Artikel

Kebolehan Melihat Tanda Kebesaran Tuhan.

oleh Helmi pada 11 May 2004

Ditulis oleh : Harun Yahya
Diterjemahkan oleh : Ashadi Zain

Katakanlah : Puji-pujian bagi Allah, nanti Dia akan memperlihatkan kepadamu ayat-ayatNya (tanda-tanda kekuasaanNya), lalu kamu mengetahuinya. Tuhanmu tidak lalai tentang apa-apa yang kamu kerjakan. (Surah an-Naml: 93)

Cara masyarakat masa kini menilai Quran adalah berbeza dengan tujuan sebenar ianya diwahyukan. Secara umumnya, hanya segelintir daripada penganut Islam yang mengetahui kandungan Quran.

Sebahagian umat Islam sekadar menjadikan Quran sebagai hiasan dinding yang diletakkan di dalam kerangka berhias. Jika dibaca pun, Quran hanya dibaca oleh orang-orang tua dan itupun tidak selalu. Mereka sekadar percaya bahawa dengan membaca Quran, mereka akan terlindung daripada kesusahan dan bala. Bagi mereka, Quran adalah umpama tangkal untuk melindungi mereka daripada malapetaka.

Walaubagaimanapun, tujuan Quran diwahyukan adalah lebih daripada itu. Contohnya, dalam ayat 52, Surah Ibrahim, Allah berfirman : (Quran) ini suatu yang disampaikan kepada manusia, supaya mereka mendapat peringatan dengan dia dan supaya mereka mengetahui, bahawa Allah Tuhan yang Esa dan supaya mendapat peringatan orang-orang yang berakal. Dalam banyak ayat-ayat lain, Allah terus menekankan bahawa tujuan utama Quran diwahyukan adalah untuk mengajak manusia berfikir.

Dalam Quran, Allah mengajak manusia untuk menolak amalan mempercayai segala nilai dan kepercayaan yang wujud dalam masyarakat mereka secara taklid buta. Allah juga mengajak manusia untuk berfikir dengan cara membebaskan minda mereka daripada segala prejudis, taboo dan kongkongan.

Manusia harus berfikir tentang asal usul kewujudannya, tujuan dan matlamat kehidupan, mengapa dia akan mati dan apa yang menanti selepas kematiannya. Dia harus berusaha menjawab persoalan tentang asal usul kewujudan alam semesta dan dirinya sendiri serta bagaimanakah kedua-duanya akan terus wujud. Semua ini harus dilakukan dalam keadaan dirinya yang bebas daripada segala kongkongan dan prejudis.

Orang yang berfikir dan pada masa yang sama membebaskan hati nuraninya daripada tanggungjawab sosial, ideologi dan psikologi akhirnya akan sedar bahawa seluruh alam semesta, termasuk dirinya, dicipta oleh suatu yang lebih berkuasa daripadanya.

Seterusnya, jika dia memerhatikan tubuh badannya atau sebarang benda hidup, dia akan dapat melihat bahawa segalanya mencerminkan keharmonian, kebijaksanaan dan perancangan penciptaNya yang sememangnya mengagumkan.

Dalam hal ini juga, Quran memberikan panduan kepada manusia. Dalam Quran, Allah memberikan panduan kepada kita tentang perkara-perkara yang perlu kita siasat dan renungkan. Dengan menggunakan cara bertakafur yang terdapat dalam Quran, mereka yang beriman kepada Allah akan dapat memahami dengan lebih mendalam tentang kesempurnaan, kebijaksanaan yang kekal, ilmu dan kuasa Allah yang terserlah dalam segala ciptaanNya.

Apabila mereka yang beriman mula berfikir dengan menggunakan cara yang ditunjukkan dalam Quran, dia akan menyedari bahawa seluruh alam semesta ini merupakan tanda kekuasaan Allah dan ia merupakan suatu seni, yakni alam ini merupakan hasil seni, bukan tukang seni itu sendiri. Setiap hasil seni pastinya menonjolkan kemahiran luar biasa tukang seninya dan menyampaikan pesanannya.

Dalam Quran, manusia diarahkan untuk berfikir tentang objek dan kejadian yang banyak berlaku di persekitaran mereka yang secara jelas menjadi bukti tentang kewujudan dan keunikan Allah dan sifat-sifatNya. Dalam Quran, semua hidupan tersebut yang menjadi saksi, diberi nama tanda, bermaksud bukti yang telah teruji, ilmu yang hakiki dan pengungkapan kebenaran. Maka, tanda-tanda kewujudan Allah ada pada setiap hidupan yang memperlihatkan hakikat dan sifat-sifatNya. Mereka yang mampu memerhatikan dan mengingat akan sedar bahawa sebenarnya, seluruh alam semesta ini merupakan tanda kewujudan Allah.

Kebolehan untuk melihat tanda-tanda kebesaran Allah sememangnya merupakan tanggungjawab setiap insan. Jadi, insan yang demikian akan mula mengenal penciptaNya ( yang juga mencipta keseluruhan jagat raya ini ), mendekatiNya, menginsafi erti kewujudan dan kehidupannya; dan akhir sekali mengecapi kemakmuran.

Gerak nafas, pembangunan politik dan sosial, keharmonian kosmik di alam semesta, termasuklah atom yang merupakan antara unsur jisim terkecil; semuanya merupakan tanda kebesaran Allah dan berada di bawah kawalan dan kuasaNya serta menurut undang-undangNya. Usaha adalah diperlukan untuk mengenal dan mengetahui tanda-tanda kebesaranNya. Pada masa yang sama, semua orang akan mengenal dan mengetahui tanda-tanda kebesaran Allah menurut gerak hati dan kebijaksanaannya sendiri.

Walau bagaimanapun, sedikit garispanduan mungkin boleh membantu. Sebagai langkah pertama, seseorang itu boleh menyiasat keterangan-keterangan tertentu dalam Quran agar dirinya beroleh kerangka minda yang menanggapi alam semesta ini sebagai natijah penciptaan Allah.

Tanda-tanda kebesaran Allah ditekankan dalam Surah an-Nahl:
Dia yang menurunkan air dari langit, di antaranya untuk minuman kamu dan di antaranya untuk tumbuh-tumbuhan; di sana kamu mengembalakan ternakmu. Dia tumbuhkan untukmu dengan air itu tanam-tanaman zaitun, pohon korma, anggur dan bermacam-macam buah-buahan. Sesungguhnya pada demikian itu menjadi tanda bagi kaum yang memikirkannya. Dia tundukkan untukmu malam dan siang, matahari dan bulan. Semua bintang-bintang tunduk di bawah perintahNya. Sesungguhnya pada demikian itu menjadi tanda-tanda bagi kaum yang berakal, Dan apa-apa yang dijadikanNya untukmu di atas bumi, yang bermacam-macam warnanya. Sesungguhnya pada demikian itu menjadi tanda bagi kaum yang mengambil peringatan. Dia yang menguasai laut, supaya kamu makan daging (ikan) yang lembut dan supaya kamu keluarkan dari dalamnya perhiasan yang kamu pakai dan engkau lihat kapal berlayar di laut dan supaya kamu mencari kurnia Allah (rezeki), mudah-mudahan kamu berterima kasih kepadaNya. Dia mengadakan gunung-gunung di atas bumi,

supaya jangan ia bergerak-gerak bersama kamu dan (menjadikan) sungai-sungai dan jalan-jalan, mudah-mudahan kamu mendapat petunjuk, Dan lagi beberapa tanda; dan dengan bintang, mereka mendapat petunjuk. Adakah (Allah), yang menjadikan (segala makhluk) serupa dengan (berhala) yang tiada menjadikan ? Apa tiadakah kamu mendapat peringatan ? ( Surah an-Nahl : 10-17 )

Dalam Quran, Allah mengajak mereka yang berilmu untuk memikirkan tentang isu-isu yang tidak difikirkan oleh orang lain ataupun mereka melabelkan isu-isu berkenaan sebagai evolusi, kebetulan atau keajaiban alam.

Sesungguhnya tentang kejadian langit dan bumi dan pertikaian malam dan siang menjadi tanda (atas kekuasaan Allah) bagi orang-orang yang berakal. (Yaitu) orang-orang yang mengingat Allah ketika berdiri, duduk dan waktu berbaring; dan mereka memikirkan kejadian langit dan bumi, (sambil berkata) : Ya Tuhan kami, bukanlah Engkau jadikan ini dengan percuma (sia-sia), Mahasuci Engkau, maka peliharalah kami dari siksaan neraka. (Surah Ali-‘Imran: 190-191)

Berdasarkan ayat-ayat di atas, jelaslah bahawa mereka yang berilmu dapat melihat tanda-tanda kebesaranNya dan dengan mengingat dan berfikir, mereka cuba untuk memahami seni, keabadian ilmu dan kuasaNya. Sedarlah bahawa ilmu Allah tidak bertepi; segala ciptaanNya tiada cacat cela.

Sesungguhnya, bagi orang yang berilmu, segala yang berada di sekelilingnya merupakan ciptaan dan tanda kebesaranNya.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024