Artikel

Kembara Dunia Teknologi: Tunas Super: Robo Rider

oleh Adzkia Amanah Ugi Suharto pada 08 Apr 2015

Sebuah lagi karya penulis muda telah lahir. Kali ini ia cetusan idea seorang remaja lelaki.

Baru menginjak 12 tahun, mungkin usianya sama dengan adik-adik di luar sana.

Robo Rider akan membawa adik-adik ke alam fantasi sains fiksyen moden.

Bersama barisan watak yang terdiri dari pelbagai latar belakang, adik Hazim membuka peluang kepada peminat novel pendek untuk mengenali pelbagai adat masyarakat dan tempat.

Sekali imbas, jalan penceritaan hampir sama dengan kisah Ultraman, cuma tiada watak raksasa gergasi yang menakutkan.

Tetapi akan ada profesor bijak yang baik hati serta ketua syarikat yang tegas dan ditakuti ramai.

Bagi adik-adik yang mengagumi negara Jepun dan kemajuan teknologinya, adik-adik mungkin akan tambah teruja apabila mengetahui hampir separuh jalan cerita ini berlaku di Jepun.

Perjalanan plot cerita yang kemas akan memudahkan pembaca cilik memahaminya.

Bahasa yang digunakan juga agak ringkas dan santai, namun tetap mengekalkan tatabahasa yang betul.

Turut diselit bersama dalam buku ini adalah mesej-mesej tentang kepentingan mengamalkan ajaran Islam dalam kehidupan.

Penting untuk adik-adik tahu bahawa sangat beruntung orang yang menjaga agamanya kerana dengan itu rahmat Allah akan sentiasa mengiringi kehidupan ini.

Semoga lebih ramai lagi penulis berbakat seperti ini kelak.

Muda tetapi cakna, matang minda dan jiwa.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024