Ketentuan Ilahi: Dua Syurga dalam Hatiku

oleh Amirah pada 27 Feb 2014

c-240x424

Patah tumbuh, hilang berganti. Walaupun yang berganti pastinya tidak sama, namun ia mempunyai kelebihan yang tersendiri. Dan setiap orang memerlukan masa untuk menerima dan serasi dengan mana-mana pengganti, lebih-lebih hati pengganti untuk mengisi kekosongan di hati.

Inilah situasi yang dihadapi oleh Engku Ashraf selepas kematian isterinya yang tercinta. Pada waktu hati Engku Ashraf terbuka untuk mencari pengganti, dirinya dikhianati oleh wanita yang paling dipercayainya. Disebabkan dendam kesumat dan kegilaan kepada harta kekayaan dunia, Engku Ashraf nyaris terkorban kerana termakan racun yang ditujukan kepadanya.

Semua rencana ini dilakukan oleh musuh di dalam rumahnya sendiri, bersama suatu konspirasi yang terancang. Saat dirinya terkapai-kapai perlukan teman untuk mengadu, Engku Asraf ditakdirkan bertemu dengan Ameesha, seorang wanita ayu yang seiras dengan bekas isterinya.

Hatinya yang selama ini tertutup untuk menerima wanita lain dalam hidupnya kini terbuka. Namun, saat Engku Ashraf dan Ameesha ingin disatukan, musuh ketatnya kembali membuat onar. Perjalananan cerita semakin rumit dan adakah akhirnya suatu kebahagiaan?

Klimaks, konflik dan perjalanan cerita dalam novel ini akan membawa kita menyaksikan suatu kisah cinta suci yang sentiasa diuji dengan takdir yang makin mengukuhkan cinta. Sejak dari novel yang pertama Hantaran Kasih Tuhan, perjalanan cinta Engku Ashraf diteruskan lagi dalam novel kedua ini, Dua Syurga dalam Hatiku.

Dwilogi novel ini pastinya menggamit jiwa, menimbulkan rasa dan membangkitkan cinta.