Artikel
Lawatan Ke PTS Dedahkan Pelajar dalam Bidang Keusahawanan
oleh Roziyah pada 22 Sep 2010
Lawatan pelajar dalam bidang perniagaan dari Kolej Profesional MARA Bandar Melaka diharapkan mampu memberi peluang mereka melihat dunia keusahawanan yang sebenarnya.
Menurut Puan Nor, Zarmila Azura Abdul Hamid, pensyarah di kolej berkenaan, lawatan seperti ini mampu menjadi landasan berguna kepada pelajar bagi mendidik mereka terhadap dunia keusahawanan terutamanya perniagaan bumiputera.
Seramai 48 orang pelajar diberikan pendedahan yang bernilai terhadap dunia perniagaan menerusi penerangan secara mendalam oleh Pengurus Besar Penerbitan, Tuan Fauzul Naim Ishak dalam sesi taklimat sebentar tadi.
Mahasiswa yang hadir juga tidak melepaskan peluang bertanyakan pelbagai soalan dalam dunia keusahawanan yang sebenar.
"Kita berharap melalui lawatan yang disediakan oleh pihak universiti ini mampu menjadi penyalur idea kepada pelajar yang ingin melangkah ke dalam dunia keusahawanan.
"Kita mahu pelajar ini sedar yang dunia keusahawanan tidak hanya tertumpu kepada perniagaan kecil sahaja. Apabila kita membawa pelajar ke sini, mereka akan menyedari banyak peluang yang terbuka buat mereka dalam bidang keusahawanan," jelas Puan Zarmila lagi.
Bagi beliau, cara pemasaran PTS yang kreatif menjadikan buku-buku PTS kini menjadi kegilaan pencinta buku. Beliau yang juga peminat buku-buku keluaran PTS melihat hubungan baik PTS dengan pengedar dan pembeli menjadikan PTS sebagai sebuah syarikat bumiputera yang berjaya.
Beliau juga memuji usaha PTS yang sentiasa memperjuangkan dasarnya bagi memandaikan bangsa kerana bagi beliau tidak ada lagi penerbitan yang membangun dengan dasar dan perjuangan dalam melahirkan bangsa yang berjaya.