Artikel

Komunikasi

oleh Helmi pada 19 Jul 2004

SALAH SATU cara kita berkomunikasi ialah dengan bercakap. Tetapi kemahiran bercakap lain, manakala kemahiran berkomunikasi lain. Ramai orang sangat pandai bercakap. Setengah orang amat petah bercakap. Ramai pula orang yang suka bercakap. Mereka suka mencari kesempatan supaya dapat bercakap. Namun, ramai orang yang pandai dan petah bercakap belum tentu pandai berkomunikasi. Akibatnya, lebih banyak mereka bercakap, lebih banyak mereka menyebabkan orang yang mendengarnya sakit hati.

Mengikut pakar-pakar psikologi, banyak faktor yang menentukan kebahagiaan manusia, tetapi antara faktor-faktor itu, faktor yang paling penting ialah hubungan yang rapat dengan seorang manusia lain. Hubungan rapat seperti itu, boleh didapati melalui proses jatuh cinta dan perkahwinan.

Cinta dan perkahwinan membuat dua orang yang pada asalnya asing antara satu sama lain, menjadi sangat rapat dan intim. Dalam keadaan begitu manusia dapat memenuhi pelbagai keperluan jasmani dan rohani mereka, serta menikmati kebahagiaan.


Menghilangkan kesepian
Pertama, kita memerlukan pasangan dalam hidup kita kerana hubungan yang rapat dan intim dengannya dapat menghilangkan rasa kesepian dan kesunyian yang kita alami jikalau kita tidak memiliki seseorang.

Mendapatkan rangsangan
Fungsi komunikasi yang kedua ialah rangsangan. Sebagai manusia kita memerlukan pasangan dalam hidup kita kerana kita memerlukan rangsangan. Manusia memerlukan rangsangan fizikal seperti sentuhan, belaian dan rangsangan seks daripada orang yang rapat dengan diri kita. Manusia juga memerlukan rangsangan emosi supaya kita mengalami perasaan seronok, suka, gembira, bahagia dan puas.

Alat yang paling penting bagi merangsang emosi ialah bibir dan lidah, iaitu melalui kemahiran berkata-kata secara positif. Kemahiran berbual-bual, memuji, menghibur dan bergurau adalah sangat perlu bagi memberi rangsangan emosi kepada orang yang dicintai. Manusia juga memerlukan rangsangan daya intelek. Bagi menjadi orang yang mampu memberi rangsangan daya intelek, alatnya ialah apa yang ada dalam otak, iaitu ilmu pengetahuan.

Estim-diri
Fungsi komunikasi yang ketiga ialah estim-diri. Manusia memerlukan kehadiran orang lain yang rapat dalam hidup mereka, kerana mereka memerlukan kemuliaan dan penghargaan. Demi menjadi pasangan yang dicintai, kita memerlukan kemahiran membuat orang yang dicintai yakin dirinya diperlukan, kita hargai dan kita muliakan. Kemahiran yang digunakan ialah kemahiran mengucapkan kata-kata pengiktirafan, penghargaan, sanjungan dan pujian-pujian.
Berkongsi suka dan duka

Fungsi komunikasi yang keempat ialah perkongsian. Sebagai manusia biasa kita perlu menambahkan lagi rasa kenikmatan yang kita alami dalam hidup dan me-ngurangkan rasa kesengsaraan. Kita ingin berkongsi segala tuah dan nasib baik yang kita dapat. Begitu juga halnya dengan nasib malang dan kedukaan yang menimpa kita.


Tujuan Berkomunikasi
Manusia berkomunikasi kerana ada beberapa tujuan yang hendak dicapai.

Saling faham-memahami
Dalam perkahwinan, kita berkomunikasi dengan pasangan kita kerana kita mahu memahami dirinya dan begitu juga dia. Apabila tujuan ini tercapai, ia sangat memberi rasa kebahagiaan kepada kedua-dua belah pihak suami dan isteri. Bagi menikmati kepuasan komunikasi peringkat ini, adalah sangat penting supaya daya intelek suami dan isteri sama tingginya.

Menjalin kasih sayang
Tujuan kedua manusia berkomunikasi ialah kerana mereka mahu menjalin hubungan dengan manusia lain. Dalam komunikasi rumah tangga, suami dan isteri berkomunikasi kerana mereka mahu menjalinkan hubungan cinta dan kasih sayang yang berterusan. Seorang suami akan berkomunikasi dengan isterinya kerana dia mahu dirinya dicintai dan dikasihi. Dia mahu dirinya dihargai dan dimuliakan. Dia juga mahu menghindari rasa sunyi dan sepi. Dia juga mahu mengecap nikmat hidup berseronok-seronok dengan isterinya. Demikian juga halnya bagi pihak isteri.
Menolong

Manusia juga berkomunikasi kerana hendak menolong orang, dengan cara menghibur orang itu, atau memberi bantuan, atau memberi nasihat. Komunikasi yang seperti ini banyak dilakukan antara suami dan isteri.

Berseronok-seronok
Tujuan komunikasi yang tidak kurang pentingnya ialah manusia suka berseronok-seronok dengan manusia lain. Mereka suka bermain-main. Mereka berkomunikasi kerana hendak bersuka ria, dan mereka berbual-bual, bercerita, bergurau senda dan berbincang-bincang dengan cara-cara yang menimbulkan rasa seronok semata-mata. Komunikasi jenis ini sangat penting kerana dengan cara itu manusia dapat melupakan perkara-perkara berat yang berlaku ke atas diri mereka.


Iklim Komunikasi
Dalam setiap perkahwinan, ada unsur yang disebut iklim komunikasi. Iklim komunikasi adalah seperti juga iklim biasa, ada iklim yang baik dan ada iklim yang buruk. Iklim yang baik disebut iklim positif, manakala iklim yang buruk disebut iklim negatif. Antara ciri-ciri iklim yang positif ialah:

Suami berasa dirinya dihormati oleh isteri, begitu juga sebaliknya
Komunikasi yang mencerminkan sikap menghormati ada dalam banyak bentuk. Sebagai contoh, panggilan “Abang” untuk suami mencerminkan rasa hormat. Panggilan abang menggambarkan sikap yang menganggap taraf suami lebih tinggi daripada isteri. Salah satu cara panggilan yang mencerminkan hormat suami kepada isteri ialah panggilan “Cik Mah” atau “Cik Eton.” Bercakap dengan suara rendah juga mencerminkan rasa hormat, walau dalam keadaan marah sekalipun.

Suami dan isteri saling percaya-mempercayai akan kejujuran dan kesetiaan masing-masing
Sikap saling percaya-mempercayai tergambar dalam komunikasi, begitu juga sikap yang tidak saling percaya mempercayai. Bahasa orang yang cemburu tidak sama dengan bahasa orang yang tidak cemburu. Kata-kata “Amboi, wanginya awak ni, ada apa-apa ke?” atau “Abang pergi meeting, jangan pula hendak melencong tau!” atau “Sudah tua-tua pun awak mahu pakai jeans lagi? Hendak berlagak muda lagilah tu.”

Kata-kata seperti itu mencerminkan perasaan curiga terhadap kejujuran dan kesetiaan orang itu. Ayat-ayat yang mengandungi kecurigaan akan merosakkan iklim komunikasi kerana ayat-ayat itu adalah ayat-ayat tuduhan. Tidak ada orang yang suka menerima tuduhan, oleh itu ia sangat menyakitkan hati orang yang mendengarnya.

Suami dan isteri saling menghargai dan saling cinta-mencintai
Komunikasi yang mencerminkan penghargaan dan kasih-sayang mempunyai ciri-cirinya sendiri. Ia mengandungi banyak puji-pujian dan sanjungan. Cara yang paling mudah bagi menyatakan pujian dan sanjungan ialah dengan mengucapkan “Terima kasih.”


Komunikasi Menentukan Kebahagiaan
Ramai orang salah sangka. Mereka menyangka, apabila kedua-dua belah pihak suami dan isteri sudah menjalankan tugas dan tanggungjawab masing-masing dengan baik, maka secara automatik, iklim komunikasi yang positif akan wujud. Ini tidak benar. Ramai orang yang menjalankan tugas dan tanggungjawab mereka sebagai suami atau isteri dengan baik, tetapi jiwa mereka tidak seronok dan gembira dalam hubungan perkahwinan mereka.

Sebagai contoh, ramai isteri mengadu segala penat lelah mereka tidak dihargai oleh suami mereka kerana mereka tidak pernah menerima sebarang kata-kata pujian dan sanjungan daripada suami. Akibatnya, isteri-isteri itu berasa tidak puas dan tidak seronok. Ramai suami yang berasa segala pengorbanan mereka bagi menyukakan hati isteri tidak dihargai oleh isteri mereka. Mereka bekerja bertungkus-lumus memberi kesenangan kepada isteri mereka, tetapi tidak sepatah pun mereka menerima ucapan penghargaan. Sebaliknya isteri mereka bercerita apa yang orang-orang lain miliki dan perolehi. Cerita-cerita itu menyakiti hati suami kerana mereka berasa diri mereka diperbandingkan dengan kemampuan suami-suami lain.

Iklim komunikasi datang daripada emosi suami dan isteri semasa mereka membuat tugas-tugas mereka. Kalau isteri membuat semua tugas dan tanggungjawabnya dengan baik, tetapi dia berasa kecewa terhadap suaminya, keadaan ini akan mewujudkan komunikasi negatif. Cara-cara berkomunikasi yang negatif menyebabkan suami yang dulu sayang, kini menjadi benci kepada si isteri, begitu pula sebaliknya.

Kajian menunjukkan iklim komunikasi yang positif tidak ada kaitan langsung dengan kemewahan dalam rumah tangga. Hubungan komunikasi suami isteri yang kaya raya belum tentu positif. Di dalam rumah yang kecil dan sempit sekalipun, ramai pasangan menikmati iklim komunikasi yang sihat, positif dan menyeronokkan. Iklim komunikasi yang positif terbit daripada teknik-teknik komunikasi yang positif juga, begitu pula sebaliknya. Teknik-teknik itu pula terbit daripada emosi positif yang ada dalam hati suami dan isteri terhadap satu sama lain. Emosi positif pula terbit apabila mereka berasa dihargai.


Kualiti Komunikasi
Ramai orang sangat pandai bercakap. Tetapi, pandai bercakap bukan bermakna pandai berbual-bual. Bercakap ialah kegiatan seorang. Seorang bercakap, pihak yang lain mendengar. Berbual-bual ialah kegiatan dua orang atau lebih. Kedua-dua pihak bergilir-gilir bercakap dan bergilir-gilir mendengar. Perbualan yang berjaya ialah perbualan yang berkualiti tinggi. Perbualan yang berkualiti tinggi adalah perbualan yang dijalankan berdasarkan semangat kerjasama. Kedua-dua belah pihak sama-sama ingin saling faham-memahami apa yang diucapkan oleh satu sama lain. Sesuatu perbualan itu dikatakan mempunyai ciri-ciri kerjasama apabila ia mempunyai sifat-sifat berikut:

Kuantiti yang cukup-cukup
Apabila bercakap, kita hanya perlu memberikan maklumat yang cukup-cukup sahaja bagi membolehkan orang itu faham apa yang kita maksudkan. Tidak lebih dan tidak kurang. Orang yang bercakap lebih daripada yang sepatutnya disebut ‘banyak mulut’. Sifat banyak mulut membuat orang lain ‘letih’ mendengar suaranya. Kalau kita memberikan terlalu sedikit maklumat, orang itu mungkin sukar memahami maksud kita.

Orang yang ‘berat mulut’, atau amat pendiam kerap melakukan kesilapan ini. Oleh kerana mereka tidak pandai berbual-bual, sepatah yang ditanya, sepatah yang dijawab. Akibatnya, pihak yang satu lagi mendapati sangat sukar baginya memahami jiwa, perasaan dan fikiran si pendiam itu. Kalau kita memberikan terlalu banyak maklumat, mungkin maklumat itu tidak diperlukannya orang itu, oleh itu dia berasa bosan. Prinsip ini selalu dilanggar oleh orang yang suka bercakap, yang ‘banyak mulut’. Bagi menerangkan perkara yang mudah pun, mereka akan bercakap panjang lebar.

Menjaga kepercayaan
Bagi menjaga kepercayaan orang itu, caranya ialah dengan bercakap berkenaan perkara-perkara yang kita tahu adalah benar sahaja. Oleh itu jangan bercakap melainkan berkenaan apa-apa yang kita sudah pasti perkara itu adalah benar. Kepercayaan orang hilang apabila kita melakukan perkara-perkara berikut:

Melebih-lebihkan cerita
Kajian pakar-pakar komunikasi mendapati, salah satu ciri percakapan wanita dengan percakapan lelaki ialah banyaknya unsur membesar-besarkan cerita yang sebenar apabila wanita menggambarkan sesuatu. Perbuatan ini menyebabkan turunnya kredibiliti orang yang bercakap. Akibatnya, orang yang mendengar tidak berapa percaya kepada peribadi orang yang bercakap itu. Itulah sebabnya, kebanyakan lelaki tidak berapa mahu mengambil maklumat yang disampaikan oleh wanita dengan serius. Itulah juga sebabnya kebanyakan lelaki tidak berapa berminat mendengar percakapan wanita. Mereka kurang menaruh kepercayaan kepada wanita.

Berbohong
Membesar-besarkan cerita adalah sejenis perbuatan berbohong. Tetapi ada jenis berbohong yang sangat digemari, terutama oleh wanita, iaitu bergosip. Gosip adalah maklumat yang tidak dapat disahkan kebenarannya. Kebanyakan gosip mengandungi maklumat yang tidak betul. Apabila gosip itu terbukti tidak betul, akibatnya orang hilang kepercayaan terhadap orang yang menceritakan gosip itu.

Mengumpat adalah jenis gosip yang lebih serius kesan negatifnya kerana umpatan mengandungi unsur bohong yang lebih banyak lagi. Perbuatan mengumpat menurunkan kredibiliti orang yang diumpat dengan lebih rendah sehingga orang mungkin tidak mahu menaruh kepercayaan lagi kepada peribadinya. Inilah salah satu faktor mengapa ramai lelaki tidak suka melayan isterinya bercerita kerana banyak cerita wanita berkisar kepada gosip dan umpat.

Meremeh-temehkan perkara yang serius
Ini ada kaitan dengan sudut pandangan yang berbeza antara orang yang mendengar dan orang yang bercakap. Sesuatu itu mungkin dianggap serius oleh orang yang mendengar, tetapi sebaliknya oleh orang yang bercakap. Jadi, jikalau pun kita memang sebenarnya menganggap apa yang dikatakan oleh orang itu suatu hal yang remeh, janganlah kita ucapkan begitu kepadanya. Janganlah berkata kepadanya, “Ah! Awak ni merepeklah.” ataupun “Jangan dilayan perkara bodoh tu.”

Tidak menunjukkan minat
Inilah pembunuh perbualan yang paling selalu dilakukan. Orang itu cuba bercakap dengan niat hendak memulakan perbualan, kita tidak menunjukkan minat untuk mendengar apa yang cuba dipercakapkannya.

Perbuatan-perbuatan seperti di atas akan membuat orang lain tidak lagi menaruh kepercayaan kepada peribadi orang yang cuba bercakap dan berbual-bual. Tanpa kepercayaan, mereka jadi ragu yang mana cakap yang boleh dipegang, yang mana yang tidak boleh dipegang, yang mana yang betul, dan yang mana yang dusta. Jadi, minatnya untuk meneruskan perbualan akan hilang dan perbualan itu gagal.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024