Artikel

Sahabat ialah Anugerah Daripada Tuhan: Hadiah Buat Sahabat- Dua Wajah Dua Minda

oleh Khairul Aswad Khairul Anuar pada 08 Apr 2015

Anda pernah atau masih mempunyai sahabat sejati? Seorang sahabat yang akan ada di saat anda berduka. Dialah orang pertama yang menghulurkan tangan untuk membantu. Dia jugalah orang yang menangis bersama sewaktu anda sedih. Dia jugalah orang pertama yang akan mengharungi ranjau hidup bersama anda di waktu susah.

Itulah sahabat yang baik. Seorang sahabat yang hubungan persahabatannya adalah ikhlas dan hanya kerana Allah.

Buku Hadiah Buat Sahabat : Dua Wajah Dua Minda ini adalah nukilan unik dihasilkan oleh dua penulis hebat. Betapa mereka berdua bersahabat walau jarang-jarang dipertemukan.

Kita juga pernah ada sahabat begitu kan? Kali terakhir berjumpa sewaktu kita masih berhingus dan bermain ting ting di belakang rumah. Dengan izin Allah, dipertemukan dalam satu keadaan dan akhirnya duduk semeja bercerita mengenai kenangan lama yang kekal indah dalam memori. Itulah aturan Allah. Hidup bersahabat ini indah.

Dalam naskhah ini, penulis banyak menitipkan nilai-nilai persahabatan dalam bentuk yang halus. Membacanya perlukan ketenangan jiwa. Setiap bait yang dipersembahkan dalam naskhah ini ada maksudnya yang tersendiri.

Penulis juga banyak mengingatkan kita tentang ayat-ayat Al-Quran, yang menyentuh beberapa isu dan nikmat yang diberi Allah sebagai peringatan untuk kita. Sebagaimana seorang sahabat yang baik saling menasihati dan mengingatkan, begitulah niat penulis dalam naskhah mereka ini.

Mereka menganggap semua pembaca sebagai sahabat mereka dan sebagai sahabat, tujuan manusia hidup dan betapa hebatnya aturan Allah perlu sentiasa diperingatkan.

Bagi pembaca yang sayangkan sahabat, bolehlah mula mencari buku ini di kedai-kedai buku. Apalah sangat kehabisan beberapa ringgit jika mahu dibandingkan dengan air mata sahabat yang terharu dengan pemberian ikhlas itu.

Pembaca juga jangan terlupa, perlaburan anda akan dibalas dengan ganjaran yang berlipat ganda oleh Allah kelak.

 

 

 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024