitatif iaitu sifat perubahan yang tidak dapat diukur secara kuantiti tetapi ternyata perubahan sudah berlaku yang melihatkan sifat berlainan daripada peringkat yang terdahulu. Berlainan dengan hal pertumbuhan, perkembangan berlaku daripada peringkat permulaan percambahan sehingga tamatnya hayat organisma. Ini bermakna, perkembangan bukan sahaja membawa sesuatu organisma ke peringkat matang, tetapi perkembangan berterusan berlaku walaupun peringkat kematangan dilampaui. Tegasnya, perkembangan sentiasa berlaku terus-menerus, dari awal sehingga akhir hayat sesuatu organisma.

Proses pertumbuhan dan perkembangan bagi sesuatu organisma itu sudah sedia terancang dalam gen-gen yang diwarisi daripada keturunan yang terdahulu. Bagi sesuatu jenis organisma, sifat umum jenis itu iaitu phylogenetic adalah serupa. Gesell (1949) menyatakan, walaupun tidak ada dua individu yang benar-benar serupa, secara global semua kanak-kanak yang normal cenderung mengikut susunan pertumbuhan yang biasa dilalui oleh kanak-kanak.

Prinsip Pertumbuhan dan Perkembangan
Arah

Perkembangan mempunyai arah baik sewaktu peringkat belum lahir mahupun pada peringkat sudah lahir. Arah-arah itu seperti:
Arah kepala ke kaki (cephalocaudal)
Arah tengah ke tepi (proximodistal)

Mengikut arah kepala ke kaki, perkembangan bermula dari kepala dan bergerak ke arah kaki. Ini bermakna, perubahan awal pada struktur dan juga fungsi berlaku di bahagian kepala, kemudian di bahagian badan dan akhir sekali di bahagian kaki. Kepala kanak-kanak kecil biasanya berat kerana perkembangan sudah banyak berlaku di bahagian kepala dibandingkan dengan bahagian lain misalnya, bahagian kaki. Itu sebabnya apabila kanak-kanak ditiarapkan, dia hanya dapat mengangkat dadanya apabila ia dapat mengangkat kepalanya.

Mengikut arah tengah ke tepi pula, perkembangan itu berlaku dari arah tengah badan menghala ke bahagian luar badan dan ke bahagian hujung anggota. Sewaktu di dalam kandungan, iaitu ketika bahagian kepala dan badan sudah dikatakan cukup terbentuk, bahagian anggota kaki dan tangan hanya merupakan puntung-puntung yang belum tumbuh. Secara beransur-ansur, puntung tangan ini memanjang dan berkembang menjadi tangan dan jari. Daripada segi fungsi, bayi yang dikandungi menggunakan lengan terlebih dahulu sebelum dapat menggunakan tangan dan jari.

Susun atur tersendiri

Corak perkembangan bayi adalah sama daripada satu peringkat ke peringkat yang lain. Sebelum berjalan, lazimnya seseorang kanak-kanak berdiri terlebih dahulu. Corak yang lazim ini tidak akan berubah. Jika seseorang kanak-kanak yang dilahirkan awal, dia mungkin terlambat dalam beberapa aspek perkembangan, tetapi dapat sampai ke peringkat kanak-kanak lain seperti yang sepatutnya.

Menyeluruh

Pada peringkat awal kehidupan, seseorang bayi hanya dapat memberi gerak balas secara menyeluruh ke atas sesuatu rangsangan kerana tulang dan otot masih belum matang. Umpamanya, jika seseorang bayi cuba mengambil sesuatu benda, hampir seluruh badannya bergerak bersama-sama dengan lengan dan tangannya kerana jarinya masih belum dapat digunakan. Selepas besar, pergerakan bagi mengambil sesuatu benda hanya memerlukan jari sahaja tanpa menggerakkan sebahagian besar badannya. Emosi kanak-kanak juga berlaku secara menyeluruh. Misalnya pada peringkat awal, ketakutan kanak-kanak ditunjukkan secara menyeluruh. Kemudian ketakutannya hanya kepada perkara-perkara tertentu sahaja. Ternyata perkembangan itu berlaku mengikut proses pembezaan. Selepas proses pembezaan mencapai sesuatu peringkat ketentuan, proses penyatuan pula berlaku. Umpamanya, beberapa kemahiran yang terdapat pada seseorang adalah pemilihan dan gabungan beberapa tingkah laku yang menjadi penggabungan baru.

Berterusan

Perkembangan diri seseorang berlaku secara berterusan. Ia bermula daripada percambahan sehingga akhir hayat. Perkembangan ini berlaku pada kelambatan atau kecepatan yang berbeza-beza. Disebabkan perkembangan itu berterusan, apa yang berlaku pada satu peringkat mempengaruhi peringkat yang lain. Umpamanya, rumah tangga yang tegang pada peringkat awal perkembangan kanak-kanak mempengaruhi sahsiah kanak-kanak seterusnya. Tanggapan negatif kepada ibu bapa yang kerap bertengkar sukar dihapuskan. Perkembangan dan pertumbuhan jasmani pada peringkat awal terutama pada peringkat kehamilan dapat menentukan sifat kanak-kanak sewaktu dewasa nanti. Sekiranya berlaku kecacatan kecil pada peringkat awal kehamilan, kecacatan ini membesar selepas ia dewasa nanti.

Kecepatan

Kecepatan dalam proses perkembangan tidak pernah sama. Anggota yang berlainan mempunyai kecepatan yang berlainan. Kanak-kanak yang tinggi kecerdasannya tetapi masih belum matang selalunya mempunyai perkembangan kecerdasan yang mendahului peringkat kematangan jasmani, kemasyarakatan dan emosi. Mereka selalunya susah menyesuaikan diri dengan kanak-kanak yang sebaya dan juga dengan kanak-kanak yang lebih tua.

Berkaitan dan mempengaruhi

Perkembangan dan pertumbuhan satu-satu anggota adalah berkaitan dan mempengaruhi perubahan keseluruhan anggota lain. Pertalian ternyata didapati di antara kematangan jasmani dengan kematangan mental. Kesan daripada keadaan ini, kanak-kanak yang cepat matang berbeza dengan kanak-kanak lain yang sebaya tetapi lambat matang. Perbezaan ini bukan sahaja terdapat pada keadaan jasmani mereka tetapi juga daripada segi mental dan tingkah laku. Oleh yang demikian, dapat disimpulkan perkembangan itu adalah proses yang bersepadu melibatkan penyesuaian keseluruhan badan.

Berbeza

Setiap individu mempunyai corak perkembangannya tersendiri. Justeru, tidak semua kanak-kanak sampai kepada titik perkembangan yang sama pada peringkat umur yang sama. Frank (1950) mengatakan perkembangan hidup seseorang bergantung kepada pewarisan dan alam sekeliling yang amat unik. Walaupun kecepatan perkembangan mungkin berbeza-beza bagi kanak-kanak, perkembangan ini adalah tekal. Kanak-kanak yang berbadan tinggi pada satu peringkat umur akan berbadan tinggi juga pada peringkat-peringkat umur yang lain, sedangkan yang berbadan rendah akan rendah juga kemudiannya. Lingkungan umur akal bagi kanak-kanak cerdas, sederhana dan lembap juga menunjukkan ketekalan sebagaimana sifat jasmani tadi. Perkembangan mental yang cepat akan berterusan cepatnya sedangkan kanak-kanak yang cacat otaknya tertinggal semakin jauh apabila dia semakin membesar. Kemajuan perkembangan kanak-kanak akan berkeadaan tekal dan ia bergerak maju atau berkembang mengikut kecepatan yang dimulakannya. Oleh sebab tiap-tiap kanak-kanak mempunyai sifat kecepatan perkembangannya sendiri, maka tidak boleh diharapkan semua kanak-kanak itu mempunyai tingkah laku yang sama walaupun mereka mempunyai peringkat umur yang sama.

Berperingkat-peringkat

Hidup manusia berperingkat-peringkat. Setiap peringkat dapat di-bezakan melalui sifat yang nyata bagi peringkat itu. Sifat tertentu bagi sesuatu peringkat itu memberikan sifat keutuhan dan sifat yang unik. Walaupun terdapat peringkat-peringkat ini, tetapi garis-garis pembahagian tidak nyata bagi memisahkan di antara satu dengan yang lain. Terdapat tujuh peringkat perkembangan yang ketara iaitu:

Peringkat 1
Peringkat sebelum lahir sehingga bayi dilahirkan. 280 hari dalam kandungan.

Peringkat 2
Peringkat bayi merah iaitu daripada masa lahir sehingga kira-kira 10 ataupun 14 hari kemudian.

Peringkat 3
Peringkat bayi daripada umur 2 minggu sehingga kira-kira 2 tahun.

Peringkat 4
Peringkat kanak-kanak iaitu di antara umur 2 tahun sehingga akil baligh.

Peringkat 5
Peringkat remaja iaitu daripada akil baligh sehingga peringkat dewasa iaitu kira-kira berumur 25 tahun.

Peringkat 6
Peringkat dewasa.

Peringkat 7
Peringkat tua.

Perkaitan di antara Psikologi dengan Perkembangan Kanak-kanak

Proses perkembangan meliputi aktiviti pengasuhan yang melibatkan interaksi di antara ibu bapa dengan anak. Dalam proses ini, tingkah laku ibu bapa dan juga anak semestinya mengarah kepada matlamat mendapatkan pembelajaran bagi anak dengan cara yang berkesan dan cepat. Psikologi perkembangan adalah sains yang mengkaji tingkah laku kanak-kanak dalam suasana pembelajaran di rumah dan sekolah terutamanya. Bidang ini bukan sahaja mementingkan keadaan pembelajaran tetapi keadaan yang mendatangkan kesan kepada pembelajaran itu.

Sebagai satu bidang sains amali, psikologi perkembangan tidak mementingkan undang-undang pembelajaran yang am dengan sendirinya. Tetapi ia menangani sifat pembelajaran yang berkaitan dengan cara yang berkesan dalam menyampaikan pengajaran kepada kanak-kanak bertujuan mendapatkan kesan pembelajaran yang berkekalan. Bagi mendapatkan pembelajaran yang berkesan, sifat, tingkah laku dan perkembangan kanak-kanak, teori pembelajaran dan juga kandungan mata pelajaran serta situasi pembelajaran perlu diberikan pertimbangan. Dalam hal ini, teori tingkah laku yang didapati daripada kajian psikologi dapat memberikan dasar bagi memahami tingkah laku mereka sendiri

Mengkaji Pertumbuhan dan Perkembangan Kanak-kanak

Sebagai sains tingkah laku, psikologi menggunakan pendekatan, kaedah, dan nilai-nilai sains bagi mengkaji prinsip itu dengan tingkah laku seseorang. Bahan kajian psikologi adalah tingkah laku perseorangan yang dapat diperhatikan. Tujuan utama psikologi adalah mendapatkan undang-undang yang menerangkan perkaitan tingkah laku dengan satu-satu situasi, tingkah laku dengan satu-satu keadaan dan juga tingkah laku dengan tingkah laku yang lain.

Sebagaimana juga dengan bidang sains yang lain, psikologi mencari jalan bagi memahami, menelah dan seterusnya mengawal tingkah laku yang dapat diperhatikan. Ini tidak bermakna bidang yang berhubung dengan pengalaman, pemikiran, proses kesedaran yang tidak dapat diperhatikan oleh orang lain ataupun tidak mendapat tempat di dalam psikologi. Segala kejadian ini adalah kejadian individu yang dapat diukur dan diperhatikan dengan menggunakan cara inferens iaitu membuat kesimpulan pada proses mental berdasarkan pemerhatian tingkah laku lain yang dapat diperhatikan.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024