Artikel

Kod Etika Fasilitator

oleh Helmi pada 28 Aug 2004

Jati diri seorang fasilitator sentiasa dipandang orang. Ramai yang suka dengan gerak laku, gaya, cara bercakap, menimbang situasi dan menganalisis isu yang bagi mereka seorang fasilitator begitu mengagumkan. Tidak kurang yang tertanya-tanya bagaimana amalan tingkah laku dibuat dan di mana mendapat latihan sebegitu. Ada juga yang bertanya kalau mereka juga ingin terlibat dalam kefasilitatoran sama ada mereka perlu melalui ujian-ujian yang sangat sukar. Kerana keadaan yang sebegini, fasilitator terpaksalah berhati-hati mengawal diri dan sentiasa waspada mempamerkan sikap sopan santun yang mulia.

Di bawah ini diturunkan beberapa penerimaan fasilitator terhadap kumpulannya yang boleh juga dianggap sebagai kod etika semasa menjalankan tugas sebagai pemudah cara.

1. Penerimaan total terhadap peserta. Fasilitator tidak memilih kumpulan yang akan ditangani tetapi menerima siapa sahaja sebagai ahli kumpulannya.

2. Kerahsiaan kumpulan diberitahu awal dalam perjumpaan kumpulan. Ini penting dalam etika LDK. Segala yang berlaku dalam kumpulan adalah menjadi rahsia kumpulan. Setiap ahli dikehendaki berjanji tidak akan membawa keluar apa-apa juga isu yang ditimbulkan oleh rakan sekumpulan.

3. Fasilitator akan bersama kumpulan setiap masa. Sebaik sahaja sesi LDK bermula diharapkan seorang fasilitator itu akan bertanggungjawab dan berada bersama ahli kumpulan setiap kali mereka menjalankan tugasan kursus.

4. Fasilitator tidak boleh menghukum walaupun apabila ada di kalangan peserta yang membuat silap. Memanglah berlaku dalam LDK di mana peserta akan tersalah dalam menjawab atau melakukan respons yang tidak sesuai dengan keperluan. Fasilitator akan menegur dan membuat pembetulan spontan. Dengan fikiran dan hati terbuka kesilapan dibetulkan secara berjenaka dan humor.

5. Kepercayaan fasilitator tulus ikhlas tanpa ragu terhadap semua peserta. Fasilitator tidak menaruh syak atau wasangka kepada mana-mana peserta tetapi akan membawa semua ahli kepada sikap keterbukaan yang positif.

6. Keselesaan komunikasi adalah dengan mengaplikasikan komunikasi dua hala di mana peserta boleh mengeluarkan pendapat, bertanya apabila mahu membuat kepastian dan berbincang sehingga masing-masing berpuas hati. Fasilitator tidak akan mengawal kumpulan. Sebaliknya fasilitator akan membuka semua isu yang timbul untuk dibincangkan secara terbuka.

7. Semua tingkah laku dan budi bahasa fasilitator sangat dikawal dengan sopan-santun terpuji kerana fasilitator adalah contoh dan model kepada peserta.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024