Artikel
Kenapa Perlu Menguji?
oleh Helmi pada 17 Mar 2006
Ibarat pelayaran, kehidupan adalah lautan luas yang ada ketikanya tenang dan ada ketikanya gelora. Insan pula adalah umpama nakhoda kapal yang akan mengemudikan kapal ke lautan lepas. Setiap nakhoda tidak terlepas daripada gelora lautan. Nakhoda yang tidak sanggup belayar ataupun hanya menanti lautan teduh akan gagal mengaut untung daripada pelayaran kerana tidak semua pelayaran menempuh gelora yang hebat dan tidak semua gelora yang hebat itu membawa kematian. Begitu juga remaja, masa depannya penting dan berharga. Pengalaman menempuh cabaran masa remaja sewajarnya ditempuhi dengan tabah, kerana mahu tidak mahu tidak ada orang dewasa yang dapat mengelakkan zaman remaja. Hanya terpulang kepada remaja bagi memilih hidup dewasa yang bagaimana cemerlang ataupun kegagalan.
Pepatah ada mengatakan, Hendak susah memang tidak mahu, tetapi hendak senang memang tidak senang. Tanpa ujian dan dugaan seseorang itu tidak akan berjaya mencapai cita-citanya dengan cemerlang. Dugaan adalah milik semua orang tanpa kecuali, kerana janji Tuhan, Setiap hambaku akan diuji dengan berbagai ujian bagi mengetahui sama ada mereka benar-benar bertakwa ataupun tidak dan tidaklah seseorang itu dikatakan baik dan sabar sebelum dia diuji. Hanya bentuk ujian dan dugaan itu yang berbeza. Ada orang diuji dengan untung, rugi, berjaya, kecewa, susah, senang, gembira, sedih, sakit, sihat, cantik, hodoh, cacat dan istimewa.