Korupsi, Bencana Abad Ini: Apa Yang Boleh Dipelajari daripada Robert T. Kiyosaki

oleh Asri Yussof pada 20 Nov 2015

Korupsi yang menjadi bencana ke atas kita.

Dalam kita membincangkan mengenai pengurusan ekonomi negara kita, Malaysia pada 5 hingga 10 tahun mendatang yang boleh kita saksikan dalam pelbagai aspek, fokus pertama yang tidak boleh kita lari daripada dibincangkan adalah mengenai apa yang berlaku sekarang dalam pengurusan kewangan negara kita dan mana-mana negara lain yang boleh mempengaruhi negara kita.

Masalah yang dihadapi oleh Malaysia hari ini dan seperti seluruh dunia lainnya adalah korupsi. Paling teruk lagi negara yang dipimpin dari pemerintahan yang korup.

Robert T. Kiyosaki, usahawan dan penulis buku kewangan popular dari Amerika Syarikat memberitahu kita, korupsi adalah masalah sedunia.

Bukan semata-mata negara Malaysia yang mempunyai bencana korupsi. Hasil tangan-tangan korupsi ini yang menyebabkan kehidupan hari ini tidak menjadi seimbang.

Yang kaya semakin kaya dan kita masih menonton berjuta orang miskin.

Pasaran dunia yang kejam kepada kita, akan membuat kita terfikir bagaimanakah cara untuk menambah nilai wang dalam kehidupan ini.

Setiap hari pasti kita terfikirkan bagaimana cara untuk membuat duit agar ia sentiasa lebih dan tidak akan sedikit pun berkurangan dan rugi.

Apa yang kita fikirkan adalah untuk melabur dek kerana terpengaruh dengan kejayaan orang lain yang mampu mempunyai hidup yang lebih baik hasil daripada pelaburan.

Hati-hati, ukur baju di badan sendiri. Kata Robert, jika kita melabur untuk pertumbuhan dengan harapan ianya akan membuat lebih banyak wang, pasti kita akan kecewa suatu hari nanti.

Tetapi dari kekecewaan itu masih ada jalan lain yang boleh kita pandu. Contohnya, kita masih lagi mampu untuk melabur untuk kemalangan.

Robert yakin melalui pelaburan ini ianya mampu membuat banyak wang. Bercakap mengenai pasaran, Robert susah untuk meramalkannya, katanya pasaran dunia dalam masa sekarang sedikit terganggu dan menurun.

 

Why A Students Work For C Students: Berhenti sekolah/ universiti?

 

Robert menulis buku ini disebabkan beliau memerhatikan sistem kewangan di dunia ini semakin jatuh. Jika kita ke sekolah/ universiti, tiada guru yang mampu menawarkan pendidikan kewangan yang bagus dan berjaya membantu pelajar keluar daripada masalah itu. Ia tetap berlaku seperti pusingan jam.

Tetapi jika anda melihat orang-orang kaya di dunia, mereka semua berhenti sekolah. Seperti Bill Gates yang digugurkan dari sekolah.

Mereka ini tidak ingin menjadi pelajar yang belajar di dalam sistem, tetapi mereka mahu merubah dunia. Mereka ingin menawarkan pekerjaan, yang sering kita lihat mahasiswa selepas graduan adalah orang yang sibuk meminta pekerjaan.

Tetapi mereka ini (Orang-orang seperti Bill Gates) kita saksikan bahawa ‘siswa’ mampu menciptakan lapangan kerja sehingga pendidikan keatas menakluk dunia (perniagaan) adalah lebih penting baginya dari yang sebelumnya (belajar di dalam sistem di sekolah/ universiti), tetapi sistem pendidikan kita adalah berada di paras bawah.

Robert bukanlah menggalakkan berhenti dari sekolah/ universiti, tetapi beliau hanya mengatakan kita menjaga ‘panggilan’ pendidikan (pendidikan langsung yang datang ke arah kita).

 

Second Chance


Tentu saja, orang seperti kita akan mencari peluang kedua selepas kita tersedar dari lamunan bahawa dunia ini semakin hari semakin mencengkam diri kita.

Pasti yang dicari-cari adalah mengenai pendidikan kewangan. Salah seorang yang kita boleh rujuk ialah Robert.

Ikutilah tulisan-tulisan Robert, dari bukunya Rich Dad Poor Dad sehinggalah Why A Students Work for C Students dan lain-lain bukunya akan kita beroleh sesuatu yang bermanfaat dan berguna untuk membuat tindakan selanjutkan bagi meningkatkan nilai wang kita.

Robert, ketika menulis buku beliau yang antara terawal Rich Dad Poor Dad, ianya ditulis untuk memaparkan bagaimana kitaran sistem kewangan seluruh dunia dan hari ini ia menjadi sistem yang rosak (korup).

Buku terbarunya Second Chance adalah sinaran bagi kita, dalam buku ini beliau menulis bagaimana korupsi berlaku dan mengapa ia terjadi dan kesannya kepada dunia hari ini.

Buku yang memuatkan banyak gambar, ilustrasi, graf dan gambar rajah supaya pembaca mampu digambarkan keadaan sebenar sistem kewangan negara dan dunia hari ini, yang penting juga kita boleh menyaksikan bagaimana keadaan korupsi di Amerika Syarikat.

Ada beberapa kes yang berlaku di Amerika Syarikat, iaitu kes mencetak wang untuk menyelamatkan orang-orang kaya yang dipanggil ‘kleptokrasi’.

Kleptokrasi juga dikenali dengan nama ‘Kapitalisme Kroni’, kes ini akan menyebabkan nilai mata wang US dollar jatuh.

Ini adalah salah satu contoh rasuah dan korupsi yang berlaku di kerajaan Amerika. Hutang negara Amerika semakin meningkat kerana sentiasa perbuatan mencetak wang dan mencuri wang secara haram.

Bush, Obama dan Clinton, (Robert menyebut satu-satu nama ini didalam temu bualnya bersama PTS) semua mereka hanya menjatuhkan kita. “Masalah anda di sini (Malaysia) kecil jika hendak dibandingkan dengan perbuatan Amerika ini.”

Mendengar Robert berkata begitu, mungkin hati kita tidak terlalu gusar. Tetapi apabila difikirkan berkali-kali, tidak mustahil masalah kecil jika dibiarkan bertakung akan besar dan berkelodak juga.

Banyak statistik melalui graf, rajah yang dimuatkan bersama di dalam buku Second Chance ini.

Kita boleh melihat gambar rajah dan membacanya dengan mudah kemudian kita boleh duduk bersama keluarga dan menunjukkan gambar rajah yang mudah itu bersama dan lakukan sedikit perbincangan.

Kerana barangkali dalam keluarga kita, hanya kita yang membeli buku tersebut untuk mendapatkan ilmu pendidikan kewangan yang tidak diajarkan di sekolah dan universiti.

 

Berjimat atau Menyimpan?

 

Mengapa anda akan menjimatkan wang dalam persekitaran ini? Itulah persoalan yang dilemparkan oleh Robert kepada kita untuk difikirkan bersama.

Setelah beliau bercerita bagaimana keadaan ekonomi dunia dan negara kita yang penuh masalah, apakah masih lagi kita terfikirkan untuk menjimatkan wang?

Contohnya, sebulan gaji kita RM 1000, maka kita perlu merancang jadual penjimatan agar duit tersebut tidak cepat habis digunakan sebelum sampai bulan yang akan datang.

Sebenarnnya, kata Robert, kita perlu menyimpan wang dari sekarang dan melakukan sesuatu yang berbeza. Jenis penyimpanan dan ‘melakukan sesuatu yang berbeza’ itu terletak pada tafsiran kita dengan melihat kemampuan yang ada pada kita.

Adakah kita tidak mampu mentafsirkan tindakan untuk menguruskan kewangan kita? Boleh, kita mampu melalui pembacaan buku-buku yang ditulis oleh Robert.

Beliau menulis buku-buku adalah untuk memberikan kita idea-idea yang bernas untuk kita bertindak.

Tetapi janganlah selepas kita membaca, tiba-tiba bersemangat untuk menjadi kaya sehingga menghabiskan masa bertahun-tahun untuk memulakan dan menghabiskan pengajian di universiti, menjimatkan wang dan melabur saham dalam jangka masa yang panjang, jika kita buat dalam masa dan waktu ini (keadaan ekonomi dunia yang tidak menentu ini) ia adalah perkara yang paling bodoh.

Itulah pesan Robert yang paling sentap.