Artikel

Adibah Amin Tokoh Terjemahan Negara 2012

oleh ITBM pada 05 Oct 2012

KHALIDAH ADIBAH AMIN atau lebih terkenal sebagai ADIBAH AMIN dipilih penerima pertama Anugerah Tokoh Terjemahan Negara 2012, sekali gus membawa pulang hadiah penghargaan wang tunai RM10,000 berserta sijil penganugerahan yang disampaikan YAB Tan Sri Dato’ Haji Muhyiddin Haji Mohd Yassin, Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Pelajaran Malaysia dalam satu majlis khas di Putrajaya, hari ini (Rabu, 3 Oktober 2012).

Pemilihan beliau diputuskan panel penilai khas yang dilantik Jawatankuasa Penganjur, selepas menilai hasil sumbangan Adibah membangunkan psikologi pemikiran bangsa menerusi medium terjemahan.Bermula dengan No Harvest But Thorn karya asal ‘Ranjau Sepanjang Jalan’ tulisan Sasterawan Negara (SN) Shahnon Ahmad pada 1972, usahanya berterusan selama lebih empat dekad, selain turut berjasa menterjemah satu lagi karya besar negara, iaitu Jungle of Hope, karya asal ‘Rimba Harapan’ tulisan SN Keris Mas.

Pada masa sama, sumbangan Adibah tidak hanya dinilai berdasarkan terjemahan langsung yang dihasilkannya, tetapi juga menerusi suntingan terhadap sekian banyak hasil kerja terjemahan membabitkan teks sumber pelbagai buku bahasa lnggeris - satu lagi pecahan tugas penting di bawah skop kerja terjemahan.

 Selain itu, Adibah juga disifalkan sebagai penterjemah berkredibiliti, berikutan kemampuan beliau memahami istilah serta sub teks penulis, baik untuk karya kreatif mahupun teks langsung berdasarkan fakta, sama ada karya berat mahupun genre penulisan kanak-kanak. Begitu juga semangat serta kesungguhan Adibah.

Dalam keadaan dirinya yang kurang berkeupayaan akibat faktor kesihatan, beliau tidak pernah menyuarakan hasrat untuk berhenti daripada berkarya, sekali gus memperlihatkan jati diri pejuang sastera tulen negara.

Sehubungan itu, panel penilai sebulat suara memilih Adibah sebagai penerima pertama Anugerah Tokoh Terjemahan Negara yang diwujudkan kali pertama menerusi Anugerah Terjemahan Negara ITBM-PPM(ATN ITBM-PPM) 2012 yang kali keempat dianjurkan selepas yang terakhir pada 1995.

Pada majlis sama, turut diumumkan ialah pemenang bagi Anugerah Penterjemah Terbaik serta Anugerah Penghargaan untuk tujuh kategori bidang dipertandingkan. Bagaimanapun, daripada semua tujuh kategori tersebut, hanya lima pemenang diumumkan bagi kedua-dua Anugerah (kategori Kreatif, Umum, Sains Sosial, Sains & Teknikal dan Bacaan Kanak-kanak), manakala untuk baki dua kategori, iaitu Agama serta Media & Rencana, tiada pemenang diputuskan oleh panel penilai.

Berikut adalah senarai pemenang serta karya yang dipertandingkan:

ANUGERAH PENTERJEMAH TERBAIK

a. Kategori Kreatif

Anugerah Penterjemah Terbaik : Zaleha Abidin

Judulbuku: Sandokan

Anugerah Penghargaan: Nor Farhana Zulkeplee, Nurul Hidayah Abdillah, Wan Norazah Wan Chik

Judul buku: Amina

b. Kategori Umum

Anugerah Penterjemah Terbaik : Amir Muslim

Judul buku : Dunia Pasca Amerika

Anugerah Penghargaan: Haim Hilman Abdullah

Judul buku : Persaingan Hiperkompetitif: Bersaing dalam Persekitaran Sangat Dinamik

c. Kategori Sains Sosial

Anugerah Penterjemah Terbaik : Amir Muslim

Judul buku: Perdamaian Palestin Bukanlah Aparteid

Anugerah Penghargaan : Fatimah Rodiah Mohd Yusof

Judul buku : Gina Penakluk Bisnes Lautan Pasifik

d. Kategori Sains & Teknikal

Anugerah Penterjemah Terbaik : Abdul Khalil Shawkataly & Rozman Hj. Din

Judul buku : Sains Gentian

Anugerah Penghargaan: Muhammad Razin Ong Abdullah

Judul buku : Pengenalan kepada Mekatronik dan Sistem Pengukuran

e. Kategori Bacaan Kanak-Kanak

Anugerah Penterjemah Terbaik: Shamsiah Md. Said

Judul buku: 1000 Fakta tentang Tumbuhan

Anugerah Penghargaan

  1. Norhayati Md. Mokhtar

Judul Buku: Mari Berseronok dengan Ensiklopedia Haiwan

  1. Che Norhasimah Abd. Hamid

Judul Buku: Mari Berseronok dengan Ensiklopedia Sains

 Setiap pemenang bagi Anugerah Penterjemah Terbaik membawa pulang hadiah penghargaan wang tunai RM5,000 berserta sijil dan hadiah iringan, manakala pemenang bagi Anugerah Penghargaan membawa pulang wang tunai RM2,000 berserta sijil dan hadiah iringan.

Pemenang dipilih berdasarkan hasil terjemahan karya bahasa Melayu yang diterbitkan antara 2009 hingga 2012. Sejak diumukan tahun lalu (2011), sejumlah 61 karya dicalonkan dan 30 dipilih untuk penjurian peringkat akhir. Antara elemen yang dinilai ialah ketelitian pemilihan istilah bagi memastikan jalan cerita teks sumber selari dengan hasil terjemahan, keindahan lenggok bahasa dan kolokasi sesuai bagi membangkitkan kesan pembacaan serupa sebagaimana teks sumber.

Berdasarkan keputusan Jawatankuasa Penganjur, bermula tahun ini (2012), ATN ITPM-PPM akan diadakan setiap tiga tahun sebagai menyokong usaha kerajaan melaksanakan dasar Memartabatkan Bahasa Melayu Memperkukuh Bahasa Inggeris (MBMMBI), sekali gus menjadi dorongan kepada penterjemah untuk menghasilkan terjemahan lebih berkualiti.

Kredit gambar: ITBM (Laman FB ITBM)

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024