Artikel

Kuala Lumpur Dipilih Sebagai Tuan Rumah Kongres Penerbit Antarabangsa ke-35 pada 2026

oleh Nor Fadhilah Fauzan pada 06 Dec 2024


Guadalajara, Mexico - Kongres Penerbit Antarabangsa ke-34 yang berlangsung dari 3 hingga 5 Disember 2024 melabuhkan tirai dengan dua pengumuman penting: Deklarasi Guadalajara yang memacu komitmen penerbit global untuk masa depan industri, dan pengumuman Kuala Lumpur, sebagai tuan rumah Kongres ke-35 pada tahun 2026.

Acara ini menyaksikan kehadiran pemimpin penerbitan dari seluruh dunia, yang membincangkan isu-isu penting seperti hak cipta, kebebasan menerbit, teknologi, dan kelestarian. Deklarasi Guadalajara yang diumumkan pada akhir kongres ini menekankan enam komitmen utama penerbit antarabangsa:

  1. Memperkukuh Hak Cipta: Penerbit komited melindungi hak cipta sebagai asas kepada ekosistem pengetahuan dan budaya.

  2. Memperjuangkan Kebebasan Menerbit: Kebebasan menerbit diiktiraf sebagai teras demokrasi dan pertukaran budaya.

  3. Penggunaan Teknologi Secara Bertanggungjawab: Penerbit menekankan kepentingan AI yang telus dan bertanggungjawab.

  4. Kelestarian: Fokus terhadap Matlamat Pembangunan Mampan 2030 untuk menyokong kelestarian global.

  5. Kerjasama Antarabangsa: Meningkatkan daya tahan dan ketangkasan industri, terutamanya di wilayah yang kurang mendapat perhatian.

  6. Tindakan Bersepadu: Penerbit berikrar memantau pasaran dan melaporkan kemajuan berkaitan isu-isu kritikal ini.

Presiden CANIEM, Hugo Setzer, ketika berada dalam kongres juga berkata, “Sungguh luar biasa membawa kongres ini kembali ke Mexico selepas 40 tahun. Perbincangan sepanjang kongres ini begitu kaya dengan idea dan menunjukkan nilai acara seperti ini dalam membentuk masa depan penerbitan.”

Tuan Sheikh Faisal Sheikh Mansor, Presiden Persatuan Penerbit Buku Malaysia (MABOPA), turut memberi ucapan penghargaan kepada penganjur di Mexico sebagai penggalas tanggungjawab besar untuk Kongres Penerbit Antarabangsa ke-35 pada 2026. “Sesi-sesi di Guadalajara sangat menarik. Bagi pihak kami, saya dengan rendah hati menjemput komuniti penerbitan dunia untuk berhimpun di Kuala Lumpur pada 2026, tahun di mana Malaysia menyambut Tahun Melawat Malaysia,” katanya.

Selain perbincangan panel, kongres ini turut menganugerahkan IPA Prix Voltaire 2024 kepada Samir Mansour Bookshop for Printing and Publishing atas sumbangannya kepada komuniti Gaza, serta Anugerah Khas kepada Victoria Amelina atas usahanya mendokumentasikan jenayah perang di Ukraine.

Dengan semangat kerjasama dan komitmen untuk melindungi hak cipta, kebebasan menerbit, dan kelestarian global, pengumuman Kuala Lumpur sebagai tuan rumah Kongres Penerbit Antarabangsa ke-35 menandakan langkah penting ke hadapan bagi industri penerbitan global. Malaysia bersedia menerima kunjungan dunia untuk kongres ini pada 2026, seiring dengan usaha memacu kemajuan industri penerbitan.


Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025