Artikel

Isu Menukar Bahasa Penghantar Matapelajaran Sains dan Matematik.

oleh Helmi pada 11 May 2004

Akhir-akhir ini media massa kita dihebohkan dengan keputusan kerajaan untuk menukar bahasa pengantar untuk mata pelajaran sains dan matematik di sekolah rendah dari bahasa Melayu ke bahasa Inggeris. Pertukaran ini akan dijalankan mulai darjah satu 2003 di Sekolah Kebangsaan saja, tidak di sekolah Jenis Kebangsaan Cina dan Tamil. Malahan dalam salah satu berita akhbar kemudiannya dikatakan tindakan ini akan dimulakan juga dari tingkatan satu untuk dapat melihat hasilnya dengan lebih cepat.

Pihak yang mahu melaksanakan ini mengatakan tindakan ini tidak bertentangan dengan Dasar Pelajaran Kebangsaan dan tidak akan menjejaskan sama sekali taraf bahasa Melayu kerana kedudukannya sudah terjamin kerana telah termaktub dalam perlembagaan. Seperti lazimnya, yang menentang keputusan itu dianggap sebagai nasionalis sempit dan fanatik bahasa. Memang itulah nasib pejuang bahasa kebangsaan dari dulu hingga hari ini.

Apakah yang telah mendorong pihak kerajaan membuat keputusan tersebut? Dikatakan bahawa tindakan ini diambil untuk meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris pelajar-pelajar Melayu. Dikatakan penguasaan bahasa Inggeris mereka amat lemah dan perlu ditingkatkan supaya mereka dapat menimba ilmu, terutama dalam bidang sains dan teknologi maklumat yang banyak terdapat dalam bahasa Inggeris. Ini memang keperluan yang mesti diatasi dan dicari jalan untuk mengatasinya.

Apakah keputusan ini dibuat berdasarkan sesuatu kajian yang mendalam atau apa-apa kajian pun? Hakikat bahawa keputusan ini dibuat oleh pemimpin politik tanpa merujukkanya kepada pakar-pakar pendidikan atau bahasa sama ada di IPT atau di Kementerian menunjukkan betapa tergesa-gesanya keputusan ini dibuat. Mengapa begitu tergesa-gesa membuat keputusan yang melibatkan masa depan satu generasi manusia? Kita di sini bereksperimen dengan nasib masa depan anak bangsa kita sendiri!

Cuba kita kaji apakah masalah yang dikatakan kita hadapi dengan sangat kritikal itu? Pelajar Melayu lemah dalam bahasa Inggeris. Pelajar Melayu lemah dalam matematik. Pelajar Melayu lemah dalam sains dan ramai siswazah Melayu menganggur.

Dan apakah penyelesaian yang dikemukakan? Ajarkan sains dan metamatik dalam bahasa Inggeris mulai dari darjah satu sekolah rendah! Bahasa Inggeris sudah menjadi semacam tongkat ajaib pemain silap mata. Kalau menggunakan bahasa sendiripun sudah sukar bagaimana pula menggunakan bahasa asing boleh menyelesaikan masalah.

Pernahkah di mana-mana di dunia ini dibuktikan mengajar sains dan metametik dalam bahasa Inggeris akan memudahkan pemahaman mata pelajaran tersebut? Atau sebaliknya, mengjar metametik dan sains dalam bahasa Inggeris boleh mempercepatkan penguasaan bahasa Inggeris?

Kalau apa yang hendak dilakasakan ini berdasarkan percubaan ‘trial and error’ semata-mata, tidakkah perlu dibuat kajian lebih dahulu? Yang akan menjadi mangsa daripada percubaan ini adalah anak bangsa kita sendiri, terutama orang kampung dan mereka dari kalangan yang tidak mampu memberikan tuisyen kepada anak mereka.

Kalau anak-anak kita lemah dalam bahasa Inggeris, sains dan metametik, langkah yang munasabah dan rasional adalah mengkaji di mana letak salah silapnya? Kaedah pengajarankah? Kurikulumkah? Jumlah murid dalam kelaskah? Jumlah jam kontak guru-muridkah? Atau pelajar-pelajar sama sekali tidak bermotivasikah? Apa sebab selepas 10-11 tahun belajar bahasa Inggeris, anak-anak kita masih belum boleh membaca bahan-bahan mudah dalam bahasa Inggeris? Apakah sasaran pengajarannya? Boleh bercakap seperti orang Inggeris?  Boleh menulis dengan betul? Boleh mendengar dan faham dengan baik? Atau boleh membaca bahan-bahan untuk mendapatkan ilmu?

Jika belajar sains dan metamatik dalam bahasa ibunda sudah sukar, bukankan mengajarnya dalam bahasa asing akan menggandakan lagi kesukarannya?

Allah telah berfirman dalam al-Qur’an, “… dan nasihatilah mereka serta katakanlah kepada mereka kata-kata yang memberi bekas pada apa-apa yang ada di hati mereka.” (an-Nisa’:63).

Dan menurut para ulama,  kata-kata yang memberi bekas dalam ayat ini bermaksud bahasa ibunda seseorang. Jika sehingga ini tidak ada bukti dari penyelidikan bahawa mengajar sains dan metametik dalam bahasa Inggeris itu lebih berkesan maka al-Qur’an telah memberi petunjuk kepada kita. Apakah ayat al-Qur’an pun hendak kita ingkari?

Soal lain yang perlu dibincangkan ialah mengapa keputusan yang sebesar ini dibuat dengan cara yang amat tergesa-gesa? Pada mulanya aliran Inggeris mahu dihidupkan semula. Apabila ini mendapat tentangan, maka diputuskan pula pengajaran sains dan metametik diajarkan dalam bahasa Inggeris mulai darjah satu. Lantas ini dianggap terlalu perlahan, maka akan dimulai dari tingkatan satu.

Pejuang bahasa Melayu selalu dituduh sebagai emosional.Tetapi kini ternyata pihak kerajaan beria-ia benar mahu menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar tanpa pengkajian lebih dahulu. Apakah tindakan ini rasional dan boleh dipertahankan secara saintifik dan dari sudut pedagogi?

Sesungguhnya, keputusan menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar untuk sains dan metametik adalah satu tindakan membunuh bahasa Melayu secara halus.

Tahun 2003 diperingkat sekolah rendah hanya dua mata pelajaran yang diajar dalam bahasa Inggeris. Apabila sampai ke sekolah menengah nanti seluruh jurusan sains dan perdagangan akan di ajarkan dalam bahasa Inggeris. Apa akan jadi bila sampai ke peringkat IPT? Yang akan menggunakan bahasa Melayu sebagai pengantar hanya Fakulti Sastera dan Sains Sosial dan Pengajian Islam saja. Dalam fakulti sains sosial pun banyak matapelajaran seperti, metametik, statistik, geologi dan lain-lain akan diajarkan dalam bahasa Inggeris. Apakah ini tujuannya? Bayangkanlah senario ini di IPTA yang dikelilingi oleh IPTS yang hampir semuanya menggunakan bahasa Inggeris.

Bagaimanakah kedudukan bahasa Melayu 10 tahun dari sekarang? Bahasa Melayu akan mati beragan. Apabila sesuatu bahasa itu tidak lagi menjadi bahasa ilmu moden maka ia akan jadi bahasa pasar saja. Ia akan diketepikan sama sekali dalam dunia perniagaan. Bunga-bunganya sudah kelihatan hari ini. Oleh kerana telah dimaktubkan dalam perlembagaan maka kedudukannya akan kekal dalam upacara-upaca rasmi. Tetapi ia bukan bahasa ilmu moden.
Apabila tidak digunakan untuk mengajar sains, metametik dan teknologi maklumat, maka tidak akan diperlukan istilah-istilah baru untuk bidang-bidang itu. Tidak ada siapa yang akan menulis dan menerbitkan buku teks dan tambahan dalam bidang ini dalam bahasa Melayu kerana tidak akan ada pembaca dan pembelinya. Kalau tidak ada istilah-istilah baru sains, teknologi dan komputer dalam bahasa Melayu, apa akan jadi dengan ruangan berkenaan dalam akhbar dan majalah tempatan? Lagi pula, pembaca tidak lagi mahir membaca perkara-perkara ini dalam bahasa Melayu. Akhbar dan majalah tempatan mempunyai pilihan sama ada akan mengubah bahasa pengantarnya atau menerbitkan ruangan dalam bahasa Inggeris untuk kesihatan, teknologi maklumat, perkara-perkara yang teknikal dan lain-lainnya. Masa depan akhbar dan majalah tempatan juga akan malap.   

Inilah kemungkinan senarionya mulai sepuluh tahun dari sekarang kalau tindakan ini diteruskan. Kalau terbukti senario yang saya bayangkan ini salah, maka saya akan menjadi orang yang amat gembira. 


Abu Bakar A Hamid
10.6.2002

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024