Artikel

Seindah Cinta Cinderella: Mahar Cinta Cinderella

oleh Tie Maryam Tajuddin pada 26 Feb 2014

Suratan ataupun kebetulan? Masihkah wujud kisah dongeng Cinderella dalam realiti sebenar. Mahar Cinta Cinderella mungkin mengingatkan kita pada detik 12 malam. Ataupun mungkin pada kasut yang mencari si pemiliknya.

Kisah romantis yang bermula dengan pertemuan, juga berakhir dengan pertemuan secara tidak sengaja yang mampu membuka pintu hati si gadis bagi menerima si jejaka. Pada saat hati cuba menerima, namun lidah yang kelu menolak dalam diam, lantas mengundang rajuk di hati.

Pada ketika membawa diri dengan haluan masing-masing, ada dua hati yang saling merindu. Dalam mengutip sisa-sisa kehidupan yang masih panjang, Nur Sayang dan Ehsan terperangkap dalam perasaan yang terbungkam lama.

Lamaran Ehsan yang pernah ditolak pada suatu ketika kerana pelbagai konflik dalaman dan keluarga meninggalkan sedikit kesalan dan rasa terkilan pada hati yang turut merasakan wujudnya rasa cinta.

 Seperti putera raja yang menanti hadirnya Cinderella hati, begitu juga si puteri yang akhirnya bertemu dengan putera raja ‘Cinderella’, empunya sepasang kasut yang pernah bertakhta di hati.

Mahar Cinta Cinderella, adakalanya dongeng mampu menjadi realiti. Bacalah dengan hati. Cinta yang tidak mengenal batas waktu. 

 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024