Artikel

Mahasiswa Universiti Malaya Didedah Kepada Dunia Penerbitan Sebenar

oleh Roziyah pada 23 Sep 2010

Mahasiswa yang hadir sempat beramah mesra bersama editor-editor PTS

 

Mahasiswa Universiti Malaya (UM) menjadikan lawatan ke PTS sebagai satu jambatan agar mereka dapat melihat dunia penerbitan yang sebenarnya.

Mahasiswa yang datangnya daripada Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya (APIUM) ini mengambil peluang menimba input berguna mengenai dunia penerbitan agar dapat membantu dalam subjek mereka.

Pengurus Besar Penerbitan, Tuan Fauzul Naim Ishak berbesar hati memberi penerangan kepada mahasiswa yang mengambil subjek Media Cetak Dakwah yang menjadi sebahagian daripada kursus mereka di universiti.

"Melalui lawatan ini, pelajar secara tidak langsung dapat mempelajari mengenai dunia penerbitan agar ilmu ini dapat digunakan sebagai dakwah mereka apabila berada di dunia pekerjaan kelak," jelas Pensyarah APIUM, Puan Norraudah Hj. Siren dalam sesi lawatannya ke PTS pagi tadi.

Beliau memilih PTS sebagai tempat bagi mahasiswanya melihat dunia penerbitan yang sebenar kerana buku-buku PTS yang lebih inovatif dan kualiti yang lebih baik.

 

Mahasiswa tidak melepaskan peluang memilih buku-buku keluaran PTS dengan diskaun hebat yang diberikan.

 

Beliau berharap melalui lawatan ini, pelajar yang hadir dapat mempelajari dengan lebih jelas dunia penerbitan dari awal proses hingga ke akhir.

Selain itu, mahasiswa yang hadir juga berpeluang beramah mesra dengan editor-editor di PTS dengan lebih dekat lagi dan mengetahui proses penerbitan buku di PTS.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (198801006125) © 2000 - 2025