Artikel

Komik Musuh Masyarakat?

oleh Roziyah pada 14 Jul 2011

Oleh : WAN ZUHAIRI WAN ZAINUDDIN

Isu bahasa rosak dalam komik bukan satu perkara baru. Perkara ini sudah lama dibincang dan didebatkan oleh pakar-pakar bahasa. Isu ini dipandang serius kerana komik dan pelukis komik mempunyai pengaruh dalam membentuk dan mendidik masyarakat. Meskipun sudah berkali-kali ditegur dan dinasihati menggunakan bahasa yang betul, masih tiada perubahan ketara yang dilakukan pelukis ataupun penerbit komik melainkan penebalan teks ke atas perkataan-perkataan yang dianggap ‘rosak’.

Bahasa yang digunakan dalam komik-komik kebanyakannya adalah bahasa pasar, bahasa rojak, bahasa pertuturan ataupun dialek seharian. Malah ada juga komik yang kononnya secara sengaja mengikut ‘trend’ dengan menggunakan bahasa-bahasa singkat komunikasi zaman siber remaja terkini yang mana kesemuanya bertentangan dengan nilai-nilai standard bahasa melayu persuratan dan pengajian di sekolah. Penggunaan bahasa yang tidak betul ini menyebabkan komik terpinggir dan dijauhi oleh golongan yang berpendidikan serta profesional.

Selain isu bahasa, isi kandungan komik juga menjadi punca kekeruhan nama baik komik di kalangan masyarakat. Sebahagian isu kandangan komik bukan sahaja sekadar terlalu santai, malah kadangkala dilihat seperti merendah-rendahkan mentaliti pembaca dengan penggunaan jenaka-jenaka kurang bersih seperti lawak bulu ketiak, bulu hidung, najis dan sebagainya. Gaya hidup terpesong muda-mudi juga diketengahkan dan diagung-agung seolah-olah menyokong gelagat kehidupan manusia yang semakin jauh daripada adab susila ketimuran serta pegangan agama.

Faktor-faktor ini menyebabkan komik seolah-olah sudah menjadi musuh kepada masyarakat. Para guru dan ibu bapa melarang anak-anak membaca komik kerana bimbangkan pengaruh negatif ini meresap ke dalam otak mereka. Namun anak-anak yang ‘kaki komik’ ini masih tetap mencari dan membeli komik meskipun terpaksa merahsiakannya daripada diketahui ibu bapa dan guru. Mereka tidak diberi kebebasan membaca komik seperti bebasnya mereka membaca bahan bacaan yang lain. Membaca komik seolah-olah menjadi satu kesalahan yang sangat perlu dihindari.

Istilah pengkarya komik yang dimaksudkan tidak dirujuk kepada pelukis komik semata-mata, bahkan ia merangkumi penulis komik juga. Bererti, menghasilkan komik yang bagus, perlu ada gabungan kemahiran penulisan dan kemahiran melukis. Dalam banyak keadaan, bukan semua pelukis mempunyai kemahiran menulis. Oleh itu gabungan dua kemahiran ini sangat penting dalam menghasilkan komik yang bermutu.

Pelukis komik yang mengabaikan aspek penulisan sering menghasilkan karya yang kurang berkualiti dan hambar. Akibatnya komik yang disajikan kurang mendapat sambutan dan tidak berjaya menarik minat pembaca. Inilah yang sering berlaku kepada pelukis-pelukis komik tempatan. Disebabkan isu seperti ini, rata-rata pembaca komik lebih gemar memilih komik import sebagai bahan bacaan berbanding komik tempatan kerana kualiti cerita dan penulisannya yang lebih bagus. Kebanyakan komik yang diimport masuk ke dalam negara kita seperti dari Jepun, Hong Kong dan Amerika Syarikat dilukis dan ditulis ceritanya oleh individu berlainan. Gabungan dua jenis kepakaran inilah yang menjadikan komik-komik import lebih berkualiti dan menarik.

Kekuatan penulisan dalam komik sebenarnya mampu menaikkan taraf serta memartabatkan komik ke peringkat yang lebih tinggi. Cerita yang ditulis dan disemai dengan baik dalam medium komik bukan sekadar mampu menjadikannya terkenal dan bestseller, malah mampu diangkat kepada medium-medium yang lain seperti filem, novel, drama, teater dan lain-lain. Kini semakin banyak judul-judul komik yang bagus diadaptasi menjadi filem seperti Superman, X-Men, Ironman, Batman, Dragonball, Transformers, Storm Riders, Astro Boy, Death Note, The 20th Century Boys dan banyak lagi. Di Malaysia, karya komik terkenal Dato’ Lat iaitu Mat Som juga pernah diangkat menjadi filem pada tahun 1990.

Potensi komik yang sebenar hakikatnya masih belum diterokai sepenuhnya oleh para karyawan dan penerbit tempatan. Masih banyak ruang kosong yang perlu diisi dengan bahan bacaan berfaedah yang disampaikan dalam bentuk komik.

Kita seharusnya mencontohi negara Korea yang memperkenalkan komik berbentuk pendidikan ‘Siri Survival’ yang berjaya mengubah kebosanan fakta-fakta sains kepada sesuatu yang menarik dan menceriakan. Begitu juga dengan siri buku teks yang disampaikan dalam bentuk komik oleh Larry Gornick. Antara judul-judul yang terkenal adalah The Cartoon Guide to Chemistry, The Cartoon Guide to Computer, The Cartoon Guide to Statistic dan banyak lagi.

Hakikatnya, komik hanyalah alat semata-mata. Seperti pisau, ia boleh digunakan bagi tujuan yang baik serta bermanfaat dan begitu juga sebaliknya. Bergantung kepada orang yang menggunakannya dan bagaimana ia digunakan. Komik juga hanyalah medium ataupun wadah semata-mata. Seperti botol air, ia boleh diisi dengan susu yang berkhasiat ataupun arak yang membawa mudarat. Terpulang kepada kita bagi menentukan, air apa yang hendak kita isikan ke dalamnya.

 

Penulis adalah Pengurus Penerbitan di PTS Pop Sdn Bhd. Beliau juga bertanggungjawab menguruskan penerbitan Komik-M terbitan PTS Pop.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024