Karya Kreatif Kartunis-Kartunis Wanita: Cun #1

oleh Asri Yussof pada 15 Apr 2016

20160414_121600

Kepada para peminat komik, di sini ada berita terbaru berkenaan dengan komik keluaran PTS. Tempoh hari, Komik-M menerbitkan antologi ketiga komik siri Aku, Kau, dan Cinta. Kali ini, Komik-M menerbitkan sebuah lagi komik yang dilukis dan ditulis oleh kartunis-kartunis wanita yang bertajuk Cun #1.

Tanpa sebarang tema yang spesifik, cerita-cerita yang terkandung dalam komik ini kebanyakannya mempunyai pengisian berbeza yang cuba disampaikan oleh para kartunis. Namun, hampir keseluruhan cerita ini banyak bermain dengan emosi dan perasaan seperti cinta, persahabatan, dan kekeluargaan.

Namun begitu, terdapat beberapa cerita yang mempunyai plot twist berbeza bagi mengelakkan cerita yang dihasilkan menjadi klise. Pembaca juga pasti tidak kering gusi membaca komik ini.

Lukisan yang dihasilkan oleh para kartunis wanita ini kesemuanya menarik. Saya gerenti pembaca tidak jemu membelek setiap helaian muka komik ini. Watak-watak yang dihasilkan berjaya menarik perhatian para pembaca bagi menghabiskan komik ini dalam tempoh yang singkat.

Tambahan pula, kepada pembaca yang berminat untuk mengenali dan mengikuti perkembangan kartunis kegemaran mereka, komik ini ada menyelitkan satu muka surat sesi interview bersama para kartunis. Kartunis-kartunis ini turut berkongsi laman sosial media mereka seperti Facebook, Instagram, Blog, Deviantart, dan YouTube.

Tajuk-tajuk yang terkandung dalam komik ini adalah Coffee Break, Belajar Komik Bersama Kak Jon, Tip-Tip Keselamatan Untuk Wanita, Super Suraya: Hantu Opera, Panda Man, Harga dan Esah & Sobri.

Siapa kata wanita tidak mampu melukis sehebat kartunis lelaki? Segera dapatkan komik ini di kedai buku yang berhampiran ataupun boleh dapatkan buku ini secara online di Bookcafe.com.my.