Artikel

Program Infak Ramadan Kelab Sukan dan Rekreasi PTS Media Group 2013

oleh Roziyah Mahamad Jusob pada 09 Sep 2013

Selain mengeluarkan buku-buku berbahasa Melayu yang berkualiti, PTS juga menjalankan khidmat komunitinya dengan menganjurkan program Infak Ramadan.

Program yang berlangsung pada bulan Ramadan yang lalu diadakan khas bagi membantu golongan memerlukan supaya dapat menyambut Aidilfitri dengan gembira.

Infak Ramadan yang diadakan pada setiap tahun ini memberi peluang kepada kakitangan PTS Media Group bagi menjalankan sumbangan kepada golongan yang memerlukan.

Di bawah Kelab Sukan dan Rekreasi PTS, semua kakitangan dapat bersama-sama turun padang dan mendekati golongan yang memerlukan bantuan.

Selain peruntukan wang, PTS juga mencetak al-Quran dan Yasin khas bagi disumbangkan kepada rumah anak yatim, rumah tahfiz dan individu yang dikenalpasti memerlukan sumbangan ini.

Kakitangan PTS Media Group juga diberi peluang memilih dan mengenalpasti sendiri sasaran golongan yang memerlukan bantuan ini.

Kakitangan yang dibahagikan kepada empat kumpulan ini mencari sasaran golongan yang berbeza. Hal ini bagi memastikan sumbangan sampai kepada semua golongan masyarakat yang memerlukan. Mereka dibahagikan kepada kumpulan Khandaq, kumpulan Badar, kumpulan Khaibar, dan kumpulan Uhud.

Antara tempat yang menerima sumbangan ini termasuklah Rumah Orang Tua Fikrah, Hospital Ampang, Maahad Tahfiz dan anak-anak kurang berkemampuan yang tinggal di sekitar Klang. Sumbangan berbentuk wang ringgit, barang keperluan asas, keperluan hari raya, buku serta al-Quran disampaikan sendiri dalam program berkenaan.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024