Artikel
Tokoh Bahasa Tersohor, Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan, Diiktiraf di Konvensyen 152
oleh Nor Fadhilah Fauzan pada 10 Oct 2025
Shah Alam, 9 Oktober 2025 – PTS Media Group merakamkan setinggi-tinggi tahniah kepada Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan atas pengiktirafan tertinggi yang diterima beliau dalam dunia bahasa Melayu apabila dikurniai Penghargaan Adiwangsa Bahasa Melayu sempena Konvensyen 152, anjuran Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) dengan kerjasama Persatuan Linguistik Malaysia (PLM).
Konvensyen berprestij ini diadakan pada 24 hingga 26 September 2025, sebagai salah satu program pengisian utama Dekad Bahasa Kebangsaan Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2025. Majlis perasmiannya telah disempurnakan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam majlis tersebut, enam tokoh tersohor bahasa dan sastera tanah air telah dikurniai Penghargaan Adiwangsa Bahasa Melayu, iaitu:
Prof. Emeritus Datuk Seri Dr. Awang Sariyan
Prof. Emeritus Datuk Dr. Nik Safiah Karim
Prof. Emeritus Dato’ Dr. Asmah Haji Omar
Prof. Emeritus Dr. Abdullah Hassan
Prof. Emeritus Dato’ Dr. Teo Kok Seong
Dr. Norhashimah Jalaluddin
Anugerah berprestij ini telah disampaikan oleh YAB Timbalan Perdana Menteri, Dato’ Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi, bersama YB Dato’ Seri Diraja Dr. Zambry Abd Kadir, Menteri Pendidikan Tinggi, sebagai tanda penghargaan terhadap sumbangan besar para bahasawan dalam memartabatkan bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu, bahasa kebangsaan, dan bahasa penyatu negara bangsa.
Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan merupakan antara sarjana bahasa Melayu paling berpengaruh di Malaysia. Beliau dikenali luas sebagai ahli linguistik, ahli akademik, penulis, dan pemikir bahasa yang gigih memperjuangkan kedudukan bahasa Melayu di peringkat nasional dan antarabangsa.
Sepanjang kariernya, beliau telah menerbitkan puluhan karya akademik dan ilmiah dalam bidang bahasa, komunikasi, dan pendidikan — khususnya dalam kerangka psikolinguistik, sosiolinguistik, serta pemikiran bahasa Melayu moden. Beliau juga merupakan pengasas kepada pendekatan komunikasi berasaskan nilai dan etika yang memberi impak besar dalam pendidikan tinggi negara.
Sebagai Penasihat PTS Media Group dan salah seorang penulis prolifik, karya-karya beliau telah memberi sumbangan penting kepada dunia penerbitan ilmiah serta pengembangan ilmu bahasa di Malaysia.
PTS Media Group melihat penghargaan ini sebagai pendorong untuk terus menyokong pembangunan literasi dan penerbitan berkualiti dalam bahasa Melayu. Semoga legasi Profesor Emeritus Dr. Abdullah Hassan menjadi inspirasi kepada generasi akan datang untuk terus menghargai dan mengangkat martabat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu dan identiti bangsa.

