Artikel
Latar Belakang Penderaan Kanak-Kanak
oleh Helmi pada 08 Sep 2004
Bentuk Penderaan
Penderaan Fizikal
Penderaan fizikal adalah suatu fenomena sosial yang didefinisikan sebagai keganasan secara fizikal, tindakan ini boleh menyebabkan kecederaan otak, lebam yang teruk, kecacatan anggota tubuh, retak, patah tulang, lecur atau terbakar, dicucuh dengan puntung rokok dan sebagainya. Bahkan penderaan ini boleh membawa maut kepada dua kumpulan kanak-kanak iaitu cacat sejak dilahirkan dan juga kanak-kanak cacat akibat daripada penderaan tersebut. Salah satu contoh kes penderaan fizikal terhadap kanak-kanak dilaporkan seperti berikut:
Kes 1:
Ibu saya masih dalam pantang, ayah seorang penagih dadah dah lapan kali keluar masuk penjara. Keluarga saya tinggal di sebuah bilik kecil (8 kali 6 kaki). Saya (12 tahun) terpaksa menyara ibu dan adik saya yang berumur 7 tahun dan 4 tahun. Sejak umur saya 10 tahun, saya bekerja di pasar malam sebagai pencucuk sate. Wang gaji saya digunakan untuk perbelanjaan rumah, sewa rumah dan kadang kala ayah memintanya untuk membeli dadah. Jika tidak diberi, saya dan adik dipukul, ibu juga dipukul kerana melindungi saya dan adik daripada dipukul ayah. Pada suatu tengah hari, ketika saya sedang bermain, ayah tiba-tiba menjadi bengis apabila ibu berbincang mengenai pekerjaan saya dengan ayah. Saya diheret dari tempat permainan dan dipukul dengan tali pinggang dan ditumbuk dengan batu lesung. Kali ini saya tidak dapat melarikan diri, apabila ayah marah. Ibu bawa saya ke balai polis dan melaporkannya. Pihak polis pula telah bawa saya ke hospital ini.
Menurut Shuaime bapanya hanya memberi wang perbelanjaan rumah sebanyak RM 250 sebulan. Akan tetapi bapa kerap meminta duit daripada ibu mangsa. Bapa mangsa adalah seorang penagih dadah sejak tahun 1977. Bapa mangsa sudah keluar-masuk penjara sebanyak 8 kali. Tabiat penagihan bapa mangsa dera ini menyebabkan mereka sekeluarga hidup dalam kesusahan dan selalu berpindah-randah. Menurut ibu mangsa pula, ia tidak pernah berfikir untuk berpisah dengan bapa mangsa kerana menghormati dan berpegang teguh kepada nilai dan kepercayaan adat resam. Saudara-mara sebelah ibu dan bapa tidak mempedulikan keluarganya kerana mereka menyalahkan ibu yang enggan berpisah dengan bapa mangsa. Perhubungan di antara keluarga mangsa adalah tidak harmoni dan adik-beradik mangsa mempunyai perasaan benci dan takut kepada bapa mereka.
Penilaian pengkaji mendapati mangsa adalah seorang kanak-kanak yang rajin, baik dan mengambil berat ke atas ibu dan adik-adiknya. Mangsa dera sudah bekerja sejak umur 10 tahun bagi menanggung nafkah keluarganya.
Kes penderaan semakin kompleks dan rumit untuk didakwa, jika mangsa atau keluarga mereka tidak bekerjasama, misalnya kes penderaan fizikal seperti berikut:
Kes 2:
Bapa saudara saya tinggal di Selama, Perak yang memukul saya. Kadang-kadang sepupu saya yang tinggal di rumah kami juga memukul saya kerana tidak mengikut arahannya pada setiap kali ia hendak hisap dadah. Tapi semua luka-luka di badan saya ini adalah akibat dipukul oleh bapa saudara saya yang berada di Selama.
Pengendalian terhadap kes ini agak rumit kerana mangsa tidak memberi keterangan dengan tepat dan jelas. Mengikut latar belakang kehidupan mangsa penderaan didapati bahawa, sejak usia satu hingga lima tahun, ia dan tiga orang adik-beradik tinggal bersama bapa saudaranya di Selama, Perak. Selama tinggal bersama bapa saudara mangsa dan adik-beradiknya didera. Pengkaji mendapati hampir keseluruhan badan mangsa mempunyai bekas luka dipukul. Mangsa dan adik-beradiknya tinggal bersama bapa saudara kerana ibu bapa mangsa dipenjarakan. Bapa mangsa adalah seorang pemabuk dan dikatakan sudah dipenjarakan sebanyak dua kali kerana kes merompak. Manakala ibu mangsa pula dipenjarakan selama 4 tahun kerana didapati bersalah di atas kes dera adik ipar (adik kepada suami yang berumur 13 tahun). Di mana ibu mangsa mencurahkan air panas mendidih ke atas badan adik iparnya.
Sejak mangsa dera diambil semula di bawah penjagaan ibu bapa selepas mereka keluar dari penjara, keluarga mangsa tidak mempunyai hubungan dengan bapa saudara kerana terdapat perselisihan faham. Sekarang keluarga mangsa tinggal di Seri Kembangan, Serdang di mana keadaan rumah yang kecil dan sempit untuk 12 orang ahli keluarga termasuk sepupu dan bapa saudara mangsa. Sepupu dan bapa saudara mangsa didapati menghilangkan diri sejak mangsa dimasukkan ke hospital kerana disyaki didera. Aduan ini diterima oleh Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat melalui teledera. Alasan bapa memukul kerana untuk mendisiplinkan mangsa. Ini kerana mangsa adalah seorang kanak-kanak yang suka mencuri, kaki rayau, mengganggu jiran dan sebagainya. Sebaliknya mangsa pula, bersikap melindungi terhadap keterangan yang diberikan mengenai bapanya daripada dituduh sebagai pendera.
Pengkaji mendapati mangsa kerap menyebut bapa saudaranya yang mendera. Penilaian terhadap ibu bapa mangsa didapati kurang bertanggungjawab kerana Punatharan sudah berusia 7 tahun, tetapi belum pergi ke sekolah kerana tidak mempunyai surat beranak. Pengkaji mendapati ibu bapa mangsa kurang memberi perhatian terhadap kebersihan rumah dan cara penjagaan kanak-kanak. Misalnya apabila pengkaji dan pegawai kebajikan perubatan membuat lawatan ke rumah mangsa sekitar pukul 11.00 pagi, ibu bapa mangsa masih tidur dan adik mangsa dera yang berusia 2 dan 1 tahun kelihatan tidak terurus dan berkeliaran di dalam rumah.
Selepas seminggu tinggal di wad didapati mangsa adalah seorang kanak-kanak yang nakal, lincah, aktif, degil dan sukar dikawal. Pengkaji tidak mendapat keterangan yang jelas daripada mangsa atau bapa kerana mereka dalam keadaan ketakutan dan keraguan. Oleh itu kes penderaan fizikal ini kompleks dan rumit untuk didakwa kerana melibatkan ramai anggota keluarga dan kanak-kanak tersebut juga didera dan diabaikan sejak ia dilahirkan. Daripada data yang diperoleh mendapati bentuk penderaan fizikal di kalangan kanak-kanak saling terkait di antara rentetan faktor-faktor penderaan kanak-kanak.
Penderaan Seksual
Penderaan seksual merujuk kepada segala bentuk aktiviti seksual yang mempunyai tujuan memenuhi tuntutan nafsu seks orang dewasa. Ianya melibatkan kanak-kanak mengeksploitasi bahagian sulit kanak-kanak, dicabul kehormatan, dirogol dan dipaksa melacur. Bagi mendapatkan gambaran yang lebih jelas mengenai penderaan seksual, beberapa catatan kes kajian dipapar seperti berikut:
Kes 3 : Sumbang Muhrim
Pada suatu tengah hari, bapa memanggil saya (8 tahun) masuk ke rumah ketika saya sedang bermain dengan abang dan kawan-kawan di luar rumah. Di ruang tamu, di atas kusyen bapa melakukannya. Saya merasa sakit setiap kali bapa melakukannya. Sebelum bapa melakukannya, ia akan membaca sesuatu supaya kami tidak melawan. Kakak telah bawa saya ke hospital setelah ibu mengadu kepadanya. Kakak sangat memahami masalah ini kerana dia pun pernah mengalami penderitaan ini.
(Eliyana, 8 tahun)
Berbagai-bagai cara digunakan oleh orang dewasa (sedarah) untuk mendera kanak-kanak. Insiden kes 3 paling menyedihkan di mana bapa kepada kanak-kanak ini mendera 3 orang kakaknya secara seksual sejak 13 tahun dahulu. Bapa bekerja sebagai pegawai keselamatan dan ibu pula sebagai pekerja am di sebuah kilang berhampiran kampung Sungai Kayu Ara, Petaling Jaya. Kes ini dikemukakan kepada pihak pengadilan selepas ibu mendapati bapa ingin berkahwin dengan seorang wanita dari Kelantan dan mensyaki hubungan yang intim antara anak dan bapa. Sebelum ini ibu tidak tahu anak-anak sudah didera secara seksual oleh suaminya. Selepas kes ini dibicarakan di mahkamah bapa kanak-kanak ini didapati bersalah, dihukum penjara 7 tahun dan sekali disebat.
Satu lagi kes penderaan seksual dilakukan secara spontan di mana pakcik (adik bapa mangsa yang sudah berkahwin dan mempunyai 4 orang anak) mencucuk batang ais krim ke faraj mangsa dan kemudian, memasukkan kemaluannya ke dalam faraj kanak-kanak tersebut yang berumur 4 tahun. Kanak-kanak ini dapat menggambarkan peristiwa tersebut dengan jelas dan menceritakannya dengan menggunakan sebuah anak patung, sewaktu temu ramah dijalankan. Ibu mangsa adalah warga India berbangsa Punjabi yang menghadapi masalah rumah tangga di mana bapa mertua sering menggoda dan mendedahkan kemaluannya. Apabila kejadian ini diberitahu kepada suami, ia tidak mempercayai ibu mangsa. Oleh kerana itu, ibu mangsa memberitahu pihak kuil dan saudara mara, akibatnya bapa mertua diberi amaran oleh pihak kuil. Selepas kejadian ini ibu mangsa diceraikan dan tinggal bersama saudaranya. Keluarga pihak suami pula berasa malu dan adik iparnya pula membalas dendam dengan mendera anaknya secara seksual. Ketetapan mahkamah dalam kes ini adalah adik ipar didapati tidak siuman dan dihantar ke Hospital Tanjong Rambutan. Pelaku juga harus menjalani rawatan psikoterapi di hospital tersebut.
Selain daripada kes penderaan seksual terhadap kanak-kanak perempuan, kanak-kanak lelaki juga tidak terlepas daripada penderaan ini. Antara salah satu kes penderaan seksual secara sodomi atau liwat dilaporkan seperti berikut:
Kes 5 : Liwat
Pada suatu pagi jam 11.00 pagi ibu menyuruh saya pergi membayar bil elektrik. Dalam perjalanan dengan basikal, saya dipanggil seorang (dipercayai orang Bangladesh) yang tidak dikenali. Sambil menanyakan sesuatu, dia mengajak saya ke taman permainan yang berdekatan, kemudian orang itu meminta saya untuk masuk ke dalam kolong simen. Saya diminta menanggalkan seluar. Orang itu meludah dan memasukkan kemaluannya dalam punggung saya. Saya pun menangis kerana rasa sakit orang itu menyuruh saya balik dan datang lagi besok. Saya menurut sahaja apa-apa yang disuruh oleh orang itu. Tetapi sampai di rumah saya menceritakan kejadian ini kepada ibu saya, ibu pula menelefon bapa dan mereka bawa saya ke hospital.
(Azizi, 10 tahun)
Kenapa kanak-kanak perempuan menjadi mangsa? Terdapat dua ciri utama yang mempengaruhi kanak-kanak mudah terdedah kepada bahaya ini. Pertama, berlakunya sumbang muhrim di dalam keluarga, seperti hubungan intim di antara bapa, abang atau pakcik. Kedua, kanak-kanak tersebut cacat daripada segi fizikal atau emosional yang menyebabkan mereka sukar mengelakkan diri daripada didera secara seksual (de Young, 1982). Menurut Finkelhor (1979:23), faktor-faktor lain yang perlu diberi perhatian mengenai penderaan seksual adalah umur pelaku, bentuk perlakuan atau kejadian, sama ada mangsa mengizinkan perlakuan tersebut, umur mangsa, jantina dan hubungan mangsa dengan pelaku akibat perlakuan atau kejadian terhadap kanak-kanak tersebut.
Penderaan Emosional
Hasil kajian mendapati terdapat satu kes penderaan emosional. Kes ini kerana faktor norma budaya, di mana kanak-kanak ini dilahirkan dalam sebuah keluarga Cina yang masih mempercayai anak perempuan itu sial. Bentuk penderaan emosional dapat digambarkan daripada contoh kes ini dengan lebih jelas lagi.
Kes 4:
Saya mempunyai tiga orang adik beradik. Dua perempuan dan adik bongsu lelaki. Saya adalah anak kedua, yang dianggap membawa sial sejak dilahirkan. Bapa saya sering bertengkar dengan ibu kerana saya. Saya pernah baling pisau ke kaki bapa sehingga luka kerana bapa sering berleter dan ibu pula suka memukul kerana katanya saya cerewet makan. Saya pernah melarikan diri sebanyak dua kali dari rumah kerana tidak tahan didera (emosional dan fizikal). Saya terpaksa tinggal di rumah datuk dan nenek, jika bapa dan ibu sedang marah. Di rumah, saya terpaksa membantu bapa berniaga ikan di pasar. Saya akan tidur di lori dari pukul 4.00 hingga 9.00 pagi dan membantu menjual ikan hingga pukul 11.00 pagi. Kemudian saya akan pergi sekolah. Pulang dari sekolah saya terpaksa membantu kerja rumah seperti menjaga adik yang masih kecil, mencuci baju semua orang dan membantu ibu memasak. Sebaliknya kakak saya tidak pernah disuruh membantu kerja rumah atau menjual ikan di pasar. Jiran saya telah membawa saya ke hospital setelah dibelasah teruk oleh bapa dan ibu.
(Wei Lee, 12 tahun)
Daripada kes ini didapati ibu bapa kepada kanak-kanak ini sudah mengabaikannya sejak dilahirkan. Ini menunjukkan kanak-kanak ini sudah terganggu secara emosional dan tidak diberikan rawatan yang sempurna seperti yang digariskan dalam 10 prinsip Hak Kanak-kanak oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat.
Penderaan emosional amat sukar dikenal pasti kerana setiap penderaan mempunyai hubung kait. Pendapat Skuse (1993:28), ada kebenarannya di mana penderaan emosional ini dapat dilihat secara bertahap. Kes ini direkodkan dari tahun 1984 (sejak umur mangsa 2 tahun) sehingga 1994. Jelas menunjukkan perkembangan kanak-kanak daripada contoh kes 4 ini mendapati sering ponteng sekolah, tidak minat terhadap pelajaran, suka mencuri, berbohong, kelihatan murung, sering mengasingkan diri dan melarikan diri sebanyak dua kali dari rumah.
Jika dikaji daripada rekod perubatan, kesemua tingkah laku yang dihuraikan di atas berlaku secara bertahap mengikut perkembangan umur kanak-kanak tersebut. Apabila dikaji bentuk-bentuk penderaan seperti yang dihuraikan di atas mendapati ianya berlaku disebabkan oleh beberapa faktor. Antara yang dikenal pasti adalah faktor personaliti, latar belakang budaya, hubungan perkahwinan ibu bapa atau pelaku penderaan, umur dan jantina kanak-kanak tersebut.