Artikel
Menghargai Kekayaan Literasi di PBAKL 2024 melalui Kempen PBAKL After-Party
oleh Nor Fadhilah Fauzan pada 17 Jul 2024
Sebut sahaja pesta buku pasti terngiang-ngiang dengan suara hingar bingar dan kadang kala bingit dengan pengumuman yang berkumandang di setiap sudut setiap tingkat di bangunan megah WTCKL. Belum lagi terpaksa menadah telinga dengan tangisan kanak-kanak dan saling bersahutan seperti sedang bertanding suara siapa yang paling kuat antara mereka. Suasana sesak, bahang dan kadang kala hampir meragut ruang udara segar, bermandi keringat, berhimpit, bersempit antara satu sama lain semuanya hanya kerana satu tujuan—buku.
Rakyat Malaysia sebenarnya amat sinonim dengan Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). Walaupun kebanyakan daripada kita tidak tahu pun sebenarnya WTCKL itu digunakan untuk pelbagai jenis acara dan majlis yang lain, namun jika sebut sahaja WTCKL, yang pertama akan terlintas di fikiran adalah Pesta Buku Antarabngsa Kuala Lumpur (PBAKL). Percaya atau tidak WTCKL sudah pun menjadi lokasi rasmi acara Pesta buku untuk setiap tahun.
“Pesta buku adalah hari raya buku.” kata-kata yang kedengaran klise, mungkin kebetulan pesta buku sering berlangsung selepas Hari Raya atau sekadar kemeriahannya persis sambutan Hari Raya. Namun, Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur sememangnya ‘Hari Raya’ untuk seluruh rakyat Malaysia terutamanya pencinta buku. Hari raya ini juga tempat berkumpulnya peminat buku dan komuniti buku yang datang dari semua pelusuk dunia, bukan dalam negara sahaja. Mereka juga sanggup melabur duit untuk mendapatkan juadah (buku) yang mereka mahukan. Sememangnya anda tidak akan melihat juadah lain bermula dari pintu masuk hingga ke pojok bangunan—hanya buku.
Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) bukan sekadar satu pameran buku biasa, ia merupakan sebuah pesta buku yang diadakan secara besar-besaran setiap tahun untuk merayakan kekayaan budaya dan intelektual dalam bacaan. Melalui statistik membaca rakyat Malaysia oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM), mendapati peningkatan dari 2 naskhah setahun pada 2005, kini menunjukkan peningkatan sehingga 24 naskhah semenjak tahun 2023 dan mungkin akan semakin bertambah bilangan untuk tahun yang berikutnya.
Melalui PBAKL, dapat dilihat bagaimana komuniti buku di Malaysia saling melengkapi di bawah satu bangunan demi menyediakan bahan bacaan berkualiti. Para penerbit, penjual, pengedar dan pembaca buku memainkan peranan masing-masing di dalam industri buku ini. Oleh itu, kebiasaannya harga-harga buku dijual dengan harga yang berpatutan dengan pelbagai diskaun bukan semata-mata untuk meraih keuntungan, namun demi memberi peluang kepada semua lapisan masyarakat untuk memiliki dan mendapatkan buku kegemaran mereka.
Selain itu, PBAKL juga menjadi penanda aras pesta ilmu dan membangun semangat membaca di kalangan pelbagai golongan masyarakat. Melalui acara-acara lain seperti diskusi dan forum serta sembang santai bersama penulis dan para ilmuan sebagai tetamu, PBAKL juga menjadi pesta sosial yang mengumpulkan idea-idea baharu dan unik termasuklah idea yang marginal. Ia menjadi titik pertemuan para pencinta literasi daripada pelbagai genre, memupuk semangat pembaca di kalangan masyarakat serta menyantuni dan menghargai buku-buku tempatan yang dihasilkan di negara ini.
PBAKL juga membuka peluang kepada semua penerbit buku untuk menonjolkan karya-karya mereka. PTS Media Group, misalnya, menampilkan buku-buku ilmiah dan informatif berbahasa Melayu, termasuk buku-buku agama, perniagaan, dan keibubapaan. Mereka juga memiliki imprint-imprint lain seperti PutehPress, Penerbit-X, Bookiut, Komik-M, dan PTS Junior yang menumpukan kepada kanak-kanak dan remaja sekolah.
PTS Media Group jelas menunjukkan usaha mereka dalam dunia penerbitan bukan sekadar menjual buku, tetapi juga sebagai syarikat yang memikul tanggungjawab untuk memajukan dan memandaikan bangsa selaras dengan slogan mereka pada tahun ini ‘24 tahun Memandaikan Bangsa’. Melalui PBAKL, mereka berhasil menarik pengunjung dari semua peringkat umur, membina dan melahirkan golongan pencinta buku yang menjadi aset terpenting bagi negara kelak.
Usaha dalam meneruskan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur sememangnya sesuatu yang perlu dikekalkan kerana ia bukan sekadar pesta jualan buku, namun ia juga merupakan sebuah komuniti yang meraikan kepandaian masyarakat.
Dengan ini, sempena menghargai pengunjung dan meraikan buku-buku terlaris di PBAKL 2024, PTS Media Group menganjurkan Kempen PBAKL After-Party yang berlangsung sepanjang bulan Julai. Buku-buku terlaris yang terdiri daripada buku fiksyen dan bukan fiksyen ini berada di pasaran buku terpilih di seluruh Malaysia dan juga di kedai buku dalam talian (Book Cafe). Setiap pembelian buku-buku terlaris juga berpeluang mendapatkan penanda buku dan kad karakter secara percuma. Jangan lepaskan peluang ini dan mari menggali kekayaan literasi dengan membeli buku-buku PTS!