Artikel

Kisah Diraja Yang Mencuit Hati: Kembar Diraja Popular

oleh Amirah pada 28 Jan 2014

Orang biasa-biasa ataupun kerabat diraja? Kembar Diraja Popular adalah gabungan kisah Sayalah Puteri Raja, Sayalah Putera Mahkota, dan Kamilah Kembar Diraja! Menjadi kerabat diraja dan popular adalah impian setiap remaja terutama Puteri Zara binti Raja Muhammad.

Puteri Zara mempunyai seorang kembar diraja, iaitu Putera Adam bin Raja Muhammad.

Kedua-dua kembar puteri dan putera diraja yang berasal dari negara Armani ini dilatih supaya menjalani kehidupan seperti rakyat biasa dan tinggal bersama ibu mereka di Bandar Baru Bangi dalam tempoh tertentu sebelum dihantar pulang ke negara Armani.

Puteri Zara digambarkan seorang yang penuh imaginasi dan kadangkala gelojoh. Putera Adam pula lebih tenang.

Apabila dihantar pulang ke negara Armani, impian Zara semakin terlaksana. Dia kini bergelar Puteri Zara. Namun, ada sesuatu yang membuat Zara tidak betah tinggal di istana.

Nendanya, Raja Zahariah terlalu garang. Raja Zahariah juga tidak mahu rakyat tahu akan kepulangan Zara.

Pada masa yang sama, status keluarga diraja Raja Muhammad dalam bahaya dalam mencari pengganti bagi memegang takhta sebagai pemerintah negara Armani.

Bagi menjadi pasangan kembar diraja, Putera Adam dan Puteri Zara perlu banyak belajar dan mengetahui selok-belok dunia diraja.

Mereka juga terpaksa bertanding bagi memangku takhta kerajaan Armani.

Kedua-dua pasangan kembar diraja mendapat tentangan daripada dua pupu mereka, iaitu Tengku Mira yang hebat berfesyen menjadi saingan kepada Puteri Zara.

Manakala Tengku Muiz, cuba merampas kedudukan Adam. Puteri Zara terpaksa melalui beberapa latihan fizikal dan keterampilan supaya setanding dengan Tengku Mira.

Apakah yang berlaku kepada pasangan kembar diraja ini? Adakah misi tersembunyi Puteri Zara dan Putera Adam mahu menyatukan keluarga mereka tercapai?

Ikuti kisah keluarga diraja yang dimodenkan serta mengandungi unsur humor pasti meninggalkan tawa kepada setiap pembaca.

 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2020