Artikel

KKYB Timbulkan Keinginan Mengkaji

oleh Roziyah pada 24 Jun 2010

Khalifah-Khalifah Yang Benar (KKYB) menjadi sebuah naskah yang bakal membangkitkan rasa ingin tahu kepada pembacanya lantas menyalurkan minat ingin mengkaji sejarah Islam dengan lebih mendalam.

Novel ini merupakan kompilasi daripada 4 buah novel sejarah Abdul Latip Talib iaitu Abu Bakar, Umar Al Khattab, Uthman Affan dan Ali bin Abi Talib.

“KKYB adalah naskhah yang sifatnya mahu mengait dan menimbulkan rasa ingin tahu pembaca. Ia bukan bersifat sumber primer yang berat dengan fakta dan bernada muktamad,” jelas editor KKYB, Tuan Bahruddin Bekri.

Abdul Latib Talib atau lebih dikenali sebagai Pak Latip melakarkan fakta yang membuatkan rasa ingin tahu pembaca bagi mendalami sesuatu isu.

“Misalnya dalam Perang Jamal, ia tidak disentuh secara terperinci dalam KKYB kerana sifat perang itu kontroversi dan masih menjadi perdebatan. Ia cuma ditulis sepintas lalu bagi menimbulkan rasa ingin tahu dan rasa ingin mengkaji para pembaca,” kata Tuan Bahruddin.

KKYB hasil terbitan PTS Litera Sdn. Bhd ini diibaratkan tuan Bahruddin sebagai pintu yang cantik bagi sebuah rumah agam suram yang bernama sejarah.

“Ini dengan harapan pembaca mahu rapat ke pintu cantik itu, dan akhirnya membuka pintu itu dan seterusnya masuk lebih jauh ke rumah yang bernama SEJARAH dan seterusnya mengkaji dengan lebih lanjut,” kata beliau lagi.

Lebih menarik apabila KKYB dipakejkan menjadi naskhah yang rapi dan elok rupa luarnya.

Manakala isi dalaman, ia diperkemaskan dan diusahakan bebas daripada fakta pesong dan unsur kontroversi yang tidak membantu.

“KKYB membangkitkan rasa mahu kepada sejarah, rasa mahu kepada kebenaran, dan rasa mudah kepada fitrah,” jelas Tuan Bahruddin lagi.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2022