Artikel
Kedai Buku Online Lengkapkan Keperluan Pelanggan
oleh Roziyah pada 19 Jul 2010
Kedai buku online seolah-olah menjadi pelengkap dalam memenuhi keperluan pelanggan yang sukar mendapatkan kedai buku di kawasan mereka.
Kedai buku online mengambil peranannya yang tersendiri sebagai memenuhi keperluan pembaca di daerah-daerah kecil, yang mana sukar untuk mendapatkan kedai buku.
Menurut Pengarah Urusan PTS, Tuan Arief Hakim Sani Rahmat, profile pembeli buku online biasanya terdiri daripada buku-buku rujukan profesional atau buku-buku yang sukar didapati di kedai buku.
"Ambil contoh di PTS, buku-buku rujukan guru adalah satu kategori yang popular dipesan melalui kedai buku online kami.
"Bukunya spesifik kepada tugasan profesional guru. Kategori ini bukan buku umum. Buku begini lebih sesuai dicari dalam kedai buku online," kata beliau.
Bagi Tuan Arief, kehadiran kedai online ini tidak mampu membunuh wakil pengedar dan penjual buku kerana 99 peratus jualan buku masih berlaku di dalam kedai buku.
"Dalam kata lain, 99 peratus jualan buku masih berlaku di kedai buku. Saya percaya nombor ini agak seragam di seluruh negara," jelas beliau.
Tuan Arief berkata, kedai buku menawarkan banyak kelebihan kepada pembaca seperti pengalaman membeli-belah bahan-bahan yang menarik dan paling penting membolehkan pembaca meneliti sehingga berpuas hati buku yang mahu dibelinya.
Selain itu, pengalaman membawa anak memilih buku, mencari hadiah atau menyertai aktiviti melukis adalah aktiviti berkualiti bersama keluarga yang hanya boleh dilalui di kedai buku sahaja.
"Kita semua sibuk, dan kita mencari tempat di mana kita boleh menjalankan aktiviti berkualiti bersama keluarga," kata beliau lagi.
Beliau berkata setiap saluran jualan buku mempunyai fungsi dan pelanggannya yang tersendiri.
Sukar bagi satu saluran memenuhi keperluan setiap pembaca di Malaysia kerana semua saluran ini diperlukan bagi menyebarluaskan buku kepada semua lapisan masyarakat.
"Kami masih mengharapkan lebih banyak kedai buku, kiosk buku dan penjual pasar malam akan membuka lebih banyak outlet jualan diseluruh negara.
"Masalah utama industri buku Malaysia adalah kurangnya outlet jualan buku, terutamanya sekali di daerah-daerah luar bandar," jelas Tuan Arief lanjut.