Artikel

Kepakaran Nabi Muhammad s.a.w. sebagai Ahli Politik

oleh Helmi pada 10 May 2005

Antaranya baginda telah menunjukkan bahawa politik dan agama tidak boleh dipisahkan. Semasa baginda berada di mekah, baginda adalah ketua umat Islam. Oleh kerana baginda adalah individu yang bertanggungjawab menyebarkan agama Islam, maka secara tidak langsung baginda juga bertindak sebagai ketua agama. Namun pada masa itu, orang Islam disifatkan sebagai golongan minoriti sahaja. Pentadbiran kota Mekah dipegang oleh golongan Musyrikin Quraisy. Ini bermakna, kaum Muslimin tidak mempunyai kuasa politik. Malah, baginda sebagai ketua kaum Muslimin juga tidak mempunyai kuasa politik. Sebaliknya, mereka semua tertakluk pada kuasa dan pentadbiran Musyrikin Quraisy. Kerana itu, mereka begitu mudah dianiaya secara fizikal oleh golongan itu.

Apabila umat Islam berhijrah ke Madinah pun, Nabi Muhammad s.a.w. masih bertindak sebagai ketua agama. Tanggapan bahawa baginda adalah ketua agama dapat difahami dengan mudah kerana bagindalah yang bertanggungjawab menyebarkan agama itu. Baginda jugalah yang bertanggungjawab mengajar umat Islam tentang kandungan ajaran tersebut. Oleh itu, tidak syak lagi bahawa baginda adalah orang yang paling sesuai dan wajar untuk disebut sebagai ketua agama.

Walaupun sudah mempunyai kuasa agama namun, apa yang berlaku dalam kehidupan baginda di Madinah jelas menunjukkan bahawa baginda juga sebenarnya memegang kuasa politik. Ini terbukti daripada salah satu fasal dalam Sahifah Madinah yang mengakui baginda sebagai kuasa tertinggi di Madinah. Fasal tersebut menyatakan bahawa apabila berlaku perselisihan di kalangan kaum yang tinggal di Madinah, mereka hendaklah merujuk kepada baginda. Kuasa politik di Madinah begitu mudah diperoleh kerana baginda tiba di Madinah tepat pada masa penduduk Madinah khususnya puak Arab berada dalam keadaan memerlukan ketua yang dapat menyatukan sesama mereka.

Jelas di sini bahawa Nabi Muhammad s.a.w. memegang kuasa daripada segi agama dan juga politik. Baginda tidak pernah memisahkan antara kedua-dua aspek ini. Kuasa agama adalah penting kerana baginda adalah pembawa risalah Islam. Oleh itu, kuasa agama perlu dipegang oleh baginda supaya ajaran Islam dapat disebarkan tanpa sekatan. Kuasa politik juga penting kepada baginda sekurang-kurangnya bagi memastikan kuasa agama yang dipegang dapat dimantapkan. Ini kerana orang yang memegang kuasa politik selalunya diiktiraf sebagai pemerintah negara dan mereka juga berhak menentukan hala tuju negara termasuk hala tuju agama. Apabila kuasa politik dipegang oleh orang lain yang tidak memegang kuasa agama, tentu sekali hala tuju agama itu sukar ditentukan. Dalam kes ini, baginda memiliki kedua-dua kuasa iaitu agama dan politik semasa baginda berada di Madinah. Ini secara tidak langsung memudahkan baginda menguruskan negara Madinah daripada segi politik dan menyebarluaskan Islam daripada segi agama.

Selain itu, kepakaran baginda sebagai ahli politik juga terserlah apabila baginda menunjukkan contoh teladan bahawa politik dan agama perlu dipegang oleh orang Islam. Dalam hal ini baginda adalah orang yang bertanggungjawab ke atas kedua-dua perkara itu. Baginda adalah ketua agama. Ini terbukti apabila baginda menjadi tempat rujukan orang Islam dalam perkara-perkara yang berkaitan dengan agama Islam. Cuma, dalam sesetengah keadaan, baginda menjadikan sahabat-sahabat tertentu sebagai tempat rujukan masyarakat dalam hal-hal berkaitan agama. Ini berlaku apabila penganut Islam semakin bertambah dan mereka datang dari pelbagai tempat. Dalam hal ini, baginda merasakan perlunya melantik individu tertentu bagi menerangkan dengan lebih mendalam berkenaan dengan agama kepada saudara baru itu. Ini bagi memastikan saudara baru itu tidak hanya Islam pada nama sahaja. Sebaliknya, mereka perlu diajarkan intipati ajaran Islam itu sendiri.

Antara sahabat yang pernah dilantik bagi mengajar agama kepada saudara-saudara baru adalah Musab bin Umayr. Manakala sahabat yang pernah menjadi rujukan bagi mempelajari agama Islam pula ialah Abdullah bin Masud, Ubay bin Kab dan Muadh bin Jabal. Apa yang jelas di sini, segala perkara yang berkaitan dengan bidang agama perlu dirujuk kepada orang Islam. Orang Islam itu pula tidak semestinya baginda sendiri tetapi boleh meliputi para sahabat yang baginda percayai.

Daripada segi politik juga, baginda bertindak sebagai ketua. Ini bermaksud, baginda mengetuai pentadbiran kerajaan Islam Madinah. Hal ini dapat dilihat dengan jelas dalam Sahifah Madinah yang menyebut bahawa sebarang perselisihan perlu dirujuk kepada baginda. Kenyataan ini menjelaskan bahawa baginda adalah tempat rujukan dalam pentadbiran negara. Sahifah Madinah juga menyebutkan sesiapa yang menganggotai Sahifah ini tidak boleh menarik diri melainkan dengan persetujuan baginda. Kenyataan ini juga membawa maksud bahawa baginda adalah tempat rujukan dalam politik khususnya yang melibatkan aspek pentadbiran negara.

Kesimpulannya, Nabi Muhammad s.a.w. menjalani kehidupan di Madinah dengan bertindak sebagai ketua agama dan juga ketua dari segi politik. Ini membuktikan bahawa politik dan agama adalah dua perkara yang perlu seiring dan tidak dapat dipisahkan. Selain itu, kedua-dua perkara ini perlu dipegang oleh orang-orang yang beragama Islam. Perkara ini disebut dengan jelas dalam Sahifah Madinah. Perkara kedua ini wajar diberi perhatian serius terutamanya apabila majoriti penduduk di dalam negara itu beragama Islam.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024