Artikel

Emosi cinta wanita tiada penghujung

oleh Helmi pada 27 Aug 2004

WANITA mempunyai sudut pandangan sendiri berkenaan cinta. Dua prinsip utama dalam pandangan wanita terhadap cinta adalah:
1. Bagi wanita, cinta dan keintiman adalah suatu proses yang berterusan dari masa ke semasa.
2. Komunikasi peribadi menjadi faktor yang palingpenting peranannya dalam ikatan cinta dan keintiman.

Oleh kerana wanita diasuh supaya pandai menjaga perhubungan, walaupun wanita sudah berjaya mendapatkan komitmen lelaki dalam bentuk perkahwinan, wanita tetap memandang suami dan hubungan perkahwinan sebagai sesuatu yang terus mengalami perkembangan dan perubahan. Jadi, daripada sudut pandangan wanita, keintiman dan cinta tidak pernah ada penghujungnya. Ia terus bergerak dari satu titik ke titik lain ibarat air sungai yang sentiasa mengalir tidak henti-hentinya.

Bagi wanita, perkahwinan bukanlah babak terakhir suatu kisah keintiman. Sebaliknya, ia hanyalah suatu titik dalam proses yang berterusan. Bagi wanita, aktiviti berkomunikasi, iaitu bercakapcakap dan berbual-bual adalah pusat sesuatu perhubungan. Ia adalah cara paling penting untuk menjalin, memupuk, mendalamkan dan memeterai keintiman. Aktiviti berbualbual adalah aktiviti paling penting dalam perhubungan mereka dengan individu-individu lain.

Menurut Prof. Riesman, dibandingkan dengan lelaki, wanita adalah lebih ekspresif dan mereka lebih banyak menampilkan emosi mereka dalam berkomunikasi. Bagi wanita, berbual-bual adalah kegiatan intim yang paling penting. Bagi mereka, pengalaman duduk-duduk dan berbual-bual adalah sangat memberi erti kepada jiwa dan batin mereka. Dengan berbual-bual mereka berasa sangat rapat dan mesra dengan orang yang berbual-bual dengan mereka. Apatah lagi jika orang itu adalah pasangan mereka sendiri.

Apakah erti komunikasi kepada wanita? Kepada mereka, komunikasi ialah aktiviti percakapan dan perbualan harian. Topik perbualan itu mungkin penting, mungkin remeh. Kepada wanita, kepuasannya serupa sahaja. Jadi, setiap sesi perbualan dengan pasangan adalah sangat bermakna kepada wanita, kerana ia mendalamkan lagi perhubungan dan kemesraan. Bagi wanita, cinta dan perkahwinan adalah perbualan yang berpanjangan. Perbualan bukan alat komunikasi, sebaliknya perbualan adalah komunikasi itu sendiri. Inilah yang jarang dimengerti oleh lelaki.

Daripada sudut pandangan lelaki, cinta dan keintiman adalah suatu peristiwa. Ia ada penghujungnya. Pusat cinta dan keintiman adalah aktiviti. Bagi lelaki, cinta adalah suatu kejadian. Sekali dia sudah jatuh cinta maka cinta akan berada pada tempatnya, tidak berubah-ubah. Jadi, apabila lelaki sudah mengesahkan komitmen cinta mereka melalui perkahwinan, perkara itu tidak perlu disebut-sebut lagi, apatah lagi diperbualkan. Ini berbeza dengan tabiat wanita yang beranggapan, walaupun sudah berkahwin, cinta perlu terus dipupuk dan diberi tumpuan sepanjang masa.

Lelaki diasuh supaya mencari kepuasan melalui aktiviti pencapaian. Sesuatu itu mesti ada permulaannya dan ada akhirnya. Apa-apa yang dikerjakan mesti diselesaikan. Jadi, kepada lelaki, komunikasi adalah alat mencapai suatu matlamat. Sebagai contoh, mereka berkomunikasi untuk menyelesaikan masalah, mengemukakan pendapat, melaksanakan kerja, membuat perancangan dan lain-lain aktiviti. Bagi lelaki, komunikasi mesti ada tujuan, ada matlamat yang mesti dicapai. Oleh itu, kepada mereka bercakap-cakap berkenaan perkara-perkara remeh-temeh dan berbual-bual kosong adalah perbuatan yang sia-sia dan cuma membuang waktu. Bagi mereka, tidak ada gunanya bercakap-cakap tentang cinta dan perhubungan, melainkan ada masalah yang perlu dicari penyelesaiannya.

Komunikasi lelaki adalah ditumpukan kepada isi. Jadi mereka tidak menggunakan komunikasi untuk bercakap tentang perasaan. Lagipun, budaya kita melatih lelaki supaya pandai menutup emosi mereka daripada diketahui oleh orang lain. Itulah sebabnya lelaki tidak suka mempamerkan perasaan mereka. Oleh itu komunikasi lelaki tidak ekspresif seperti komunikasi wanita. Tidak seperti wanita, lelaki menjalin dan memupuk kemesraan dan keintiman melalui pelbagai aktiviti, bukan melalui perbuatan berbual-bual. Mereka mengecap kemesraan dengan cara melakukan aktiviti bersama-sama dengan orang yang mereka senangi. Inilah yang menyebabkan lelaki menjalin persahabatan sebagai sambungan daripada kegiatan bersama.

Kepada lelaki, aktiviti adalah alat yang mereka gunakan untuk memupuk dan mengecap nikmat keintiman. Bagi mereka, melakukan sesuatu aktiviti bersama-sama dengan pasangan mereka adalah cara bagaimana mereka dapat merasakan keintiman dalam perhubungan. Begitu juga dengan perbuatan melakukan sesuatu untuk pasangan mereka. Ia adalah cara lelaki menyatakan cinta.

Lelaki dan Cinta
Daripada sudut pandangan lelaki, cinta adalah suatu peristiwa, suatu kejadian. Oleh itu, cinta mempunyai titik permulaan dan mempunyai titik penghujung. Bagi lelaki, oleh kerana cinta adalah suatu peristiwa, sekali dia jatuh cinta, maka cinta akan berada pada tempatnya, tidak berubah-ubah sampai bila-bila, melainkan berlaku factor-faktor yang menghapuskan cintanya itu. Bagi lelaki, sekali mereka sudah melafazkan komitmen cinta mereka melalui perkahwinan, maka cinta tidak perlu lagi disebut-sebut. Cinta mereka akan berada pada tempatnya dan tidak berubah-ubah lagi. Inilah yang tidak dimengerti oleh wanita.

Bagi wanita, sekali dia jatuh cinta, dia mahu terus bercakap-cakap mengenai cintanya. Itulah cara wanita memupuk cinta. Dan walaupun selepas berkahwin, wanita mahukan supaya cinta terus dipupuk sepanjang masa, tidak
kira siang ataupun malam. Cara wanita memupuk cinta adalah dengan menggunakan kegiatan bercakap-cakap dan berbual-bual berkaitan cinta itu sendiri. Bagi wanita, pusat cinta dan kemesraan adalah perbualan dan perbincangan cinta.

Bagi lelaki, pusat cinta adalah aktiviti fizikal. Pusat nikmat kemesraan pun serupa juga, iaitu aktiviti fizikal. Ini pun satu hal lagi yang wanita tidak pernah faham. Jikalau wanita suka bercakap-cakap dan berbual-bual dengan suami untuk memupuk kasih sayang, lelaki suka melakukan aktiviti fizikal dan sosial dengan isteri untuk tujuan yang sama. Itulah sebabnya, isteri yang lembap, lambat, cepat penat, berat tulang, pemalas, suka tidur siang, sangat membosankan lelaki.

Dalam budaya kita, lelaki sejak kecil-kecil lagi diasuh supaya mendapatkan rasa kepuasan hanya melalui aktiviti pencapaian, bukan melalui kegiatan bercakap-cakap dan berbual-bual. Itulah sebab lelaki gemar kepada permainan, hobi dan aktiviti yang lasak-lasak. Bagi lelaki, tiap sesuatu itu mestilah dimulakan dan diakhiri. Dengan itu baru ada pencapaian. Apa-apa yang dikerjakan mesti disiapkan. Barulah mereka sepatutnya boleh berasa puas. Daripada sudut pandangan lelaki, cinta adalah suatu aktiviti aktif, sesuatu yang dilakukan, barulah mereka mendapat rasa seronok dan nikmat daripadanya.

Bercakap-cakap dan berbual-bual tidak mendatangkan nikmat dan kepuasan kepada lelaki kerana ia bukan suatu aktiviti pencapaian. Bagi mereka, bercakap-cakap dan berbual-bual tidak ada permulaannya dan tidak ada penghujungnya. Ia tidak pernah selesai. Ia tidak menghasilkan apa-apa. Oleh itu bercakap-cakap dan berbual-bual hanya membuang masa sahaja bagi lelaki. Itu juga sebabnya lelaki tidak suka isteri yang banyak mulut, tetapi tak ada isi.

Bagi lelaki, bercakap-cakap mesti mempunyai tujuan, mesti ada matlamat yang hendak dicapai. Mereka bercakap bagi tujuan-tujuan seperti menyelesaikan masalah, melaksanakan kerja, mengemukakan idea, membuat rancangan, berunding dan lain-lain matlamat yang konkrit. Kalau tidak, lelaki tidak bercakap. Bagi lelaki, bercakap-cakap dan berbual-bual berkaitan emosi dan cinta, atau berkaitan hubungan suami isteri adalah sia-sia sahaja, kerana ia tidak ada matlamat yang boleh diukur pencapaiannya. Bagi mereka, berbincang tentang emosi adalah perkara remeh-temeh dan tidak ada apa-apa faedahnya.

Sebaliknya, apabila wanita hendak memupuk cinta dan perhubungan, mereka mahu perkara itu dilakukan dengan berbincang mengenainya. Bagi lelaki pula, mereka hanya akan berbincang mengenai hubungan apabila hubungan itu
ada masalah! Selagi hubungan cinta dan hubungan suami isteri berjalan baik dan memuaskan, ia tidak perlu diperkatakan.

Komunikasi lelaki adalah ditumpukan kepada isi yang hendak dikomunikasikan. Bagi mereka, perasaan bukan isi, jadi mereka tidak mahu bercakap berkenaan perasaan. Satu lagi faktor penting yang membuat lelaki tidak mahu bercakap berkenaan cinta dan perasaan, budaya telah mengasuh lelaki supaya pandai mengawal, menutup dan menyembunyikan perasaan mereka daripada diketahui oleh orang lain. Itulah sebabnya mereka tidak mahu mempamerkan emosi mereka, meskipun kepada isteri sendiri. Faktor inilah yang menyebabkan lelaki tidak ekspresif apabila berkomunikasi. Ertinya, apabila lelaki bercakap, mereka tidak memperlihatkan banyak emosi pada wajah mereka.

Suatu hal yang tidak dimengerti oleh lelaki adalah bagi wanita, pusat segala perhubungan antara dua orang manusia ialah aktiviti bercakap-cakap dan berbual-bual. Lelaki tidak faham, mengapa bagi wanita, tidak ada kegiatan lain yang lebih penting dan bermakna serta lebih memuaskan batin mereka selain daripada aktiviti, bercakap-cakap dan berbual-bual. Mengikut para pengkaji, berkenaan cinta dan perkahwinan, lelaki berbeza pandangan dengan wanita.

Bagi wanita, cinta dan kemesraan adalah suatu hal yang berterusan, iaitu seperti air sungai yang tidak hentihentinya mengalir. Ia tidak ada hujungnya. Cinta terus mengalir dari masa ke semasa. Oleh itu, wanita mahukan supaya cinta dan perkahwinan itu terus diucapkan, dibincangkan dan dibualkan dari waktu ke waktu. Itulah sebabnya isteri-isteri mahu supaya suami mereka mengucapkan cinta mereka dari waktu ke waktu. Dan mereka mahu supaya mereka dan suami terus bercakap-cakap dan berbual-bual tentang perkahwinan mereka.

Bagi lelaki, aktiviti bercakap-cakap dan berbual-bual tidak penting dalam bercinta dan berkasih sayang. Tetapi, bagi wanita, cinta, kasih sayang dan perkahwinan tidak pernah ada hujungnya. Ia berkembang dan berubah dari masa ke semasa. Itulah sebabnya, dari masa ke semasa, isteri-isteri mahu bercakap dan berbincang berkenaan emosi dan perkahwinan mereka. Bagi lelaki, selepas mereka mengahwini wanita yang mereka cintai, tamatlah tahap bercakap-cakap berkenaan emosi dan hubungan antara mereka berdua. Selepas itu bermulalah babak menjalani kehidupan sehari-hari dengan segala macam tuntutan masalah sehari-hari.

Cara lelaki menjalin dan memupuk perhubungan adalah dengan melakukan pelbagai aktiviti, bukan dengan bercakap-cakap dan berbual-bual. Yang membolehkan lelaki mencapai keseronokan, kepuasan dan kebahagiaan, apabila mereka dapat melakukan pelbagai aktiviti bersama-sama dengan orang-orang yang mereka sukai atau cintai. Bagi lelaki, persahabatan dan percintaan adalah sambungan sahaja kepada pelbagai aktiviti yang mereka lakukan bersama-sama. Cara lelaki mengecap nikmat kemesraan dan cinta adalah melalui aktiviti bersama. Apabila lelaki dapat melakukan apa yang mereka sukai dengan wanita yang mereka cintai, maka di situ mereka mendapat kepuasan erti cinta. Tidak seperti wanita, lelaki tidak mendapat apa-apa nikmat dan kepuasan dengan hanya bercakap-cakap.

Bagi lelaki, bercakap-cakap bukan aktiviti. Itulah sebabnya, cara lelaki mempamerkan cinta mereka kepada isteri adalah dengan melakukan sesuatu untuk isteri mereka. Dan itulah sebabnya lelaki dapat mengecap nikmat cinta dan berasa yakin dirinya amat dicintai pada setiap kali isteri mereka melakukan sesuatu untuknya.

Cinta Suami
Daripada cara seorang suami bercakap kepada isterinya, sepatutnya si isteri boleh mengetahui bahawa sudah berlaku perubahan kepada sifat-sifat perhubungan cinta dan kasih sayang yang ada antara mereka berdua. Dia boleh tahu sama ada suaminya masih sangat mencintainya, ataupun cinta suaminya itu sudah cair, atau sudah beralih ke tempat lain.

Ramai isteri yang mengalami masalah suami mempunyai perhubungan dengan wanita lain mengadu dan mengatakan mereka tidak pernah menyangka suami mereka ada hubungan lain di luar rumah. Ini kerana, suami mereka tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda perubahan. Suami mereka masih macam biasa. Oleh hal yang demikian, isteri-isteri itu tidak melihat tanda-tanda suami mereka mencintai wanita lain. Sebenarnya, tanda-tanda perubahan itu ada, malah banyak. Tetapi para isteri malang itu tidak perasan akan kewujudan tanda-tanda itu. Ini kerana, dalam kepala mereka ada satu set ‘tanda-tanda’ suami yang curang, dan mereka tidak melihat wujudnya tanda-tanda itu, lalu mereka mengatakan ‘tidak ada tanda-tanda’. Sebenarnya, yang tidak ada adalah tanda-tanda yang mereka cari.

Sering kali isteri-isteri malang itu mencari tanda-tanda stereotaip akan suami yang curang seperti kesan gincu bibir pada tengkuk baju suami, bau minyak wangi wanita lain, suami balik lambat, suami banyak helah, suami marah-marah, suami selalu tidak cukup duit dan lain-lain seperti itu. Jadi, apabila tanda-tanda yang stereotaip itu tidak ada, maka mereka mengatakan suami mereka masih setia.

Cinta adalah perkara yang sangat besar pengaruhnya dalam diri seseorang. Jadi, apabila seseorang suami jatuh cinta kepada wanita lain, peristiwa itu mesti ada kesannya ke atas tingkah lakunya. Jatuh cinta sentiasa menimbulkan rasa riang dan seronok dalam kalbu. Mereka banyak senyum kepada rakan-rakan. Mereka lebih bertenaga. Salah satu kesan emosi jatuh cinta adalah orang itu suka mendengar lagu-lagu cinta. Kalau mereka suka menyanyi, mereka suka menyanyi-nyanyi lagu cinta.

Jatuh cinta juga membuat seseorang memberi tumpuan semula kepada tubuh badan dan penampilannya. Ini tergambar pada tingkah lakunya, seperti membeli baju-baju baru, menukar kaca mata, menggosok kasutnya kilat-kilat, dan suka membetul-betulkan rambutnya supaya kemas. Perubahan emosi itu tentu ada kesannya pula ke atas cara-cara si suami berkomunikasi dengan isteri mereka. Sayangnya isteri-isteri malang itu tidak ada kemahiran membaca tanda-tanda pada perubahan komunikasi itu, jadi mereka tidak berupaya mengenal pasti kemunculan ciri-ciri komunikasi suami yang sudah mencintai wanita lain.

Cara-cara kita berkomunikasi sangat dipengaruhi oleh emosi kita. Lelaki yang sangat mencintai isterinya berkomunikasi dengan cara-cara yang sangat berbeza daripada suami yang tidak lagi berapa mencintai isterinya. Jadi, tidak mungkin berlaku, dan tidak akan pernah berlaku, di mana seorang suami yang jatuh cinta dengan wanita lain tidak menunjukkan sebarang tanda-tanda akan hal itu.

Emosi seseorang suami kepada isterinya berubah bukan hanya apabila si suami sudah jatuh cinta kepada wanita lain. Ada bermacam-macam faktor yang menyebabkan emosi seseorang suami berubah. Kebanyakan daripada perubahan emosi mereka itu tidak ada kena-mengena dengan faktor wanita lain. Antara faktor-faktor yang menyebabkan emosi suami kepada isteri mulai berubah adalah pertama, perubahan-perubahan yang berlaku pada diri si suami itu sendiri. Sebagai contoh, si suami sudah semakin tinggi kelulusannya, kelayakannya dan kejayaannya. Perubahan-perubahan itu menyebabkan mereka ikut mengubah ciri-ciri wanita idaman mereka.

Orang yang sudah memiliki kelulusan akademik tinggi, akan mengalami perubahan cita rasa dan keinginan. Kalau sebelumnya dia sudah cukup dengan wanita yang ‘baik’, selepas menerima ijazah yang lebih tinggi, barangkali dia inginkan wanita yang bukan sekadar ‘baik’ sahaja, tetapi juga ‘berkelulusan’, ‘cerdik’ dan ‘menyeronokkan’. Dalam erti kata lain, perubahan-perubahan yang berlaku kepada diri si suami menyebabkan dia menukar syarat-syarat dan kriteria wanita idamannya. Perubahan pada syarat dan kriteria itulah yang menyebabkan emosinya terhadap isterinya berubah. Apabila ini terjadi, komunikasi si suami kepada isterinya akan mengandungi banyak kritikan dan teguran terhadap ciri-ciri ‘kekurangan’ si isteri. Dia juga mungkin mencadangkan cara-cara supaya si isteri dapat mengatasi kekurangan-kekurangan yang ada pada dirinya.

“Awak tidak mahu ambil apa-apa kursuskah? Saya boleh bayarkan.”
“Mari kita ke kedai buku. Awak boleh beli dan baca buku yang baik.”
“Malam ini ada ceramah profesor dari UKM. Mari kita pergi. Awak boleh belajar juga.”

Faktor kedua yang boleh menyebabkan emosi suami berubah ialah perubahan-perubahan yang berlaku kepada diri si isteri. Sebagai contoh, saiz baju isterinya sudah berubah, daripada M, kepada XL. Ramai isteri tidak mahu menerima hal seperti ini. Namun kajian oleh pakar-pakar psikologi mendapati memang sudah fitrah bahawa lelaki lebih mementingkan penampilan jika dibandingkan dengan wanita. Perubahan lain mungkin termasuk perubahan perangai, umpamanya dulu si isteri tidak berleter, sekarang dia kuat berleter.

Ketiga, perkara-perkara yang tidak dilakukan oleh isteri. Mengikut suatu kajian, ini adalah antara faktor yang banyak disebut oleh lelaki berkenaan bekas-bekas isteri mereka. Wanita biasanya lebih kritis terhadap sifat-sifat peribadi suami mereka dan apa-apa yang telah mereka lakukan, sebaliknya lelaki pula lebih kritis terhadap apa yang tidak dilakukan oleh isteri. Kajian itu memberitahu antara rungutan utama bekas-bekas suami itu ialah isteri mereka tidak senyum kepada mereka.

Namun kebanyakan wanita menyangka, mula-mula suami mereka jatuh cinta dahulu dengan wanita lain, kemudian barulah perasaan suami mereka itu berubah lalu tidak lagi mengasihi mereka seperti sebelum perkara itu terjadi. Memang proses seperti itu boleh berlaku. Tetapi proses sebaliknya juga banyak berlaku, di mana emosi suami terhadap isteri berubah dahulu, kemudian barulah mereka jatuh cinta kepada wanita lain.

Perubahan emosi suami kepada isteri tidak berlaku dengan tiba-tiba sahaja. Sebaliknya ia berlaku dengan sangat perlahan-lahan. Kebanyakan suami yang mencintai wanita lain melaporkan mereka telah mengalami perasaan tidak puas dengan iklim perkahwinan mereka selama bertahun-tahun, malah mungkin berbelas-belas tahun lamanya, sebelum mereka mula mencintai wanita lain. Mereka menafikan adanya fenomena suami ‘tiba-tiba’ saja jatuh cinta kepada wanita lain tanpa sebarang sebab yang munasabah, seperti yang kerap didakwa oleh isteri-isteri malang itu. Ini bererti, kebanyakan isteri diberi masa yang amat panjang untuk mengambil langkah-langkah menambat semula kasih sayang suami mereka sebelum terlambat.

Oleh kerana perubahan emosi ada kesannya ke atas cara-cara seseorang suami berkomunikasi dengan isterinya. Oleh itu sangat besar faedahnya bagi para isteri belajar mengesan dan mentafsir pola-pola komunikasi yang berlaku antara mereka dan suami masing-masing. Antara tanda-tanda yang sangat halus yang menunjukkan emosi suami kepada isterinya sudah berubah tergambar pada permintaan-permintaan suami kepada isteri. Apabila suami sudah tidak berapa mencintai isterinya, dia akan mula menukar jenis-jenis perkara yang diminta dari isteri.

Antara ciri-ciri komunikasi lelaki yang sangat mencintai isteri, mereka itu suka meminta perkara-perkara yang mereka gemari. Sebagai contoh, jika si suami gemar makan tempe goreng, dia akan selalu meminta isterinya supaya membuat untuknya masakan itu. Jadi, eloklah para isteri catatkan dalam kepala bilakah kali terakhir suami mereka meminta masakan kegemarannya. Adakah baru malam tadi, atau lima tahun dahulu? Kalau baru malam tadi dia meminta masakan kegemarannya, itu adalah tanda suami mereka masih amat mencintai mereka.

Perbuatan suami yang masih suka meminta masakan kegemarannya adalah tanda si suami masih suka dimanjakan oleh isterinya. Lain-lain perubahan pada permintaan suami termasuklah mereka tidak lagi meminta isteri mereka memakai baju-baju yang selama ini mereka suka isterinya pakai. Apabila suami tidak peduli lagi apa baju yang dipakai oleh isterinya, itu adalah tanda si suami tidak seronok lagi menjamu matanya dengan memandang isteri.

Salah satu tabiat semula jadi orang yang bercinta, mereka itu sangat pemurah kepada orang yang mereka cintai. Oleh itu mereka suka membelikan hadiah-hadiah. Ramai suami membelikan kain-kain untuk pakaian isteri mereka. Mereka suka isteri mereka memakai baju yang dibuat daripada kain yang mereka sendiri belikan.

Satu lagi tanda halus yang menunjukkan perubahan emosi suami terhadap isteri ialah pada cara mereka membuat permintaan. Suami-suami yang amat cinta kepada isteri mereka akan menyampaikan permintaan dengan gaya bahasa yang memanjakan isteri dan oleh itu sangat lembut seperti, “Sayang, tolong buatkan sirap untuk abang.” Apabila emosi suami berubah sedikit, ayat itu pun ikut berubah sedikit, menjadi “Tolong buat sirap.” Apabila cinta sudah tidak ada lagi, ayat itu menjadi “Mana air?”

Gaya bahasa berubah apabila emosi kita berubah. Semasa suami masih cinta kepada isteri, dia mungkin berkata, “Pakailah baju yang lebih cantik.” Apabila sudah tidak cinta lagi, ayat itu menjadi, “Kenapa teruk sangat baju awak itu?” Bagi para isteri yang memahami pola-pola komunikasi, mereka akan mengambil tindakan memperbaiki iklim kasih sayang apabila tanda-tanda ini timbul.

Kebanyakan isteri mahukan supaya suami-suami mereka selalu memperkatakan, mengucapkan, membincangkan, menyatakan dan mempamerkan emosi mereka dengan secara terbuka, jujur dan tepat. Wanita yakin, seandainya lelaki mahu mempamerkan cinta dan kasih sayang mereka terhadap isteri dengan cara melakukan perkara-perkara seperti itu, maka wanita percaya mereka akan berasa bahagia dan puas dengan hubungan perkahwinan.

Ramai wanita mengadu mereka berasa diri mereka seperti tidak dicintai dan tidak disanjung lagi oleh suami mereka. Ramai isteri mengadu mereka menderita batin kerana kurang kasih sayang daripada suami. Sebenarnya kebanyakan wanita bukan kurang diberi kasih sayang oleh suami mereka. Sebenarnya mereka tidak menerima kasih sayang itu dalam bentuk yang macam mereka mahukan. Ini kerana lelaki mempamerkan kasih sayang mereka dengan cara mereka sendiri, yang tidak seperti cara idaman wanita. Wanita mahu supaya kasih sayang suami disampaikan kepada mereka dengan menggunakan kata-kata dan tingkah laku cinta yang jelas dan tepat. Mereka mahu sebutan kata ‘cinta’, ‘rindu’, ‘sayang’ dan lain-lain bahasa cinta diucapkan ke telinga mereka.

Di televisyen dan surat khabar sekarang, banyak pakar motivasi dan pakar kaunseling rumah tangga menyeru kaum suami supaya belajar mempamerkan kasih sayang mereka kepada isteri dengan cara yang lebih jelas dan terang, bukan lagi dengan cara sipi-sipi dan tidak langsung, seperti biasanya dalam budaya Asia kita. Mereka menyeru supaya suami-suami belajar mengucapkan dan membisikkan kata-kata cinta ke telinga isteri mereka. Mereka juga menyeru supaya suami-suami mempamerkan cinta mereka melalui tingkah laku cinta seperti menyentuh, mengusap, mengurut dan memeluk isteri.

Ada beberapa faktor yang menyebabkan permintaan isteri-isteri itu, dan juga seruan-seruan pakar-pakar motivasi dan kaunseling itu, sukar dipenuhi oleh kebanyakan suami. Ini bukan setakat masalah suami Asia. Kajian-kajian juga mendapati masalah ini adalah masalah biasa di Eropah dan di Amerika.

Faktor pertama adalah perbezaan cara wanita dan lelaki mengucapkan cinta mereka. Perbezaan ini adalah fitrah psikologi semua manusia, bukan hanya di kalangan orang-orang Melayu. Adalah fitrah manusia, wanita mengucapkan emosi mereka melalui aktiviti verbal. Wanita mengucapkan emosi mereka dengan cara bercakap-cakap mengenainya. Apabila wanita berasa suka, mereka bercakap; apabila mereka benci, mereka pun bercakap juga. Itulah fitrah komunikasi wanita. Itu sebabnya, wanita lebih banyak bercakap-cakap dan berbual-bual dibandingkan dengan lelaki. Melalui kegiatan itu mereka berpeluang menyatakan pelbagai emosi mereka. Dengan demikian mereka mendapat rasa kepuasan.

Tetapi lelaki tidak suka mengucapkan emosi mereka dengan menggunakan kata-kata. Sebaliknya mereka mengucapkan cinta mereka melalui aktiviti fizikal. Lelaki mempamerkan rasa cinta dengan melakukan sesuatu untuk orang yang mereka cintai, walaupun mulut mereka ‘bisu’. Ini ada kena-mengena dengan asuhan yang diterima oleh lelaki dalam semua budaya. Lelaki diasuh supaya mendapatkan rasa kepuasan melalui aktiviti pencapaian, bukan melalui aktiviti lisan.

Faktor kedua adalah peraturan budaya. Boleh dikatakan, dalam semua budaya, lelaki tidak dibenarkan mendedahkan perasaan mereka secara terbuka. Ini diasuh kepada mereka sejak mereka masih kanak-kanak kecil lagi. Sebagai contoh, tidak seperti kanak-kanak perempuan, kanak-kanak lelaki tidak digalakkan menangis. Lelaki diasuh supaya pandai mengawal emosi mereka daripada dapat dilihat dan diketahui oleh orang lain. Itu dianggap sebahagian daripada sifat-sifat kelelakian tulen. Jadi lelaki dibesarkan dengan asuhan supaya pandai menyembunyikan perasaan mereka.

Hampir dalam semua budaya, lelaki yang tidak pandai menyembunyikan dan mengawal emosi diberi tanggapan-tanggapan negatif. Mereka dilabelkan sebagai lelaki yang tidak tulen. Mereka dikatakan pondan, lemah, tidak ada personaliti dan lain-lain lagi. Mereka juga dikatakan tidak matang daripada segi inteleknya. Lelaki yang gagal mengawal dan menyembunyikan perasaan di tempat kerja boleh dihukum secara yang keras, yang boleh menjejaskan kemajuan kerjaya mereka. Daripada sudut sosial, mereka tidak dilantik menjadi ketua. Mereka juga menjadi bahan ejekan dan gurauan.

Faktor yang ketiga adalah lelaki takut kepada risiko peribadi. Kebanyakan lelaki takut hendak mendedahkan emosi mereka kepada isteri kerana perkara itu boleh mendatangkan risiko kepada diri mereka sendiri pada masa depan. Ini adalah disebabkan, lelaki tahu setiap kali mereka mendedahkan emosi mereka, sebenarnya mereka mendedahkan sebahagian daripada diri mereka yang lemah. Apabila seseorang lelaki mendedahkan emosinya kepada isterinya, dia mendedahkan kelemahannya kepada isterinya.

Kebanyakan lelaki tidak mahu mengambil risiko tersebut. Ini kerana lelaki tahu biasa terjadi di mana isteri-isteri menggunakan apa yang mereka tahu berkenaan kelemahan suami mereka untuk melukai hati dan mengalahkan suami mereka kemudian hari. Bukanlah perkara yang asing apabila isteri-isteri mengancam suami mereka dengan menggunakan ancaman-ancaman yang melihatkan risiko kepada emosi suami.

“Kalau awak kahwin lagi, saya tidak beri anak-anak jumpa awak lagi.” (x)
“Saya akan ceritakan kepada anak-anak apa yang berlaku. Biar dia orang benci kepada awak. Biar dia orang tahu siapa sebenarnya ayah mereka.” (x)
“Kalau awak tidak mahu juga putuskan hubungan awak dengan perempuan itu, saya beritahu ketua pejabat awak. Biar awak malu. Rasakan.” (x)
“Saya dedahkan skandal awak kepada wartawan.” (x)
“Saya akan pergi ke pejabat awak, biar semua orang tahu skandal awak!” (x)

Faktor keempat mengapa lelaki tidak mahu mempamerkan emosi mereka adalah mereka telah diasuh sejak kecil supaya pandai menafikan emosi mereka sendiri. Dalam kebanyakan budaya, lelaki diajar dengan berbagai cara menyelesaikan masalah peribadi. Secara tradisional, salah satu cara menyelesaikan masalah peribadi yang diajarkan kepada lelaki adalah menafikan perasaan mereka sendiri.

Sebagai contoh, katakanlah seorang suami berasa sakit hati kepada isterinya. Bagi menyelesaikan masalah emosi itu, dia akan menafikan yang dia sakit hati. Dia akan memberitahu kepada dirinya sendiri yang perasaan itu tidak ada, atau tidak patut dirasakan olehnya, atau bukan suatu masalah, ataupun bukan masalah besar yang perlu diselesaikannya. Lelaki diasuh sejak kecil supaya pandai melupakan sahaja apa perasaan yang mereka rasakan. Mereka juga diasuh supaya jangan suka melayan perasaan mereka. Caranya dengan berpura-pura mereka tidak mengalami perasaan itu. Satu cara lagi adalah tidak mahu bercakap langsung mengenainya. Mereka menjadi begitu pandai melakukan kedua-dua hal itu, sehingga mereka tidak tahu lagi bagaimana hendak melakukannya apabila diminta oleh isteri.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024