Artikel
Manifestasi Komitmen Hijau: Kota Budi ESG Fasa 2 Dilancar Demi Pendidikan dan Alam Sekitar
oleh Nor Fadhilah Fauzan pada 26 Aug 2025
Kuala Lumpur, 25 Ogos 2025 – Satu langkah besar dalam menyokong pendidikan lestari dan kelestarian alam sekitar telah digerakkan menerusi Majlis Pelancaran Kota Budi ESG (Fasa 2) “Dua Juta Buku Tulis Kitar Semula: Memacu Pendidikan Lestari”, yang berlangsung di Hotel Majestic, Kuala Lumpur.
Majlis berprestij ini diserikan dengan kehadiran Timbalan Menteri Pendidikan Malaysia, Yang Berhormat Tuan Wong Kah Woh, bersama-sama Pengarah Majlis Buku Kebangsaan Malaysia, YBhg. Tuan Mohd Khair Ngadiron. Pengerusi Lembaga Pengarah Perbadanan Kota Buku, YBhg. Tan Sri Dr. Nik Norzrul Thani bin N Hassan Thani,dan Ketua Pegawai Eksekutif Perbadanan Kota Buku, YBhg. Puan Adibah Omar.
Turut hadir ialah rakan strategik inisiatif ini, CP Integrated Sdn. Bhd., selaku pengeluar buku tulis kitar semula yang komited terhadap usaha meningkatkan kesedaran kitar semula serta memacu pendidikan berteraskan kelestarian dalam kalangan pelajar sekolah.
Pelaksanaan inisiatif ini bukan sekadar pelancaran produk, sebaliknya merupakan manifestasi komitmen Perbadanan Kota Buku terhadap keseimbangan alam sekitar dan pendidikan negara. Menyedari bahawa 1 tan kertas bersamaan dengan 17 batang pokok ditebang, usaha penggunaan kertas kitar semula tanpa bahan klorin dalam penghasilan buku tulis merupakan langkah signifikan untuk mengurangkan penebangan hutan dan memberi nafas baharu kepada bumi.
Selain itu, pemberian buku tulis kitar semula secara percuma ini juga mampu meringankan beban keluarga serta meningkatkan pengalaman pembelajaran murid. Berdasarkan kajian, kertas putih yang terlalu cerah berpotensi menyebabkan keletihan mata dan gangguan tumpuan, manakala kertas kitar semula lebih mesra penglihatan dan sesuai untuk pembelajaran yang berkesan.
Majlis ini turut meraikan sumbangan penaja-penaja yang komited mendukung inisiatif pendidikan hijau ini. Antara yang tampil memberikan sokongan ialah PTS Media Group, yang menyalurkan sumbangan penajaan berjumlah RM15,000. Sumbangan tersebut disampaikan oleh Tuan Arief Hakim Sani Rahmat, Pengarah Urusan/CEO PTS Media Group, sebagai tanda sokongan syarikat penerbitan itu terhadap usaha melestarikan pendidikan dan masa depan negara. Langkah ini selaras dengan misi PTS untuk terus menyokong usaha murni yang memberi manfaat kepada anak bangsa, di samping memastikan alam sekitar dipelihara demi generasi akan datang.
Majlis ini menegaskan bahawa inisiatif Dua Juta Buku Tulis Kitar Semula bukan sekadar penghasilan helaian kertas, tetapi simbol tanggungjawab bersama dalam memastikan masa depan bumi terus terjamin. Perbadanan Kota Buku menzahirkan harapan agar usaha ini menjadi inspirasi kepada pelbagai pihak untuk sama-sama mengangkat misi besar: mengembalikan kebaikan kepada bumi sambil memperkukuh sistem pendidikan Malaysia.
Dengan kolaborasi strategik, komitmen korporat, dan sokongan kerajaan, inisiatif ini diyakini mampu memberi impak yang mendalam bukan sahaja kepada ekosistem pendidikan, malah kepada usaha global dalam menangani isu kelestarian alam sekitar.

