Artikel

Komunikasi Positif

oleh Helmi pada 19 Jul 2004

GAYA komunikasi sangat dipengaruhi oleh emosi kita. Apabila kita suka kepada seseorang, komunikasi kita akan bersifat sangat positif. Kita banyak memuji-muji orang itu, dan kita seronok sepanjang masa kita dapat bercakap-cakap dan berbual-bual dengan orang itu.

Pakar-pakar psikologi banyak membuat kajian berkenaan apa yang menyebabkan kita menjadi suka atau benci kepada orang lain. Hasil-hasil kajian yang mereka lakukan banyak manfaatnya bagi memperbaiki kemahiran kita mencipta iklim komunikasi yang baik dengan orang yang kita cintai.

Antara faktor-faktor yang menyebabkan kita suka kepada seseorang ialah kalau kita menyangka orang itu suka dan tertarik kepada diri kita. Kesan daripada sangkaan seperti itu ialah kita akan menjadi suka dan tertarik kepada orang itu. Gejala ini terjadi walaupun itu hanyalah sangkaan kita sahaja. Barangkali, sebenarnya dia tidaklah berapa suka kepada diri kita, tetapi dia tidak juga benci kepada kita. Asal sahaja kita sangka orang itu suka kepada kita, kita boleh menjadi suka kepada orang itu. Ini pelik tetapi benar. Gejala ini diistilahkan sebagai ‘tarikan terpersepsi’. Maksudnya, hanya pada persepsi kita orang itu suka kepada diri kita. Realitinya mungkin tidak begitu. Implikasi hasil kajian itu ialah, apabila kita mahu supaya orang tertarik kepada diri kita, caranya ialah dengan membuat orang itu menyangka kita sangat tertarik kepadanya. Selagi dia menyangka kita tidak tertarik kepadanya, selagi itulah sukar bagi kita untuk membuat supaya dia tertarik kepada kita.

Kajian juga menunjukkan kita akan bertambah-tambah lagi tertarik kepada orang itu kalau memang kita suka kepadanya, dan persepsi kita pun menyangka dia suka kepada kita. Dalam keadaan begini, pakar-pakar psikologi mengatakan kita akan mengalami semacam kesan ‘tersihir’ oleh persepsi kita sendiri, di mana kita akan nampak orang itu lebih tampan daripada yang sebenarnya, lebih baik daripada yang sebenarnya, lebih pintar daripada yang sebenarnya, dan macam-macam lagi yang semua baik-baik belaka.

Apakah yang membuat kita tertarik kepada orang yang tertarik kepada kita? Pakar-pakar mengatakan, gejala ini terjadi kerana keadaan seperti itu sangat memenuhi keperluan jiwa dan kalbu kita. Salah satu keperluan itu disebut keperluan estim-diri. Estim-diri ialah istilah untuk keadaan di mana kita suka atau benci kepada diri kita sendiri. Kalau kita seronok dengan diri sendiri, maka dikatakan estim-diri kita tinggi. Kalau kita tidak seronok dengan diri sendiri, dikatakan estim-diri kita rendah. Keperluan estim-diri adalah keperluan jiwa yang sangat mendalam. Apabila ada orang tertarik kepada diri kita, estim-kita naik dan kita berasa seronok.

Apabila orang itu jatuh cinta kepada kita, estim-diri kita naik lebih tinggi. Jiwa dan kalbu kita berasa amat bahagia. Orang-orang yang tertarik kepada kita adalah orang-orang yang memenuhi keperluan jiwa kita. Mereka menaikkan estim-diri kita. Mereka membuat kita berasa seronok. Apabila mereka juga mencintai diri kita, estim-diri kita naik lebih tinggi lagi dan jiwa dan kalbu kita berasa tambah seronok. Itulah sebabnya kita suka kepada orang-orang seperti itu. Orang yang benci kepada diri kita membuat estim-diri kita turun jadi rendah dan kita tidak seronok. Itulah sebabnya kita tidak suka orang-orang yang membenci kita.

Satu lagi faktor lain ialah, orang-orang yang suka kepada kita membuat kita berasa diri kita sangat istimewa dan dihargai olehnya. Perasaan seperti itu sangat memenuhi keperluan jiwa kita. Akibatnya, kita suka kepada orang yang membuat kita berasa begitu. Selain daripada itu, sudah menjadi adat, kalau orang baik kepada kita, kita akan membalas budi itu dengan kebaikan juga. Oleh kerana dia menyukai diri kita, maka kita pun terdorong untuk membalasnya dengan menyukai dirinya juga. Pakar-pakar psikologi banyak memberi panduan bagaimana kita boleh membuat orang suka kepada kita:

1. Kita mesti suka menolong orang. Orang yang pernah menerima pertolongan kita akan suka kepada kita.

2. Jadilah orang yang jujur, ikhlas dan berhati baik dan gambarkan sifat-sifat mulia itu dalam komunikasi kita. Manusia memang suka kepada orang yang memiliki sifat-sifat tersebut. Tetapi ingat, jangan sekali-kali ‘bersandiwara’ sebab sekali orang tahu kita cuma berpura-pura, sampai mati orang benci kepada kita.

3. Ada orang sangat pandai dan petah bercakap sehingga melakukan kesilapan ‘banyak cakap’. Orang yang mendengar tidak suka perangai ini. Cuba belajar banyakkan mendengar daripada bercakap. Biar orang yang hendak kita pikat hatinya itu yang dapat banyak peluang bercakap. Biar dia puas bercakap. Kerana sifat manusia suka mendengar suaranya sendiri, dia suka kepada orang yang membenarkan dia mendengar suaranya sendiri.

4. Jadikan diri kita seorang yang menarik minat orang itu apabila kita bercakap kepadanya. Belajar teknik yang betul memberi pujian. Selalu ucapkan kata-kata penghargaan. Isi otak dengan ilmu kerana lelaki bosan mendengar perempuan bercakap perkara remeh-temeh. Lelaki selalu sahaja tidak perasan kalau perempuan tidak menukar baju lamanya dengan yang baru. Tetapi lelaki sangat perasan kalau perempuan bercakap mengulang-ulang perkara lama.

5. Apabila berbual gunakan gaya positif dan koperatif. Gaya positif tidak menggunakan perkataan-perkataan negatif. Gaya koperatif tidak tunjuk pandai dengan membuktikan orang lain salah, atau tidak betul. Tidak ada orang yang suka dirinya dibuktikan salah. Lelaki bukan takut kepada perempuan yang pandai, tetapi mereka takut kepada perempuan yang suka tunjuk pandai. Tunjuk pandai bukan bukti orang itu pandai. Ramai orang bodoh suka tunjuk pandai.

6. Apabila berbual-bual, jangan tunjukkan kita amat berminat dengan diri sendiri. Ramai orang suka bercakap “Saya….. saya…..saya….” daripada mula sampai habis. Ia sangat membosankan orang yang mendengar. Jadi cuba berjimat cermat apabila menggunakan perkataan ‘saya’.

7. Dalam perbualan, gambarkan kita banyak bersetuju dengan sikap orang itu, dengan sudut pandangannya, dan kita menghargai idea-ideanya. Lebih baik lagi, katakan kita menganut nilai-nilai yang serupa dengan nilai-nilainya.

8. Tunjukkan kita seorang yang positif. Jadi, jangan suka merungut-rungut. Jangan bercakap perkara-perkara yang kita tidak suka. Jangan sekali-kali mengata orang. Jangan suka mencari salah orang. Jangan suka mengkritik orang. Itu semua adalah bukti otak kita penuh dengan perkara-perkara negatif. Jangan buat itu semua di depan orang yang hatinya cuba kita pikat. Kajian membuktikan manusia tertarik kepada orang-orang yang positif.

9. Tunjukkan kita seorang yang banyak tenaga, aktif, bersemangat dan memiliki ghairah-hidup. Tenaga adalah unsur yang menarik dan sangat menggoda. Jangan tunjukkan tanda-tanda kita pemalas, penat, letih, lesu, lembap dan berat badan. Berjalan dengan tegak dan laju, seperti gaya lelaki dan perempuan Cina berjalan. Jangan heret selipar. Bercakap dengan menyebut perkataan-perkataan dengan sebutan yang terang dan ‘bulat’.

10. Apabila berbual-bual, ucapkan kata-kata yang boleh membuat orang itu seronok. Jangan asyik hendak menyeronokkan diri sendiri sahaja. Tunjukkan kita seronok dapat mendengar perbualannya. Caranya ialah dengan tekun mendengar dia bercakap. Apabila dia berlawak, kita sambut dengan gelak dan ketawa. Jangan menyampuk. Jangan sambung ayat-ayatnya. Jangan mencelah. Jangan memandang ke tempat lain.

Kemahiran berkomunikasi adalah kemahiran yang sangat besar gunanya. Menurut kajian, orang-orang yang mahir berkomunikasi dipandang sebagai orang yang mempunyai daya tarikan. Ini tidaklah menghairankan kerana dengan menggunakan teknik-teknik komunikasi yang betul, setiap kali kita bercakap, kita membuat orang berasa seronok. Akibatnya mereka suka dan tertarik kepada kita.


Mendengar
Lebih penting daripada kepandaian mengucapkan kata-kata yang betul dan manis ialah kepandaian mendengar. Ramai kaunselor rumah tangga berpendapat masalah yang paling banyak dialami oleh suami-isteri hari ini ialah masalah tidak tahu teknik mendengar. Kajian menunjukkan orang-orang yang tidak pandai mendengar meng-alami perkahwinan yang kurang memuaskan. Mereka juga kurang berjaya dalam lapangan pekerjaan. Fungsi utama mendengar ialah untuk belajar, mempengaruhi orang, menjalin hubungan, untuk berseronok dan menolong orang lain.

Mendengar untuk belajar
Dalam konteks am, kita mendengar bagi memahami orang-orang lain, memahami diri sendiri, memahami alam dan belajar daripada orang-orang lain yang mengetahui perkara-perkara yang tidak kita ketahui atau yang tidak pernah kita alami lagi. Dalam konteks hubungan suami isteri, kita mendengar untuk belajar mengenai diri pasangan kita. Jika seorang isteri mendengar suaminya bercakap, dia berpeluang belajar mengenali ‘siapa’ suaminya.

Mendengar untuk menjalin hubungan
Dengan mendengar suami bercakap, isteri dapat menjalin, mengekalkan, dan mencipta hubungan kasih sayang yang lebih memuaskan. Hubungan baik dan mesra itu terjalin kerana si suami suka menerima si isteri. Kajian pakar-pakar komunikasi interpersonal menunjukkan manusia suka kepada orang yang pandai mendengar mereka bercakap. Apabila seseorang isteri itu pandai mendengar suaminya bercakap, dia memberi gambaran kepada suaminya dia berminat dan prihatin kepada suaminya. Perbuatan si isteri itu menyebabkan suaminya menghargai hubungan mereka berdua.

Mendengar untuk mempengaruhi
Apabila isteri pandai mendengar, lebih mudah baginya mempengaruhi sikap dan tingkah laku si suami. Ini kerana, kajian mendapati orang yang didengar akan menghormati orang yang mendengarnya bercakap. Didorong oleh rasa hormat, si suami tidak bersikap defensif, oleh itu dia mudah menerima pandangan si isteri yang mahu mendengar apa yang diperkatakannya. Sebagai contoh, kajian menunjuk-kan orang-orang bawahan lebih terbuka mendengar pendapat ketua yang pada pandangan mereka mahu mendengar dengan teliti apa yang diucapkan oleh orang bawahannya.

Mendengar untuk berseronok
Ada kalanya kita mendengar cerita, lawak jenaka, gurau senda dan perbualan kosong daripada rakan-rakan semata-mata kerana hendak berseronok-seronok dengan mereka. Kita hendak menikmati kehadiran mereka dan aktiviti perbualan itu. Ini kita lakukan dengan cara mendengar apa yang mereka ceritakan tanpa bersikap kritikal atau menilai apa yang kita dengar.

Kemahiran mendengar untuk berseronok adalah unsur utama yang diperlukan dalam aktiviti gurau senda. Ramai wanita tidak mempunyai kemahiran mendengar jenis ini. Mereka tidak pandai membezakan kata-kata yang dimaksudkan untuk bersenda semata-mata dengan kata-kata yang serius. Mereka cenderung menganggap semua kata-kata suami adalah bermaksud serius. Akibatnya mereka bersikap kritikal terhadap cakap suami. Sebaik-baik si isteri bersikap kritikal, matilah nafsu suami untuk bersenda dengan isterinya.

Mendengar untuk menolong
Ada kalanya dengan mendengar kita dapat menolong orang lain kerana kita dapat merasakan apa yang mereka rasakan dan kita dapat berfikir dengan menggunakan sudut pandangan mereka. Bagi tujuan ini, kemahiran mendengar yang digunakan ialah kemahiran mendengar secara empati.

Langkah Mendengar
Aktiviti mendengar terdiri daripada lima langkah iaitu menerima, memahami, mengingat, menilai dan berespons.

Menerima
Dalam aktiviti ini kita menerima mesej yang diucapkan dan juga mesej dalam bentuk bahasa badan. Bagi menerima apa yang kita dengar dengan lebih baik lagi, lakukan perkara-perkara berikut:

1. Beri tumpuan kepada kata-kata orang itu dan juga kepada gerak-geri bahasa badannya.

2. Dengar apa yang dikatakannya dan dengar juga apa yang tidak dikatakannya.

3. Tumpukan perhatian kepada orang itu. Jangan sibuk memikirkan apa yang hendak kita katakan.

4. Jangan suka mencelah.

5. Jangan pedulikan gangguan-gangguan yang ada semasa kita sedang mendengar.

Memahami
Dalam langkah ini kita cuba memahami apa yang dimaksudkan oleh orang itu, termasuk apa yang difikirkannya. Supaya lebih faham, lakukan perkara-perkara berikut:

1. Kaitkan apa yang dikatakannya dengan apa yang kita sudah tahu.

2. Fahami apa kata orang itu daripada sudut pandangannya.

3. Tunggu sampai dia habis bercakap, baru buat penilaian.

4. Minta lebih banyak penerangan atau maklumat.

5. Ulang apa kata orang itu tetapi gunakan kata-kata kita sendiri.

Mengingat
Untuk berkomunikasi secara efektif, kita perlu mengingat apa yang kita dengar. Ada kalanya, kita boleh membuat catatan, tetapi dalam perbualan hari-hari, kita tidak membuat catatan.

1. Kenal pasti perkara-perkara penting yang diucapkan.

2. Ringkaskan apa yang diucapkannya.

3. Ulang nama dan perkara-perkara yang penting dalam kepala kita sendiri. 

Menilai
Dalam proses mendengar, secara tidak disedari kita melakukan banyak penilaian. Sebagai contoh, apabila ada orang memberitahu kita dia akan melancong ke Jakarta, kita menilai apa niat orang itu memberitahu kita hal itu. Adakah dia hendak menunjukkan dia mampu berjalan? Adakah dia hendak menunjukkan dia banyak wang? Apabila menilai, lakukan perkara-perkara berikut:

1. Jangan menilai sebelum orang itu habis bercakap.

2. Kita mesti sentiasa andaikan orang itu berniat baik.

3. Apabila kita rasa kita tidak setuju dengan orang itu, kita minta penjelasan lebih lanjut.

4. Kenal pasti sama ada apa yang diucapkan oleh orang itu adalah fakta, pendapat peribadi, atau andaiannya sahaja.

5. Cuba kenal pasti kalau ada prasangka, kepentingan diri dan sikap berat sebelah yang boleh menyebabkan orang itu berkata begitu.

Berespons
Respons ialah maklumat yang kita berikan kepada orang itu semasa dan selepas kita mendengar dia bercakap. Respons yang kita buat semasa dia masih bercakap mestilah jenis yang bersikap mendukung, iaitu respons yang menunjukkan kita mendengar apa yang dikatakannya.

Respons yang kita buat selepas dia habis bercakap biasanya lebih panjang. Kita boleh menyatakan empati seperti “Saya faham apa yang awak sedang rasakan.”

Kita boleh meminta penjelasan “Adakah cara kedua lebih baik daripada cara pertama?”

Kita boleh mencabar “Bukti yang awak kemukakan tidak cukup kuat.”

Kita juga boleh bersetuju, “Cadangan ini sungguh praktikal. Saya setuju.” Apabila membuat respons, lakukan perkara-perkara berikut:

1. Tunjukkan sikap dukungan kepada orang itu dengan berkata seperti “Hm…. hm….” dan gerak-geri seperti mengangguk-anggukkan kepala.

2. Bersikap jujur, sama ada kita setuju atau tidak setuju dengannya.

3. Gunakan ayat-ayat ‘saya’. Contohnya:

“Saya setuju dengan tindakan abang.”
“Saya fikir kita perlukan cara lain yang lebih murah.”


Halangan Mendengar
Banyak perkara yang kita buat menghalang kita daripada mendengar secara yang berkesan. Perbuatan-perbuatan itu ialah:

1. Kita cuma hendak mendengar apa-apa maklumat yang dapat kita jadikan peluru bagi menembak orang itu semula. Maklumat-maklumat lain, walaupun relevan, kita buang ke tepi.

2. Pura-pura mendengar, iaitu kita berlakon seolah-olah kita berminat mendengar apa yang dikatakan oleh orang itu, tapi sebenarnya otak kita di tempat lain.

3. Membuat penilaian, rumusan dan keputusan walaupun orang itu belum habis bercakap.

4. Sibuk memikirkan apa yang ada dalam kepala kita, bukan mendengar orang itu bercakap. Kita berasa fikiran kita lebih penting daripada apa yang orang itu fikirkan dan rasakan.

5. Sibuk bercakap, bukan sibuk mendengar. Pantang orang itu berhenti sekejap menarik nafas, kita terus mencelah.

6. Tidak minat mendengar kerana takut orang itu akan mengatakan apa-apa yang kita tidak suka dengar.

Ramai orang lebih pandai bercakap dan berucap daripada pandai mendengar. Kajian-kajian yang pernah dibuat menunjukkan tidak ada perkaitan antara kemahiran bercakap dengan kemahiran mendengar. Maksudnya, semakin kita pandai bercakap tidak semestinya semakin kita pandai mendengar. Malah kajian juga mendapati ramai orang yang pandai bercakap tidak pandai mendengar. Jadi, kalau kita rasa kita seorang yang pandai bercakap, besar kemungkinannya kita seorang yang bodoh mendengar.

Apabila suami sedang bercakap, jangan sibuk mencelah. Orang yang bersikap terbuka ialah orang yang sanggup mendengar sahaja orang lain bercakap. Apabila isteri suka diam dan mendengar sahaja cakap suami, dia berasa isterinya rapat kepadanya. Barulah dia berasa isterinya adalah juga sahabat karibnya. Dalam keadaan begitu, hubungan suami isteri tumbuh dan berkembang dan cinta suami bertambah dalam.

Perbuatan mendengar adalah suatu pengiktirafan bagi suami. Jangan mendengar dengan rasa ragu dan sangsi kepada kata-katanya. Apabila mendengar, buktikan kepada suami bahawa isteri yakin kepada kebenaran kata-katanya dan peribadinya. Kalau isteri ragu, curiga, sangsi dan mengesyaki suami berbohong, nanti lama-lama jadi betul. Buktikan kepada suami bahawa isteri pandai mendengar dengan baik.

Pertama sekali ialah, berikan perhatian yang tidak berbelah bahagi. Dengan begitu isteri memberitahu suami dia adalah orang yang paling penting. Kedua, biarkan dia habis bercakap sebelum isteri pula bercakap. Jangan sambung ayatnya seolah-olah si isteri tahu apa yang hendak dikatakan oleh si suami. Jangan menyampuk dia dengan berkata apa yang melintas di kepala.

Apabila suami mahu bercakap mengenai masalah-masalahnya, jangan beri pendapat atau nasihat. Biasanya suami bercakap bukan kerana dia perlukan nasihat atau fikiran isterinya. Dia cuma perlukan sepasang telinga yang pandai mendengar. Itu saja. Dia bercakap kerana dia mahu berkongsi dengan isteri. Dengarlah sahaja dengan tekun, kerana itulah bukti dirinya dikasihi oleh isteri. Dengar kata-kata suami dengan sikap terbuka. Dengan cara itu dia tahu dirinya dihormati oleh isteri. Sikap terbuka si isteri menerbitkan rasa saling percaya-mempercayai. Dalam keadaan begitu hati suami jadi yakin isterinya memberi dukungan emosi dan psikologi kepadanya. Itulah yang amat didahagai oleh ramai suami.


Berterus Terang
Bolehkah suami isteri berbincang berkenaan perasaan mereka tanpa menuduh sesiapa bersalah? Jawabnya, boleh. Apabila hal ini dapat dilakukan, walau bagaimana besar sekalipun masalah yang dihadapi oleh suami dan isteri, mereka akan dapat mencari jalan-jalan penyelesaiannya. Ini kerana cara percakapan yang tidak mengandungi tuduhan memberi peluang kepada kedua-dua belah pihak bercakap tanpa rasa takut dirinya dituduh bersalah.

Salah satu gaya bahasa yang positif dan mampu mencipta keharmonian antara suami dan isteri, meskipun mereka sedang berkonflik pendapat ialah apa yang disebut gaya ‘bahasa saya’. Contoh gaya bahasa saya ialah:

“Saya rasa seronok dengan awak.”
“Saya memang sukakan awak dari dulu lagi.”
“Saya rasa sakit hati.”
“Saya minta maaf.”
“Saya tidak tahu apa saya hendak buat kalau awak tidak ada.”
“Saya bertuah menjadi isteri awak.”
“Saya suka mendengar awak menyanyi.”

Ciri-ciri positif pada gaya bahasa saya ialah:

1. Ia mengandungi penghargaan yang jelas
Bahasa saya adalah bahasa yang mengiktiraf dan menghargai orang itu sebagai punca kebaikan dan kemujuran.

“Saya sedar, ini semua kerana budi awak.”
“Saya tidak akan mengecap nikmat ini kalau awak tidak memberikannya.”
“Saya tidak akan mendapat wang ini kalau awak tidak tolong.”

2. Ia mengandungi penghargaan tersirat
Sebahagian bahasa saya mengandungi penghargaan yang tersirat, tetapi unsur penghargaan itu tetap ada. Contohnya:

“Saya sedar awak seorang ketua di dalam rumah ini….”
“Saya tahu awak pentingkan perasaan saya….”
“Sepatutnya saya lebih pentingkan awak….”
“Bila lagi saya hendak balas budi awak….”

3. Ia menunjukkan penghormatan
Apabila bahasa ini digunakan oleh isteri kepada suami, ia menunjukkan si isteri berasa kedudukan suaminya lebih tinggi dan mulia. Oleh itu si isteri berasa dia tidak berhak mempersoalkan suaminya.

“Saya minta supaya saya diberitahu dulu.”
“Saya tidak mahu dibuat begini.”
“Saya harap cadangan saya diterima.”
“Saya tidak sangka sama sekali, begini jadinya.”

4. Ia lembut
Bahasa saya boleh digunakan baik untuk komunikasi ke atas mahupun komunikasi ke bawah, iaitu di mana status orang yang bercakap mungkin lebih tinggi ataupun lebih rendah daripada status orang yang mendengar.

“Saya tidak setuju awak buat begitu.”
“Saya ingin tahu adakah awak faham maksud saya?”
“Saya rasa ada cara lain melakukannya.”

5. Ia tidak membaca otak orang
Gaya bahasa saya menunjukkan tabiat tidak suka membaca otak orang. Si penutur tidak menganggap dia tahu apa yang ada dalam fikiran dan hati fikiran orang lain.

“Saya rasa, oleh kerana saya sudah tua, barangkali saya menyebabkan awak berasa bosan kepada saya.”

“Saya berasa kecil hati apabila saya tidak dibawa makan angin.”

“Saya berasa oleh kerana kelulusan saya tidak tinggi, hal itu mungkin menyebabkan, sebagai seorang isteri menteri, saya ada kekurangan. Betulkah perasaan saya ini?”

6. Ia tidak menuduh
Gaya bahasa saya menunjukkan sikap penutur yang sanggup bertanggungjawab ke atas masalah yang sedang dihadapi. Dia percaya dia bertanggungjawab menjadi sebahagian daripada punca masalah tersebut. Dia tidak menuduh orang lain yang mesti bertanggungjawab ke atas masalah itu.

7. Ia tidak menjatuhkan estim-diri
Ayat saya tidak menuduh dan tidak merendah-rendah orang lain. Oleh kerana ia tidak mempersalahkan orang lain, ia tidak menjatuhkan maruah dan estim-diri sesiapa.

8. Ia tidak menimbulkan krisis dan rasa benci
Gaya bahasa saya membolehkan kita terus menyukai dan mencintai orang yang tidak suka menuduh kita bersalah. Oleh itu ia tidak mengancam estim-diri kita dengan pelbagai tuduhan dan penghinaan. Kerana itu walau dalam keadaan berkonflik sekalipun, penggunaan bahasa saya boleh menjaga hubungan baik yang ada.

9. Ia tidak menyebabkan orang menjadi defensif
Apabila ada masalah, gunakan gaya bahasa saya. Ia menghindarkan kedua-dua belah pihak daripada saling tuduh-menuduh. Gaya bahasa saya tidak menyakitkan hati orang yang mendengarnya. Oleh itu ia mengelakkan pertengkaran daripada tercetus. Tanpa tuduhan, kedua-dua belah pihak tidak perlu menjadi defensif, dan mereka tidak perlu membela diri. Dengan menggunakan gaya bahasa saya, jari telunjuk kita tidak menuding kepada orang lain. Oleh kerana kita tidak menuduh sesiapa, orang lain pun tidak menuduh kita.
Kerap kali suami isteri tidak sanggup bercakap dengan terus terang, terutama dalam perkara-perkara yang mereka anggap ‘sensitif’ seperti berkenaan perasaan dan seks. Sebaliknya, mereka bercakap dengan cara sipi-sipi, berlapik-lapik, berkias-kias, berbelit-belit dan menyindir-nyindir. Bercakap dengan menggunakan cara-cara begitu boleh mengelirukan orang yang mendengar. Ayat-ayat di bawah selalu kita dengar:

“Faham-fahamlah sendiri!”
“Takkanlah itu pun awak tidak faham?”
“Kalau awak tidak beritahu, mana saya tahu?”
“Saya sangka awak tentu faham!”
“Kenapa tidak cakap macam itu dari tadi?”
“Lain kali cakaplah betul-betul.”

Apabila suami isteri tidak sanggup berterus terang, akibatnya mereka terpaksa saling teka-meneka apa yang sebenarnya ingin disampaikan oleh satu sama lain. Biasanya tekaan itu salah.

Sebagai manusia, kita memang tidak berapa pandai main teka-teka. Sebagai contoh, seorang suami mahu supaya isterinya menambahkan pengetahuannya. Dia bukan berkata kepada isterinya, “Saya mahu awak berhenti membaca majalah hiburan dan kolum gosip artis. Saya mahu awak mula membaca buku-buku yang bermutu.” Sebaliknya, dia mengajak isterinya pergi menghadiri majlis ceramah dan forum.

Si suami menyangka dengan berbuat begitu isterinya fahamlah apa yang dimaksudkannya. Si isteri pula menyangka suaminya tiba-tiba mula mahu mengajak dia ke majlis seminar dan forum kerana dia hendak mempamerkan isterinya, lalu si isteri pun pergi dengan memakai pakaian yang terlalu ‘elok’ dan tidak sesuai untuk ke majlis ilmu. Sepanjang berada di majlis itu si isteri berasa amat bosan, dan pada suatu ketika, dalam baju cantiknya itu dia tertidur. Dalam perjalanan pulang, si suami menegur perbuatan isterinya tertidur yang dianggap memalukan si suami. Akibatnya mereka bertengkar.

Ingatlah, kalau kita tidak bercakap secara terus terang, siapakah yang akan faham apa yang kita maksudkan? Komunikasi yang berbelit-belit memaksa orang meneka-neka fikiran dan perasaan kita. Biasanya orang lain tidak pandai meneka apa yang ada dalam hati dan dalam otak kita. Kalau mereka salah teka, mereka pun tidak tahu bahawa mereka salah teka kerana kita tidak sanggup berterus terang kepadanya bahawa dia tidak memahami maksud kita yang sebenar. Lihat contoh di bawah:

Isteri : “Sudah lama kita tidak makan sate.” (Maksudnya, “Bawalah saya berjalan-jalan.”)

Suami : “Awak mahu makan sate di mana?” (Menyangka isterinya betul-betul teringin makan sate.)

Isteri : Tidak tahulah. Awak mahu makan di mana? (Maksudnya, “Saya bukan mahu makan sate.”)

Suami : Mana-mana pun boleh. (Maksudnya, biar si isteri pilih.)

Isteri : O.K. mana-mana pun boleh. (Maksudnya, “Asal dia bawa aku berjalan-jalan, tidak mengapa-lah.”)

Selepas begitu banyak bercakap, tidak ada apa-apa keputusan. Apa yang terjadi ialah masing-masing menunggu pihak yang satu lagi membuat keputusan. Sesiapa yang membuat keputusan itu nanti akan menerima padahnya kalau ada apa-apa yang tak kena.
(Si suami terfikir : Tengah hari tadi aku sudah makan di Medan Selera, tapi kalau isteri aku hendak makan sate di situ, tidak mengapalah, aku bawa dia makan di situ) lalu dia berkata kepada isterinya, “Makan di Medan Selera boleh?”

(Si isteri terfikir : Aku tidak berapa suka sate Medan Selera, tapi kalau suami aku suka sate di situ, tidak mengapalah, aku ikut sahaja) lalu berkata, “Bolehlah.”

Mereka pun pergi ke tempat yang masing-masing tidak mahu kerana masing-masing percaya mereka menyukakan hati pihak yang satu lagi.

(Si suami terfikir : Isteri aku suka sate ayam) lalu berkata, “Sate ayam,boleh?”

(Si isteri terfikir : Suami aku suka sate ayam) lalu berkata, “Sate ayam pun boleh juga.”

Kedai sate itu sibuk dan mereka terpaksa menunggu lama sebelum dilayan.

Si suami : “Servis di sini lambat.”

Si isteri : “Awak yang hendak makan sate di sini. Saya bukan suka sangat tempat ni!”

Si suami : “Eh! awak ni. Tadi awak yang hendak sangat makan sate di sini.”

Si isteri : “Siapa kata saya hendak makan sate!!!”

Perselisihan itu menghilangkan selera makan mereka. Masing-masing sakit hati oleh tuduhan masing-masing. Supaya dapat menikmati cinta yang intim sebagai suami isteri, kita mesti sanggup menyatakan perasaan dengan tepat dan jelas. Ada berbagai-bagai cara menyatakan perasaan; ada cara yang berkesan, ada pula cara yang membingungkan. Apabila suami isteri bercakap dengan berbelit-belit, si suami terpaksa cuba meneka maksud yang tersirat pada kata-kata isterinya. Katakanlah si isteri mengatakan sesuatu dengan jelas, tetapi ada kemungkinan si suami tidak mendengar dengan telinga yang terbuka lebar, disebabkan dia fikir dia sudah tahu apa yang dimaksudkan oleh isterinya.
Akibat komunikasi yang tidak jelas, kita sibuk meneka-neka maksud satu sama lain. Akibatnya kita berusaha membuat perkara-perkara yang kita sangka dia mahu. Kita tidak hirau apakah yang kita buat itu dia suka atau benci.

Kalau dia minta kita mengubah cara-cara kita sekalipun, kita tidak juga mahu berubah. Kita yakin apa yang kita buat memang betul. Pada waktu yang sama, dia pun sama sahaja seperti kita kelakuannya. Kalau bercakap, dia berbelit-belit. Kita jadi waswas, teragak-agak, tidak yakin dan teraba-raba. Adakah dia faham apa yang kita mahu? Apakah dia seronok dengan apa yang kita katakan dan lakukan kepadanya?

Berterus terang ada batasnya. Tidak semua perkara patut diucapkan kepada orang yang kita cintai. Perkara-perkara yang boleh melukai hatinya, atau membinasakan kepercayaannya, hendaklah disimpan sahaja. Jangan sekali-kali beritahu dia kita tidak suka emaknya, sama ada secara tidak langsung, apatah lagi secara berterus terang. Jangan ceritakan kepadanya siapa kekasih-kekasih lama kita. Tukar cara bercakap yang mengelirukan dengan cara-cara lain yang lebih jelas. Komunikasi yang baik mempunyai lima ciri seperti di bawah:

1. Sebut apa yang kita maksudkan
2. Sebut dengan tepat
3. Apa yang kita dengar hendaklah kita yakini betul
4. Percaya kita dan dia mempunyai maksud yang sama
5. Buka telinga besar-besar

Jangan bercakap begini:

Isteri : “Saya penatlah.” (Maksudnya, dia minta dibawa berjalan-jalan.)

Suami : “Yalah, abang pun penat juga.” (Maksudnya, dia hendak berehat sahaja di rumah.)

Kedua-dua pihak menggunakan perkataan yang serupa iaitu ‘penat’ tetapi maksud mereka jauh berbeza. Tidak hairanlah kalau berlaku perselisihan. Masing-masing tahu apa yang dia mahu, tetapi tidak menyatakannya dengan tepat. Masing-masing percaya orang lain tentu faham-faham sendiri. Kaedah bercakap begini berkali-kali menyebabkan salah faham, tapi terus kita gunakan. Ingatlah, kalau kita tidak dapat apa yang kita mahu, biasanya itu terjadi kerana kita tidak memberitahu dengan tepat apa yang kita mahu.

“Abang hendak makan apa malam ni?”
“Tidak kiralah. Apa-apa pun boleh.”
“Nasi sejuk tengah hari tadi, boleh?” (apa-apa pun boleh)

“Darling hendak hadiah apa untuk hari jadi tahun ini?” tanya si suami.
“Sesuatu yang di luar dugaan,” jawab si isteri.
“Batang pancing elektronik, boleh?” (di luar dugaan)

Jangan ributkan hidup kita. Belajarlah bercakap dari hati. Kalau ya, katakan ya. Kalau tidak, katakan tidak. Ucapkan apa yang ada di hati dan jangan bermain dengan kata-kata.


Gaya Mengesahkan
Salah satu kemahiran komunikasi yang sangat tinggi harganya ialah kemahiran mengucapkan kata-kata yang ingin didengar oleh orang yang mendengarnya. Apabila lelaki bercakap kepada isterinya, dia bukan mahu mendengar satu atau dua perkataan sahaja jawapan daripada mulut isteri. Dia mahu mendengar lebih daripada kata-kata itu. Dia mahu mendengar apa yang ada di sebalik kata-kata itu. Apabila suami bercakap, dalam kata-katanya, secara yang sangat halus, dia memberitahu isteri apa pandangannya terhadap diri si isteri. Dalam kata-katanya juga dia memberitahu apa yang dia mahu si isteri ucapkan kepadanya.

Melalui kata-kata, dengan secara halus dia memberitahu si isteri jawapan yang bagaimana yang dia ingin dengar dari mulut isterinya. Jadi sebelum isteri menyambut cakap suami, fikirkan dahulu apa keperluan jiwa suami yang tersirat di sebalik kata-katanya. Apabila lelaki bercakap kepada isterinya, jawapan yang paling dia mahu dengar daripada mulut isterinya ialah jawapan yang ‘mengesahkan’ apa yang diucapkannya. Jawapan yang mengesahkan ialah jawapan yang tidak mengatakan dia salah, silap, tidak betul, bodoh dan seumpamanya. Ada beberapa jenis jawapan yang mengesahkan:

Mengesahkan secara terus terang
Pengesahan jenis ini adalah paling penting dan paling digemari. Jawapan jenis ini dengan amat jelas memberitahu si suami isterinya nampak apa yang diperkatakannya itu sebagaimana dia sendiri nampak. Katakanlah kepada suami:

“Saya setuju dengan pendapat abang.”
“Saya sokong alasan dan hujah abang.”
“Saya pun sependapat dengan abang.”
“Saya dapat terima hujah abang.”
“Kalau begitu cadangan abang, saya terima.”
“Saya dapat rasakan apa yang abang alami itu.”
“Kalau saya dalam kedudukan abang, saya pun akan buat begitu juga.”

Mengucapkan perasaan positif
Jawapan jenis ini pun sangat digemari oleh suami dan ia sangat penting diucapkan oleh isteri kepada suami. Kata-kanlah kepadanya si isteri berasa suka, seronok, gembira, lega, lapang, syukur dan lain-lain perasaan positif apabila mendengar apa yang dikatakan oleh lelaki.

“Saya tumpang seronok dengan berita abang sudah berjaya.”
“Baguslah! Sekarang baru kita rasa puas.”
“Tahniah atas kejayaan abang itu.”
“Idea abang sangat istimewa. Saya belum pernah mendengarnya daripada orang lain.”
“Leganya hati saya apabila abang kata begitu.”
“Saya juga turut bangga dengan pencapaian abang.”

Jawapan jenis ini sangat memenuhi keperluan jiwa lelaki. Ia membuat mereka berasa diri mereka sungguh istimewa dan berbeza daripada orang lain. Ia amat memenuhi keperluan ego mereka.

Meminta penjelasan lanjut
Perbuatan meminta penjelasan lanjut dan keterangan yang lebih terperinci adalah sangat digemari oleh suami apabila mereka bercakap kepada isteri. Kalau kurang faham, minta penjelasan lanjut. Kalau memang isteri hendak mengambil hati suami, walaupun faham, mintalah juga penjelasan lanjut. Suami suka kerana itu bukti isterinya berminat dengan apa yang diperkatakannya.

“Cuba terangkan lagi apa maksud abang?”
“Boleh jelaskan apa maksud abang tu?”
“Kalau begitu, minta abang ceritakan lebih lanjut lagi.”
“Apa lagi faedah idea abang itu?”
“Berapa kosnya?”

Bersetuju dengannya
Kebanyakan isteri, apabila mereka bersetuju dengan pendapat suami, mereka diam sahaja. Perbuatan begitu tidak menyeronokkan hati suami. Jadi, katakan dengan jelas dia bersetuju dengan suami.

“Saya setuju dengan abang. Idea itu memang baik.”
“Saya sokong pendapat abang.”
“Betul kata abang tu.”
“Saya boleh terima pandangan abang.”

Tunjukkan sikap mendukung
Menyokong lain, mendukung lain. Menyokong bermakna kita berkata kita bersetuju dengan pendapat dan hujah-hujahnya. Mendukung bermakna kita katakan kepadanya kita dapat merasakan apa yang dia rasakan.

Ada kalanya lelaki mahu bercakap-cakap dengan isterinya bukan kerana dia ada idea atau ada pendapat atau cadangan yang hendak dikemukakan kepada isterinya. Sebaliknya dia cuma mencari ketenangan jiwa. Atau dia mungkin mencari seseorang yang dapat memberikan kepadanya timbang rasa ataupun pengertian bagi apa yang sedang dialaminya. Atau barangkali dia mencari semacam jaminan kejiwaan daripada isterinya. Mungkin juga dia cuma mencari hiburan dan sokongan sahaja. Walau apa pun keperluan jiwa yang sedang dicari oleh suami, isteri dapat memberikan itu semua dengan menggunakan kata-kata yang betul.

“Saya dapat rasakan beratnya beban yang abang terpaksa tanggung.”

“Saya faham kenapa abang ambil langkah itu.”

“Memang patut abang buat begitu.”

“Siapa pun kalau terkena macam abang, tentu saya buat apa yang abang buat.”

“Sekarang saya baru faham kedudukan abang dalam perkara ini.”

Isteri yang mahir menggunakan gaya bahasa yang mengesahkan akan dijadikan oleh suaminya sebagai tempat di mana dia dapat menemui pengertian, sokongan dan hiburan. Penggunaan gaya bahasa ini menghindari masalah kerenggangan batin antara suami isteri. Ia mempunyai peranan yang tidak ternilai besarnya ke arah mencapai nikmat dan kemesraan dan keintiman. Dengan mengguna-kan bahasa mendukung, isteri-isteri boleh membuat suami berasa:

1. Jiwanya berasa sihat, segar dan nyaman, seolah-olah baru hidup semula. Dia berasa dirinya diberi kepercayaan penuh oleh isteri.

2. Batinnya rasa tenang dan tenteram.

3. Dia berasa yakin kepada diri sendiri.

4. Dia berasa dia seorang yang istimewa.

5. Dia berasa selamat dan serba selesa menjadi dirinya sendiri.

6. Dia berasa seronok dan suka dengan kehadiran isterinya.

7. Dia berasa isteri yang dicintai memahami diri, fikiran dan perasaannya.

8. Dia berasa dunia ini terbentang luas untuk mereka berdua.

Percakapan yang menyeronokkan suami ialah percakapan yang membuat suami berasa seronok mendengarnya. Suami yang seronok akan melakukan perkara-perkara positif seperti memuji isteri, suka berada di rumah, mahu menolong isteri, tidak mudah marah-marah dan makin kasih kepada isteri.

 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024