Artikel

MABOPA Bersuara: Pulihkan Industri Buku Dengan Cepat dan Mudah

oleh Asri Yussof pada 29 Jun 2018

Sejak dua tahun lalu, industri buku negara kita mengalami kemerosotan. Jumlah rakyat Malaysia membeli buku berkurangan selepas melihat kepada draf pembelian dari pasca-PBAKL 2016 yang diadakan di MAEPS Serdang pada ketika itu. Dan perkara ini juga berterusan sehingga PBAKL 2017 dan PBAKL 2018 di PWTC.

Permintaan yang berkurangan ini menyebabkan banyak penerbit sudah mengubah plan operasi bisnes mereka. Jumlah penerbitan buku setiap bulan sudah dikurangan daripada biasa. Pun begitu, ini perkara biasa di dalam mana-mana perniagaan. Pengeluaran turut berkurang apabila permintaan juga kurang.

PTS

Tetapi perkara ini perlu dipandang serius oleh pihak pemerintah, kerana industri buku begitu dekat dengan rakyat. Majunya sesebuah negara itu sangat berkait rapat dengan berapa jumlah buku yang dibaca untuk setiap rakyatnya.

Seperti mana dari kecil kita ditanam dengan falsafah, “Jika mahu mengubah kemiskinan dan hidup, ia perlu dimulakan dengan diberikan peluang pendidikan yang sama rata.” Pendidikan di sini termasuklah peluang ke sekolah dan peluang untuk anak-anak kita mendapat bahan bacaan yang mencukupi.

MABOPA

MABOPA atau sebutan penuhnya Malaysian Book Publishers Association (Persatuan Penerbit Buku Malaysia) pada pagi ini mengeluarkan tweet di twitter untuk memberi syor kepada pemerintah agar mengembalikan insentif fiskal kepada industri buku tanpa perlu menambah bajet baru.

1. Kembalikan relief khusus dalam cukai pendapatan peribadi untuk pembelian bahan bacaan sebanyak RM1000. Jangan campurkan bawah relief Gaya Hidup. Galakkan keluarga dan individu melabur dalam pendidikan anak-anak dan diri sendiri.

2. Pulihkan bajet pembelian bahan bacaan untuk buku di perpustakaan sekolah, awam dan institusi yang sudah dipotong teruk oleh pentadbiran lama. Minat membaca perlu dipupuk bermula dari bangku sekolah. Bekalkan buku baru yang berkualiti ke perpustakaan.

3. Pulihkan bajet untuk kempen membaca dan survey pembacaan nasional. Kempen membaca melahirkan pembaca baru secara berterusan. Survey pembacaan penting untuk data dan polisi.

4. Kembalikan Baucar Buku untuk pembelian buku dan alatan belajar. Asingkan Baucar Buku dari bantuan sara hidup seperti program (dahulunya) BR1M Orang Bujang. Benarkan pelajar yang memerlukan untuk memohon kedua-dua jenis bantuan.

MABOPA berharap pemerintah baru ini boleh membantu mengembalikan polisi dan dasar yang terbukti berkesan.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024