Artikel

Kedai Buku 1Malaysia Memeriahkan Industri Buku Malaysia

oleh Dzul Fiqri Zainun pada 27 Sep 2012

KUALA LUMPUR - Sempena pelancaran Kedai Buku 1Malaysia mengambil peluang membawa kartunis terkenal Tembakau secara ekslusif kepada pengunjung pada 22 september yang lalu. Kedai Buku 1Malaysia yang pertama di Malaysia dirasmikan oleh Perdana Menteri Malaysia Y.A.B Dato’ Sri Mohd. Najib bin Tun Abdul Razak.

Sebagai gimik pelancaran Perdana Menteri menandatangani demo lukisan oleh Tembakau. Pengunjung juga diberi peluang bergambar bersama Tembakau dan mempelajari cara penghasilan komik dengan lebih dekat.

Kedai Buku 1 Malaysia, terletak di Pudu Sentral menjanjikan pelbagai judul buku yang menarik kepada pelanggan dengan harga yang berpatutan. Buku-buku PTS juga dijual di kedai tersebut antaranya ialah buku terbaru Ustaz Azhar Idrus, buku masakan dan juga siri Komik-M.

Muslihaniza dari Segamat menjelaskan, “Harga yang ditawarkan di sini sangat murah dan sesuai dengan status saya sebagai seorang pelajar”.

“Lokasi Kedai Buku 1 Malaysia yang terletak di kawasan perhentian bas sangat strategik dimana pengunjung berpeluang membeli buku sementara menunggu ketibaan bas”, jelas Huda dari Kuala Lumpur.

Ng Kong Huat pelajar SMK Confucian pula memberitahu bahawa selepas ini beliau mempunyai pelbagai pilihan untuk mencari buku rujukan.

“Dengan adanya Kedai Buku 1 Malaysia ini, saya berpeluang mencari buku-buku rujukan yang baru kerana harganya yang murah dan lokasi dekat dengan tempat saya bersekolah”.   

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024