Artikel

Kegagahan Perancis Di Zaman Pemerintahan Napoleon: Maharaja Napoleon

oleh Khairul Aswad Khairul Anuar pada 20 Aug 2015

Hampir setiap orang memasang angan-angan untuk pergi ke Paris yang terletak di negara Perancis.

Tidak hairanlah kalau negara itu menjadi destinasi utama mereka yang ingin berbulan madu. Kata mereka, itu kota cinta.

Sebuah kota yang dengan melihatnya saja, boleh terbit rasa cinta dan sayang. Terlihat lampu jalan pun sudah dikatakan romantik. Begitulah orang yang sedang angau.

Namun, disebalik keindahan itu, adakah ramai yang tahu sejarah mengenai negara tersebut? Pernah anda mendengar nama Napoleon?

Kalau anda membayangkan cerita terbitan negara Australia mengenai seekor anjing yang mempunyai nama serupa, anda tersilap.

Penulis novel sejarah terkenal PTS, Abdul Latip Talib kali ini memberi hadiah baru kepada para peminatnya.

Penulis ini tidak pernah jemu menulis sebuah novel yang secara amnya adalah bosan bagi sesetengah individu, tetapi dengan garapan yang kemas dan penceritaan yang tersusun lagi menarik, persepsi itu berubah. Ini adalah sebuah lagi novel yang wajib ada di dalam rak buku anda.

Melihat kulit buku novel ini, tergambar seseorang sedang menunggang kuda dan diiringi bala tenteranya.

Ya, itulah Napoleon Bonaparte, seorang panglima tentera dan maharaja negara Perancis yang gah dan terkenal dalam zamannya.

Beliau memenangi peperangan dengan strategi yang hebat dan disenangi oleh ramai pengikutnya. Namun begitu, beliau juga tidak berapa disenangi oleh beberapa individu.

Pelbagai cubaan dilakukan untuk menjatuhkan beliau sehingga beliau berjaya dikalahkan. Namun, beliau berjaya menaiki takhtanya semula. Tapi, berjayakah beliau mengekalkannya?

Membaca helaian-helaian terakhir novel ini, anda juga sedang membaca momen terakhir beliau di dunia. Beliau dikatakan menghidap kanser perut, tapi hasil siasatan, ternyata sebaliknya. Mungkinkah beliau diracun? Jika ya, siapa yang sanggup berbuat begitu? Adakah para musuh, atau para pengikut yang talam dua muka?

Membaca novel ini sambil menghirup kopi panas dan menikmati pisang goreng boleh memberi anda ketenangan di waktu senggang.

331 helaian terasa seperti cepat sahaja habis dibelek kerana perasaan teruja yang memuncak sewaktu membaca. Jadi, apa lagi? Sebelum anda ke Perancis, bacalah buku ini dulu!


 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024