Artikel
Kekacauan Di Mesir: Wakil PTS Sempat Jalin Kerjasama
oleh Roziyah pada 10 Feb 2011
Walaupun terjadi kekacauan di Mesir, namun wakil PTS yang dihantar ke Mesir bagi menghadiri Pesta Buku Antarabangsa Mesir sempat menjalin kerjasama dengan penerbitan di sana.
Menurut Editor PTS Islamika, Tuan Imran Azmi, perancangan ke pesta buku terpaksa dibatalkan apabila pesta buku kedua terbesar di dunia itu terpaksa ditangguhkan akibat rusuhan yang berlaku.
Beliau bersama Tuan Rohidzir Rais sempat melawat ke beberapa syarikat penerbitan di sekitar Mesir termasuklah syarikat penerbitan Darul Wafak, Ghaddul Jadid dan Darul Salam.
"Kita juga sudah kenal pasti buku-buku yang ingin dilesenkan dan berjaya mendapatkan sebut harga bagi buku-buku yang dipilih," jelas Tuan Imran.
Beliau menjelaskan yang Darul Salam, Darul Fikri, Darul Hadis dan Maktabah Wahabah adalah syarikat penerbitan yang terbesar di Mesir.
"Lokasi syarikat ini jauh antara satu dengan yang lain dan ada lokasi yang terletak betul-betul di lokasi tunjuk perasaan iaitu di Dataran Tahrir," ujar Tuan Imran.
Perintah darurat dikeluarkan pada hari ketiga dua wakil PTS ini berada di Mesir. Tuan Imran memaklumkan yang banyak kedai-kedai buku di sekitar Mesir ditutup akibat rusuhan yang berlaku.
""Kami terus ke Perpustakaan Iskandariah yang juga perpustakaan tertua dan pernah menjadi perpustakaan terbesar di dunia. Kami dalam perjalanan ke perpustakaan dan tidak dapat masuk kerana berlaku rusuhan di luar perpustakaan. Apabila kami berpatah balik, datang sekumpulan lagi penunjuk perasaan menghala ke arah kami kerana mahu menyerang pasukan polis. Waktu itu kami terperangkap dan mencari jalan keluar di lorong antara bangunan.," jelas beliau lanjut.
Tuan Imran dan Tuan Rohidzir menaiki teksi ke stesen keretapi utama di Sidi Gaber kerana stesen keretapi kecil di tempat perlindungan di Mandarah ditunda kerana perintah berkurung.
"Apabila kami sampai di Stesen Keretapi Sidi Gaber, kami melihat tentera beserta kereta perisai sudah menguasai stesen keretapi tersebut. Kami masuk kes stesen di celah orang ramai dan berjaya mendapatkan keretapi. Namun, keretapi tersebut tidak dibenarkan bergerak sehingga mendapat kebenaran daripada pihak tentera. Kami tidak pasti jam berapa keretapi akan bertolak ke Kaherah kerana tidak ada sesiapa di kalangan petugas stesen dapat memberi jaminan keretapi akan bertolak. Kami terus menunggu di dalam koc keretapi. Oleh kerana keletihan, kami tertidur. Apabila kami terjaga, kami dapati keretapi kami sudah bergerak meninggalkan Iskandariah," jelas beliau lagi.
Beliau menjelaskan, walaupun Mesir menghadapi kekacauan, namun kedatangan wakil PTS bagi menjalin kerjasama dengan beberapa penerbit di sana di sambut baik. Beberapa buku terbaik dari Mesir berjaya dibawa pulang bagi dilesenkan dan diterjemah ke bahasa Melayu.
"Darul Salam yang menerbitkan buku-buku berkualiti di Mesir bukan sahaja mahu menjalin kerjasama dengan PTS melalui hak cipta melesenkan buku, malahan Darul Salam juga bersedia memasarkan buku-buku terbitan PTS di sekitar Mesir," ujar Tuan Imran lanjut.
Kerjasama yang dijalin ini membuka ruang dan peluang bagi meluaskan lagi pasaran buku berbahasa Melayu di peringkat antarabangsa.