Artikel

Konspirasi Kekayaan & 8 Peraturan Baru Wang

oleh Asri Yussof pada 22 Jan 2016

Bagaimana kita menyaksikan dunia pada masa akan datang?

Konspirasi adalah suatu teori yang membentuk sebuah hipotesis (penerangan atau spekulasi) dengan melibatkan dua orang (atau organisasi) atau lebih dengan cara berkomplot untuk merancang sesuatu secara sulit. Michael Barkun berpendapat, membaca konspirasi adalah sesuatu keimanan tanpa bukti.

Dalam banyak buku di Malaysia dengan judulnya yang mempunyai perkataan ‘konspirasi’ sering isinya berkisar tentang persoalan agama dan politik. Namun, dalam membincangkan soal duit dan kewangan, pernahkah kita membaca dalam bentuk atau genre tulisan konspirasi. Rich Dad’s Conspiracy of The Rich adalah buku tentang duit dan kewangan yang berani mencabar norma biasa dengan menggunakan perkataan ‘konspirasi’ pada judul bukunya. Artikel ini ditulis untuk kita merenung bersama apa yang cuba dikemukakan oleh Robert T. Kiyosaki adalah sesuatu yang penting.

Duit dan kewangan adalah sesuatu yang tidak boleh dipisahkan dengan politik pemerintahan dan politik kekuasaan. Ia adalah sesuatu alat yang asas untuk menggerakkan sesuatu keputusan untuk kepentingan orang ramai atau kepentingan peribadi. Penulis memulakan teori konspirasi ini dengan sejarah yang berlaku pada tahun 1971, yang mana Presiden Amerika Syarikat pada ketika itu dijawat oleh Richard Nixon telah mengeluarkan USD daripada piawaian emas dan mengubah peraturan wang tanpa persetujuan Kongres Amerika. Bukan sahaja Amerika, malah seluruh dunia mengikut perbuatan yang sama. Perkara ini membawa kepada krisis kewangan.

Bagi masyarakat awam seperti kita, yang sudah mengikuti pendidikan di sekolah dengan lompong tanpa diajar dengan pendidikan kewangan akan berkata, “Mudah sahaja, kita kembalikan semula piawaian mata wang sama dengan piawaian emas, selesai masalah.” Sebenarnnya, krisis ini tidak dapat diselesaikan kerana orang-orang dan organisasi yang bertanggungjawab mencipta krisis ini. Itulah hipotesis yang dijelaskan Robert dalam bukunya.

Robert T. Kiyosaki, sebagaimana beliau memeta bukunya dalam ruang lingkup Amerika, kita boleh contohkan daripada kempen presiden Amerika, calon presiden John McCain mengeluarkan kenyataan pada akhir tahun 2008, “Asas-asas ekonomi kita adalah kukuh” dan sewaktu beliau menyatakan hal itu, Indeks Saham Dow jatuh paling banyak, iaitu 504 mata pada hari itu. Jika kita letak bandingan dengan situasi di Malaysia mutakhir ini, bukankah sama? Banyak kenyataan serba seolah-olah cuba menyejukkan keadaan ekonomi sedangkan apa yang diperhatikan masyarakat adalah berbeza daripada kenyataan-kenyataan media yang memasuki ranking top 5 trending di twitter.

Lima bab pertama dalam buku ini, (1) Dapatkah Obama menyelamatkan dunia? (2) Konspirasi terhadap pendidikan kita, (3) Konspirasi terhadap wang kita: Bank tidak pernah kehabisan wang, (4) Konspirasi terhadap kekayaan kita, (5) Konspirasi terhadap kepintaran kewangan kita, penulis memberi fokus dengan hanya menyentuh perkara-perkara bersifat konspirasi yang bersangkutan dengan duit dan kewangan.

Paling penting, penulis tidak membincangkan keseluruhan tentang konspirasi sahaja dengan membiarkan pembaca dalam awan-awan yang tidak jelas penyelesaiannya. Dalam 7 bab terakhir, dari bab 6 ke 12, penulis memfokuskan penentangan (baca: penyelesaian) terhadap konspirasi-konspirasi yang dijelaskan beliau dalam 5 bab pertama iaitu melalui konklusi 8 peraturan baru wang: (1) Wang adalah ilmu pengetahuan, (2) Belajar bagaimana menggunakan hutang, (3) Belajar mengawal aliran tunai, (4) Bersedia untuk masa yang buruk dan kita akan hanya mengingati masa yang baik, (5) Keperluan pada kepantasan, (6) Belajar bahasa wang, (7) Hidup ini ibarat sebuah pasukan sukan dan (8) Belajar mencetak wang sendiri.

Konspirasi Terhadap Pendidikan Punca Segala Masalah

Pendidikan adalah asas kehidupan setiap masyarakat di dunia ini. Malah, bercakap dalam neraca pendidikan, kini ia sudah menjadi hak asasi setiap warga yang berhak dan wajib untuk setiap dari kita mendapatkannya. Seperti apa yang kita pelajari dari anak-anak dalam novel dan filem Laskar Pelangi, “Setiap Warga Negara berhak mendapat pendidikan” – Undang-undang dasar Negara (Indonesia) 1945, Pasal 1 - Ayat 1. Malangnya, pendidikan sudah tidak menjadi pendidikan seperti makna asal yang diinginkan oleh setiap warga. Dari sisi masyarakat, pendidikan mampu membuka sudut pandang dan ruang fikir, dari sisi kerajaan, pendidikan adalah suatu tanggungjawab yang harus direncanakan dengan bersistem, dari sisi pemodal, pendidikan dilihat sebagai upaya yang mampu menghasilkan duit berjuta. Kesudahannya kemana hala tuju untuk mencapai tingkat pendidikan yang baik? Petikan dari G. Edward Griffin dalam bukunya, The Creature from Jekyll Island (1994) sangat wajar untuk kita fikirkan;

Matlamat yayasan (General Education Board ataupun Lembaga Pendidikan Awam Amerika) adalah menggunakan kuasa wang, bukan bagi meningkatkan tahap pendidikan di Amerika, seperti yang dipercayai dengan meluas pada masa itu. Sebaliknya, bagi mempengaruhi hala tuju pendidikan itu. Objektifnya, menggunakan bilik darjah bagi mengajar sikap yang menggalakkan orang menjadi pasif dan tunduk patuh kepada pemimpin mereka. Matlamatnya, melahirkan warganegara yang cukup berpendidikan bagi menjalankan kerja-kerja produktif di bawah pengawasan, tetapi tidak cukup bagi menyoalpihak berkuasa ataupun berusaha meningkatkan diri melebihi tahap pada yang lain, adalah lebih baik menghasilkan pekerja yang berkemahiran tanpa sebarang aspirasi tertentu selain daripada menikmati hidup.

Malah, persoalan yang konsisten dari Robert T. Kiyosaki, Mengapa subjek wang tidak diajar di Sekolah? Robert mengemukakan jawapan ini;

Golongan elit yang membangunkan yayasan pendidikan dan sekolah telah mengatur kurikulum pendidikan bagi memenuhi keperluan mereka dan tidak semestinya keperluan pelajar itu. Hal ini penting pada hari ini kerana walaupun sikap ini sudah berusia lebih satu abad, ia masih lagi di sini. Ia adalah penggerak utama di belakang pendidikan kita, ia adalah pendorong utama di sebalik sekatan ke atas pendidikan kewangan. Malah pada hari ini, kita tidak perlu mengetahui hal berkenaan wang apabila kita ditakdirkan bagi menjadi orang suruhan dalam mesin wang orang lain ataupun pekerja dalam ladang orang lain.

Anas Alam Faizli dalam bukunya Rich Malaysia – Poor Malaysians (2014) telah membuat suatu rumusan yang berguna terhadap dunia pendidikan. Beliau yang juga memahami pendidikan dari kaca mata Faucault, Kant, dan Freire menulis;

Foucault, Kant and Freire viewed that education should not act as information-transferring to the masses. If this were the case, children would then be considered as educated or intelligent through how much information they could absorb.

Kemelut kita dalam mendapatkan hak pendidikan sebelum ini telah menjadikan siapa diri kita hari ini. Sehingga boleh dipersoalkan, adakah kita telah tertipu dengan terma-terma seperti, cukai, hutang, inflasi, dan persaraan? Bukankah hari ini kita sememangnnya bergelut dengan 4 perkara ini? Apabila wang dibenarkan cetak dengan banyak dan meningkatkan hutang negara, cukai, inflasi, dan persaraan akan naik. Kita sebenarnya telah dilemahkan dengan cukai, hutang, inflasi dan persaraan sehingga kita secara langsung telah memberi peluang kepada kerajaan untuk menyatukan dan memperkukuhkan kuasa.

Robert menyebut, apabila rakyat mengalami kesulitan kewangan, mereka lebih bersedia membiarkan kerajaan menyelamatkan mereka, tanpa disedari menukar kebebasan peribadi mereka dengan jaminan kewangan. Ini terbukti, konspirasi yang berlaku dalam pendidikan adalah punca segala masalah. Barangkali masalah boleh diselesaikan dengan memasukkan pendidikan kewangan ke dalam pembelajaran di sekolah dan berharap serta menunggu agar anak-anak yang lahir dari sistem itu nanti mampu untuk melakar pelangi yang lebih indah. Selain itu juga, pendidikan perlu mempunyai rumus baru untuk fahaman generasi kini agar mampu melakar masa hadapan dengan harapan dapat mengurangkan masalah kewangan.

8 Peraturan Baru Wang: Konklusi Penyelesaian Masalah

Di sini, kita boleh untuk bersama dengan 8 peraturan yang digariskan Robert ini sebagai konklusi mudah dalam menyelesaikan masalah kewangan. Pertama, wang adalah ilmu pengetahuan. Ini bukanlah bermaksud wang adalah segala-galanya untuk mencapai ilmu pengetahuan, tetapi wang itu sendiri adalah ilmu pengetahuan. Mempelajari pendidikan kewangan dengan baik membawa kepada pengurusan wang pada masa akan datang menjadi baik. Kita sudah tahu apa yang perlu dilakukan. Hari ini, masalah timbul adalah kerana kita tidak mengetahuinya (pendidikan kewangan) yang sesungguhnya kita disekat daripada mengetahuinya.

Kedua, belajar bagaimana menggunakan hutang. Robert memberitahu;

Hutang bukan sesuatu yang tidak baik. Penyalahgunaan hutang adalah tidak baik. Hutang dapat membuatkan kita kaya dan hutang dapat membuat kita miskin. Sekiranya kita mahu berjaya dari segi kewangan, kita perlu belajar bagaimana menggunakan hutang, bukan menyalahkan hutang.

Ketiga, belajar mengawal aliran tunai. Kita perlu belajar bagaimana mengalirkan semakin banyak wang ke dalam poket kita.

Keempat, bersedia untuk masa yang buruk dan kita akan hanya mengingati masa yang baik. Pada peringkat ini kita menjadi tuan kepada emosi, tingkah laku dan membuat keputusan. Berusaha sedaya mampu untuk terus kekal berada dalam keadaan baik dan selesa dalam masa yang buruk dan menjadi semakin baik dalam masa yang baik.

Kelima, keperluan pada kepantasan. Peraturan kelima ini bersifat tindakan dan mempelajari pengurusan perkara baru. Mereka yang lemah dan bergerak perlahan akan ketinggalan di belakang. Membuat wang bukan pada setiap bulan, tetapi setiap saat.

Keenam, belajar bahasa wang. Bahasa wang bukanlah bahasa yang digunakan dalam ilmu matematik. Matematik bukan ilmu kewangan, ia adalah ilmu mengira wang. Setiap cabang ilmu mempunyai bahasanya yang kita sendiri perlu faham untuk kuasainya. 90 peratus daripada orang ramai yang bergelut dalam masalah kewangan adalah kerana mereka tidak pernah diajar bahasa wang.

Ketujuh, hidup ini ibarat sebuah pasukan sukan, pilih ahli pasukan kita dengan teliti. Pasukan adalah bumbung, ahli adalah tiang. Membina bumbung yang utuh bermula dengan membina tiang yang kukuh. Bermula dengan mengumpulkan orang-orang pakar untuk memulakan rumus serta dengan tindakan yang cekap.

Kelapan, oleh sebab wang menjadi semakin tidak bernilai, kita perlu belajar mencetak wang sendiri. Jika sekolah tidak menawarkan pendidikan kewangan, kita mempunyai hak untuk ke tempat yang menawarkan pendidikan kewangan, walaupun di situ tidak dinamakan sekolah.

Ada apa pada nama? Bukankah tempat-tempat yang memberi ilmu adalah sebuah sekolah pada makna pengertian, walaupun pada kaca mata sistem, ia tidak dinamakan sekolah. Begitulah bagaimana mencetak wang sendiri. Sebenarnya, peraturan-peraturan ini adalah apa dan bagaimana pendidikan kewangan yang kita perlukan.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024