Artikel

Sifat Setia Kawan: Menuju Persahabatan yang Kekal Selamanya

oleh Khairul Aswad pada 21 Dec 2015

Adat dalam persahabatan, pasti kita akan jumpa dengan pelbagai kerenah. Ada yang jenis gembira setiap masa, ada yang cepat marah, ada yang jiwanya halus, mudah tersentuh, penakut dan lain-lain lagi. Walaupun begitu, itulah yang membuatkan persahabatan kita berwarna-warni setiap hari.

Bayangkan kalau kita ada sepuluh orang kawan, dan kesemuanya berperangai seratus peratus sama dengan diri kita. Pasti bosan, bukan?

Dalam novel hasil tulisan adik Nur Farzana ini, watak utamanya adalah seorang yang cemerkap. Sesuailah dengan tajuk bukunya iaitu My Clumsy Friend.

Liyana adalah seorang pelajar yang rajin dan periang, tapi perangainya yang cemerkap membuatkan hidupnya kadang-kadang tidak tentu arah. Dalam novel ini, kita dapat lihat situasi di mana sifatnya itu ditonjolkan seperti sewaktu dia sedang makan sehingga tercekik, terjatuh tangga dan mudah terkejut.

Namun, bukan itu sahaja yang penulis mahu kongsikan dalam buah tangannya ini.

Di awal novel, kisah tertumpu kepada keakraban tiga sekawan iaitu Liyana, Hanis dan Dania. Mereka ibarat belangkas, akan bersama walau dalam apa jua keadaan.

Kisah semakin menarik apabila Cikgu Rizal memberitahu ada pertandingan melukis peringkat kebangsaan yang akan diadakan, dan murid yang berminat bolehlah memberi nama dan menghantar lukisan mereka.

Dalam diam, Liyana memasang niat untuk menyertai.

Kemudian, watak antagonis, Maya ditonjolkan. Dia cemburu sentiasa tidak puas hati dengan segala tindak-tanduk Liyana yang dirasakan sebagai pesaingnya yang paling hebat, baik dalam mata pelajaran ataupun urusan lain. Dia juga berminat untuk menyertai pertandingan melukis itu tapi dia tidak senang apabila dia dapat tahu Liyana juga akan turut sama sertai.

Sewaktu hari menghantar lukisan, Maya telah membuat sesuatu untuk menyabotaj Liyana supaya dia tidak dapat menyertai pertandingan tersebut.

Dalam novel ini juga kita akan dapat belajar betapa pentingnya sifat setia kawan. Dania dalam cerita ini adalah seorang kawan yang tidak mudah terpengaruh dengan hasutan orang lain.

Tidak seperti Hanis yang sepertinya menyimpan perasaan tidak senang dalam diri dan begitu mudah dipengaruh oleh anasir jahat. Akhirnya, ia memakan dirinya. Beberapa adegan sabotaj juga berjaya diceritakan dengan baik dalam novel ini dan setiap satunya membawa maksud yang tersendiri.

Di akhir novel, kita akan sangka semua watak sudah berbaik namun penulis pandai bermain dengan plot. Kalau nak tahu, kenalah baca sehingga ke muka surat terakhir. Selamat membaca.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024