Artikel

Lawatan ke PTS: Madrasah Maarif Bermotivasi Tinggi untuk Menjadi Penulis Muda

oleh Chayu Afifi pada 18 Dec 2015

Seramai 42 ahli rombongan  daripada Madrasah Maarif Al-Islami, Singapura melawat PTS dalam rangka lawatan sambil belajar. Musim cuti sekolah dimanfaatkan oleh Madrasah Maarif  dari Singapura dan memilih PTS sebagai tempat untuk dilawati kerana PTS merupakan syarikat penerbit buku bumiputera yang sedang berkembang pesat serta proses terbitan buku sepenuhnya berlandaskan pengurusan Islam.

Ketua rombongan Encik Anuar Othman berkata rombongan ini bertujuan untuk mendedahkan pelajar mengenai produk buku terbitan PTS.

Pelajar Madrasah Maarif diberikan taklimat oleh Encik Mohamad Bahruddin Mohamad Bekri yang merupakan editor senior PTS. Taklimat ringkas yang diberikan oleh Encik Bahruddin mengenai latar belakang syarikat PTS sejak awal penubuhan, serta penjelasan mengenai produk  PTS yang telah berkembang pesat. Encik Bahruddin menjelaskan mengenai anak syarikat di bawah PTS salah satunya Tunas Super. Tunas Super merupakan anak syarikat PTS yang menerbitkan buku kanak-kanak. Tunas Super telah banyak melahirkan penulis cilik seawal usia 10 tahun. Ini merupakan satu daya tarik yang tersendiri apabila PTS dapat melahirkan penulis cilik yang kreatif dan berdaya saing. Encik Bahruddin menggalakkan para pelajar untuk menulis apa sahaja dan menghantar manuskrip ke PTS seterusnya menjadi penulis cilik yang seterusnya.

Seorang pelajar Maahad Maarif berkata sesi lawatan ini memberikan input yang besar kepada dirinya dan rakan-rakannya.

Siti Aisyah berkata, “Lawatan ini amat bermakna kerana dapat memberi suntikan semangat untuk menjadi penulis muda.Ini merupakan satu motivasi kuat bagi saya menghasilkan karya dan tidak takut lagi untuk menulis.”

Pada musim cuti sekolah ini, PTS bukan sahaja mengadakan program lawatan untuk pelajar sekolah. PTS juga mengadakan pertandingan sempena cuti sekolah iaitu, pertandingan Certot 3, pertandingan Reviu Buku Kanak-kanak PTS dan pertandingan Kuiz Saya Mahu Hadiah.

Selepas sesi taklimat yang diberikan oleh Encik Bahruddin, peserta lawatan dibawa ke Kedai Buku PTS.Para pelajar  berpeluang membeli buku terbitan PTS yang akan dibawa pulang ke negara singa itu. Dengan potongan hebat jualan akhir tahun sehingga 50% membuatkan mereka teruja untuk membeli buku-buku terbitan PTS.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024