Artikel

Kempen Beli dan Menang Bersama PTS: Memupuk Budaya Membaca di Kalangan Pelajar

oleh Nor Fadhilah Fauzan pada 30 Jul 2024

Dalam usaha menyemarakkan budaya cintakan ilmu dan membaca, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) memperkenalkan inisiatif e-Baucar Buku Madani. Program ini bertujuan untuk membugar budaya membaca di kalangan pelajar institusi pengajian tinggi (IPT) di Malaysia. Melalui inisiatif ini, para pelajar yang layak akan menerima baucar pembelian buku bernilai RM100, dapat digunakan untuk membeli buku-buku akademik dan ilmiah. Program e-Baucar Buku Madani ini dilaksanakan secara berfasa, bermula dari 1 Jun hingga 31 Disember 2024. Kementerian Pendidikan Malaysia berharap bahawa inisiatif ini tidak hanya dapat menyemarakkan budaya membaca, tetapi juga merancakkan industri buku akademik tempatan serta wacana ilmiah.

Selaras dengan usaha memupuk budaya membaca, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mengumumkan pemberian baucar buku bernilai RM100 kepada murid sekolah rendah bermula Tahun 4, pelajar sekolah menengah, dan pelajar Institut Pengajian Tinggi (IPT). Pengumuman ini dibuat dengan harapan bahawa baucar buku ini dapat membantu memupuk minat membaca dalam kalangan generasi muda. Para penerima baucar buku ini dapat menggunakan Baucar ini di portal Book Capital yang diperkenalkan oleh Perbadanan Kota Buku yang diharapkan menjadi platform yang ideal untuk pelajar mendapatkan pelbagai bahan bacaan yang berkualiti dan bermutu tinggi.

Perdana Menteri turut menegaskan bahawa menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membimbing dan membantu golongan ibu bapa serta guru dalam mendedahkan anak-anak kepada bahan maklumat dan ilmu yang berkualiti. Beliau menekankan bahawa membaca merupakan asas penting dalam mencapai kebijaksanaan dan memperkasa budaya serta ekonomi negara.

Dengan pelaksanaan inisiatif e-Baucar Buku Madani, diharapkan budaya membaca dalam kalangan pelajar IPT akan lebih berkembang. Selain itu, industri buku akademik tempatan dijangka akan menerima suntikan baharu, sekali gus merangsang pertumbuhan ekonomi dalam sektor tersebut. Melalui inisiatif ini, KPT dan kerajaan Malaysia komited untuk membina generasi yang cintakan ilmu dan berakhlak mulia. Inisiatif ini juga diharap dapat mengurangkan beban kewangan pelajar dalam mendapatkan bahan bacaan yang diperlukan untuk pembelajaran. Dengan adanya e-Baucar Buku Madani, pelajar dapat memperoleh buku-buku yang relevan dan berkualiti tanpa perlu membimbangkan kos pembelian.

Demi menyokong usaha kerajaan dalam meningkatkan budaya membaca, PTS Media Group melancarkan Kempen Beli & Menang Bersama PTS. Kempen ini bertujuan untuk meraikan pengguna e-Baucar Buku Madani yang membeli buku di Book Capital dengan memberi peluang kepada mereka menyertai cabutan bertuah bulanan dan cabutan hadiah utama. Kempen Beli & Menang Bersama PTS di Book Capital bermula Julai ini hingga 31 Disember 2024. Pembeli berpeluang memenangi hadiah utama yang lumayan dengan hanya pembelian minimum sebanyak RM80 dan hadiah bulanan dengan pembelian minimum sebanyak RM30 di Book Capital.

Pembeli hanya perlu beli buku PTS daripada mana-mana penjual buku PTS di Book Capital kemudian melengkapkan borang penyertaan dan tunggu pemenang diumumkan. Imbas kod QR yang tertera di media sosial rasmi PTS atau layari pts.com.my/belidanmenang2024 untuk mengetahui maklumat dengan lebih lanjut dan lengkapkan borang penyertaan. Kempen Beli & Menang Bersama PTS adalah tertakluk kepada terma dan syarat.

Dengan adanya kempen ini, para pengguna e-Baucar Madani bukan sahaja dapat menikmati manfaat baucar buku yang diberikan oleh kerajaan, tetapi juga berpeluang memenangi hadiah menarik. Ini adalah peluang yang tidak patut dilepaskan oleh semua pelajar dan peminat buku. Jangan lepaskan peluang anda untuk menyertai cabutan bertuah ini dan bawa pulang hadiah-hadiah yang ditawarkan.


Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024