Artikel

Majlis Anugerah Media Islam Negara (AMIN) Ketiga 2009

oleh Helmi pada 06 Oct 2009


Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) bakal menganjurkan Majlis Anugerah Media Islam buat kali ketiga tahun ini. Anugerah ini adalah salah satu bentuk pengiktirafan Kerajaan Malaysia kepada pengamal media yang memberi sumbangan cemerlang bagi memartabatkan Islam sebagai penggerak kemajuan ummah dan negara.

Majlis ini bakal disempurnakan oleh YB Senator Mejar Jeneral Dato’ Jamil Khir b. Baharom (B), Menteri di Jabatan Perdana Menteri. Anugerah kali ini menawarkan 34 anugerah yang dibahagikan kepada enam kategori utama iaitu Anugerah Penerbitan Radio, Anugerah Penerbitan TV, Anugerah Penerbitan Media Cetak, Anugerah Penerbitan Laman Web, Anugerah Khas Juri dan Anugerah Perdana Media Islam Negara.

JAKIM menerima sejumlah 665 penyertaan daripada pelbagai pihak seperti agensi kerajaan, swasta, organisasi, persatuan, dan individu yang terlibat dalam program berunsur Islam melalui media elektronik, media web dan media cetak.

PTS turut tidak ketinggalan dengan menghantar beberapa penyertaan bagi Anugerah Penulis Buku Umum Terbaik, Anugerah Buku Ilmiah Terbaik dan Anugerah Penerbit Buku Terbaik kategori Penerbitan Media Cetak.

Pihak JAKIM menjemput orang ramai menghadiri majlis anugerah ini sebagaimana berikut:

Tarikh: 7 Okt. 2009 (rabu)
Masa: 8.30 malam
Tempat: Dewan Plenari, Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC)
Anjuran: Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM)

Marilah kita beramai-ramai hadir bagi memeriahkan lagi majlis anugerah ini.

Hakcipta Terpelihara • PTS Media Group Sdn Bhd (173482-A) © 2000 - 2024