Artikel

Pengembara Di Bumi Bersejarah: I’m A Backpacker Europe

oleh Khairul Aswad Khairul Anuar pada 21 Jan 2016

Majoriti rakyat Malaysia pasti ada pasang angan-angan untuk ke bumi Eropah. Siapa yang tak mahu melawat negara yang penuh dengan pemandangan yang menyejukkan mata memandang, monumen dan bangunan-bangunan bersejarah, Eiffel Tower di kota Paris yang dikatakan bandar cinta, acah-acah bercakap dengan penduduk di sana dengan loghat pekat UK dan lain-lain.

Bagaimana pula kalau anda boleh melawat 12 bandar besar Eropah dengan bajet kurang daripada RM6000? Itu semua mungkin angan-angan satu masa dulu, dan tak mustahil ia akan menjadi kenyataan sekarang.

Mengikut jejak langkah buku Im A Backpacker Korea yang dahulunya diterbitkan, kini Puteh Press berjaya melahirkan satu lagi buku baru yang bakal digunakan oleh ramai pembaca yang ingin ke melancong atau backpacking ke negara-negara di benua Eropah.

Buku ini ditulis oleh saudara Khairul Abdullah yang telah mengembara di seluruh Eropah dan juga negara Asia yang lain. Pengalaman beliau telah dibukukan untuk dijadikan sumber rujukan kepada pembaca yang juga menanam azam dan minat yang sama.

Di awal bab, penulis menceritakan serba sedikit mengenai benua Eropah. Musim, keadaan cuaca, bahasa dan budaya serta acara-acara besar yang terkenal di sana juga diselitkan di dalam bab awal ini.

Membacanya saja sudah berjaya membuatkan kita berangan-angan seolah-olah kita berada di sana. Seterusnya, penulis berkongsi tips mengenai perancangan awal.

Sebelum ke sana, kita harus menyenaraikan tempat-tempat yang ingin kita kunjungi, kenal pasti laluan dan jenis pengangkutan, bilangan hari yang diperlukan dan tips-tips lain.

Penulis juga turut berkongsi pelbagai jenis tips yang dikira serba lengkap untuk menempah tiket kapal terbang, hotel, kereta sewa, kereta api dan pelbagai pengangkutan lain.

Selain itu, penulis juga turut mengingatkan para pembaca untuk siap sedia dengan pelbagai dokumen dan barangan penting untuk kita ke sana.

Antaranya adalah pasport, insuran, bekalan makanan, kewangan dan persediaan mental serta fizikal. Bukan boleh main redah saja.

Penulis percaya, persediaan yang serba lengkap akan memudahkan proses pengembaraan kelak.

Antara tips menarik adalah bagaimana penulis mencadangkan pembaca untuk mengatasi jetlag kerana masa yang diambil untuk ke Eropah adalah lama dan memenatkan walaupun kita hanya duduk berdiam diri di dalam kapal terbang.

Penulis juga menitik beratkan keselamatan pembaca sewaktu mengembara ke sana kerana terdapat pelbagai jenis taktik yang digunakan oleh penyeluk saku untuk mencuri wang anda.

Buku ini boleh dianggap sebagai satu buku panduan persediaan yang penting sebelum ke satu-satu negara. Ia seperti serampang dua mata kerana hampir semua tips yang dikongsi dalam buku ini boleh diguna pakai untuk ke negara lain juga.

Jujurnya, anda tak akan rugi membeli buku ini kerana banyak maklumat dan info yang boleh anda perolehi. Jadi, apa lagi? Jangan sekadar berangan, jomlah kita ke Eropah!

 

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024