Artikel

Lihat Apa Yang Rasulullah SAW Sebutkan Kepada Wanita

oleh Huzaifah Abd Jamil pada 25 Aug 2016

“Wahai Rasul Allah, kepada siapa harus aku berbakti selepas Allah dan rasulNya? Ibumu! Kemudian siapa lagi? Ibumu! Kemudian siapa lagi? Ibumu! Kemudian siapa lagi? Ayahmu!”

Hadis popular ini melambangkan peri pentingnya seorang manusia yang bernama wanita. Ia diperkuat pula dengan firman Allah pada surah An-Nisa’ di permulaan ayat 34.

“Kaum lelaki itu adalah pemimpin dan pengawal yang bertanggungjawab terhadap kaum perempuan…”

Seringkali juga kedengaran perbalahan dua pihak ini, mengangkat pihak sendiri dan menindas pula pihak yang satu lagi. Padahal, kedua-dua pihak pada hakikat penciptaannya adalah sama dalam pandangan Tuhan.

Tetapi satu hal yang tidak dapat dinafikan, pengorbanan seorang wanita boleh menyamai kekuatan seorang laki-laki.

Woman and Family

Bagaimana yang dikatakan menyamai itu?

Iaitulah ketika seorang wanita itu sakit melahirkan zuriat. Ujian mereka tidak hanya untuk menggendong bayi selama hampir 40 minggu lamanya, tetapi juga bagaimana pengurusan kehidupannya sehari-hari sehingga saat melahirkan pula.

Dan mulailah tumbuh perasaan seorang ibu itu ibarat pokok-pokok. Saat anak di kantung perutnya, difikirkan bagaimanakah kelahirannya. Saat kelahiran, difikir bagaimanakah mahu membesarkan. Saat sedang meningkat dewasa, difikir bagaimana pula mahu melepaskan dari jagaan.

Jadi tidak hairanlah jika hadis seperti yang tersebut di atas memberi sedemikian penghormatan kepada wanita.

Baca juga, Doa ibu setanding doa Nabi

Lihat juga, Bookcafe tawar buku jualan murah sempena Merdeka Sale

Malah, Nabi Muhammad SAW menitipkan lagi tentang kelebihan wanita, seperti yang direkodkan oleh Ibn Umar RA sebagai berikut.

“Wanita yang sedang hamil dan menyusui sampai habis masa menyusuinya, seperti pejuang di garis hadapan fi sabilillah. Dan jika ia meninggal di antara waktu tersebut, maka sesungguhnya baginya pahala mati syahid.”

Maka itu, hendaklah yang namanya laki-laki bertambah kehormatan kepada yang namanya ibu, atau saudara-saudara yang perempuan, atau isteri-isteri, atau anak-anak perempuanmu.

Selamat Hari Wanita Kebangsaan kepada semua wanita di Malaysia yang kita raikan setiap tahun pada 25 Ogos 2016.

Selamat Hari Wanita Kebangsaan

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024