Artikel

11 langkah untuk tingkat pengajaran bahasa Inggeris

oleh Helmi pada 10 May 2005

Pelajar Melayu tidak harus diperjudikan untuk dijadikan bahan ujian kepada sesuatu teori yang belum terbukti jayanya. Saya ingin mencadangkan dasar pelaksanaan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris itu dihadkan kepada golongan seperti berikut:

1. Pelajar aliran Sains (bermula dari Tingkatan Empat dan Lima) saja bukannya terhadap pelajar aliran sastera, kerana yang akan menjadi saintis yang berkaliber ialah golongan aliran sains.

2. Pelajar sekolah berasrama penuh yang mempunyai tahap kecerdasan tinggi dan terpilih bukannya pada peringkat sekolah rendah.

3. Pelajar sekolah khas dan swasta.

4. Pelajar universiti khususnya di Fakulti Sains dan Matematik. Ini bertujuan melahirkan saintis yang berkaliber dan penyelidik yang mahir, bukannya pada peringkat sekolah rendah atau menengah.

Kalau benar kita mahu membantu pelajar menguasai bahasa Inggeris dengan baik, kita perlu meneliti kelemahan dan kekuatan yang berkaitan dengan proses perjalanan pengajaran dan pembelajaran bahasa Inggeris dan mencari jalan serta mengambil langkah sewajarnya.

Di bawah ini saya cadangkan 11 langkah untuk mengatasi kelemahan bahasa Inggeris dan mempertingkat pengajaran bahasa Inggeris di sekolah:

1. Memperbanyak masa belajar bahasa Inggeris daripada tiga masa kepada 10 masa atau lebih dalam seminggu.

2. Menambah jumlah bilangan guru bahasa Inggeris yang berkelayakan.

3. Memberi latihan dan kursus pedagogi yang cukup kepada guru bahasa Inggeris.

4. Menghantar guru bahasa Inggeris mengikuti kursus di dalam dan di luar negara untuk meningkatkan inovasi dan motivasi mereka.

5. Memastikan serta memantau secara berterusan pengajaran bahasa Inggeris di sekolah agar guru bahasa Inggeris menggunakan bahasa Inggeris sepenuhnya ketika mengajar.

6. Mengkaji dan menyemak kurikulum bahasa Inggeris secara berkala.

7. Mengambil lebih ramai guru bahasa Inggeris (penutur asli) dari Amerika Syarikat, Britain, Australia, New Zealand dan lain-lain mengajar bahasa Inggeris di sekolah.

8. Memastikan alat bantu mengajar cukup, baik dan berfungsi untuk digunakan dalam pengajaran bahasa Inggeris.

9. Memastikan makmal bahasa bahasa Inggeris di semua sekolah cukup dan berfungsi.

10. Memberi inisiatif kepada pelajar serta guru yang cemerlang dalam bahasa Inggeris seperti derma siswa dan sebagainya.

11. Menubuhkan maktab perguruan khas bahasa Inggeris bagi melatih guru bahasa Inggeris. Dengan cara ini saya pasti pencapaian dan tahap penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar dapat diperbaiki.

Penguasaan bahasa Inggeris juga dapat pertingkatkan setelah mereka memasuki universiti dan mengambil kursus tertentu dalam bahasa Inggeris.

Kalaulah kelemahan pelajar sekolah menengah dalam bahasa Inggeris dan kegagalan graduan untuk mendapat pekerjaan kerana mereka tidak menguasai bahasa Inggeris dengan baik dijadikan alasan supaya sains dan matematik perlu diajar dalam dalam bahasa Inggeris, saya rasa ini kurang praktikal dan merugikan pelajar Melayu kerana mereka tidak dapat mengikutinya dengan baik.

Dasar mewajibkan subjek Sains dan Matematik diajar di semua sekolah dan peringkat tanpa melihat kepada sosiobudaya dan latar belakang pelajar serta kekangan yang dihadapi oleh pelajar dan di sekolah, saya berasa ini cukup tidak demokrasi.

Kita tidak menafikan pentingnya bahasa Inggeris dalam dunia sains dan teknologi tetapi biarlah pelaksanaan sesuatu dasar itu betul dan berdasarkan kajian ilmiah.

Kita tidak perlu menunggu lama untuk melihat keberkesanan pengajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris. Kita juga tidak boleh mengatakan bahawa tempoh dua hingga tiga tahun terlalu awal untuk menilai keberkesanan pengajaran subjek berkenaan.

Kita juga tidak boleh menyatakan bahawa guru Sains dan Matematik sekarang sudah selesa dengan menggunakan bahasa Inggeris, kerana pelajar yang mempelajari subjek berkenaan adalah pelajar yang berbeza.

IBN MUHAMAD
Universiti Putra Malaysia
Serdang.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024