Artikel

Petikan Utusan Malaysia Online: Air tangan terbaru Othman Hafsham

oleh Roziyah pada 22 Sep 2010

Setelah 10 tahun tidak hadir dengan karya di layar lebar, akhirnya pengarah tersohor,Othman Hafsham, tampil dengan sebuah filem komedi terbaru.

Jika karya terakhirnya Soalnya Siapa menggabungkan nama-nama besar seperti Erra Fazira dan Afdlin Shauki, tetapi melalui karya terbarunya Karipap Cinta dia mempertaruhkan nama-nama baru dan kurang dikenali.

Menariknya, sentuhan terbaru pengarah tersohor itu merupakan adaptasi daripada sebuah novel nukilan Nazri Annuar yang boleh dikira masih baru dalam penulisan tempatan.

Ujar Othman, hatinya terpaut saat pertama kali membaca novel itu apabila disyorkan oleh rakannya, Amir Muhammad.

"Saya bersyukur kerana umpama bertemu dengan permata apabila membaca novel ini setelah sekian lama saya mencari.

"Sebelum ini banyak skrip yang saya terima untuk difilemkan namun tiada satu yang membuatkan saya teruja tetapi perasaannya sangat berbeza apabila saya membaca novelKaripap Cinta ini.

"Nazri sendiri yang membuat lakon layar filem ini dan saya amat berpuas hati dengan hasil kerjanya.

"Banyak elemen terkini ada dalam jalan cerita ini yang membuatkan penonton akan rasa terkait dengan filem ini seperti penggunaan laman sesawang Facebook.

"Seronoknya membuat filem komedi ini, semua di set gembira dan tidak tertekan. Malah semua bersemangat berkongsi idea untuk membuatkan Karipap Cinta lebih sedap intinya.

"Setelah 40 tahun berada di dalam industri, akhirnya saya kembali ghairah untuk terus berkarya dan hadir dengan lebih banyak filem Melayu yang berkualiti," ujar Othman ketika ditemui di set pengambaran Karipap Cinta baru-baru ini.

Karipap Cinta, terbitan Cinematic Pictures Sdn. Bhd. mengisahkan usaha seorang jejaka yang ingin memenangi hati seorang gadis cantik yang amat menggemari kuih karipap.

Jejaki itu berusaha untuk memikat gadis itu yang akhirnya membuatkan dia terpaksa 'berbohong sunat' agar kelihatan hebat di mata gadis itu dan keluarganya.

Pelbagai peristiwa yang tidak disangka berlaku yang membuatkan dia terselamat daripada 'tipu sunatnya' terbongkar.

Cerita Othman, Karipap Cinta sebenarnya sebuah naskhah yang serius tetapi mempunyai elemen komedi bersahaja dan tidak slapstik.

Istimewanya, dia tidak menggunakan pelawak untuk mengangkat elemen komedi dalam filem itu.

Tetapi ujarnya dia menggunakan pelakon untuk membawa watak yang ada unsur komedi.

Antaranya, dia menggunakan khidmat pelakon yang terkenal dengan watak-watak yang berat, iaitu Eman Manan.

Tambahnya lagi, soal menggunakan muka baru dalam industri seperti Gambit Saifullah dan Melia Aimiellia bukanlah masalah kerana karyanya yang berjaya sebelum ini pernah menggunakan pendatang baru.

"Lihat saja filem saya seperti Adik Manja dan Mekanik. Ketika itu pelakon-pelakon yang terlibat masih baru tetapi filem itu tetap berjaya.

"Lagipun mereka yang kami pilih mempunyai potensi masing-masing. Cuma kurang diketahui umum.

"Satu lagi sejarah apabila saya dapat mengarahkan anak perempuan Azmil Mustapha, Syamira Azmil dalam filem ini yang juga pertama kali berlakon.

"Kiranya anak-beranak ini memulakan karier lakonan mereka dengan sayalah," ujar Othman yang kini menginjak usia 71 tahun.

 

Artikel dipetik daripada Utusan Malaysia Online yang ditulis oleh Raja Intan Dianna Raja Azaham pada 21 September 2010

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025